Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nahas jejambat runtuh Jumaat lalu kemalangan tapak binaan paling buruk sejak tragedi Nicoll Highway

Nahas jejambat runtuh Jumaat lalu kemalangan tapak binaan paling buruk sejak tragedi Nicoll Highway.

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas jejambat runtuh Jumaat lalu kemalangan tapak binaan paling buruk sejak tragedi Nicoll Highway

Kemalangan di Nicoll Highway pada 2004. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 16 Jul 2017 03:11PM Dikemas Kini : 16 Jul 2017 03:18PM

SINGAPURA: Insiden di mana sebuah struktur lebuh raya yang belum siap dibina di Upper Changi Road East runtuh pada Jumaat (14 Julai) adalah nahas yang paling buruk pernah berlaku di sesebuah tapak binaan sejak Nicoll Highway runtuh 13 tahun lalu, membunuh empat orang.

Satu orang terbunuh manakala 10 lagi cedera akibat nahas yang berlaku pada Jumaat.

Mediacorp meninjau-ninjau dan meneliti nahas yang berlaku di tapak-tapak binaan yang menyebabkan kematian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sedang pihak berkuasa berdepan dengan cabaran untuk meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja.

20 April, 2004: Seramai empat orang terbunuh dan tiga yang lain cedera apabila sebuah terowong yang sedang dibina sebagai sebahagian daripada Laluan Circle, dekat stesen Nicoll Highway, runtuh.

Sembilan hari kemudian, sebuah struktur tetulang di tapak binaan Fusionopolis di Ayer Rajah Avenue roboh, membunuh dua pekerja dan mencederakan 29 yang lain.

Satu kebakaran yang berlaku di sebuah kapal tangki minyak di Limbungan Keppel membunuh seramai tujuh pekerja.

April 2006: Tiga pekerja terbunuh manakala tiga lagi cedera di Limbungan SembCorp Marine PPL akibat sebahagian sebuah kren dan muatan seberat 185 tan yang terjatuh.

Julai 2012: Sebuah struktur roboh semasa kerja-kerja binaan dijalankan di Stesen Bugis di Laluan Downtown (DTL), membunuh dua pekerja dan mencederakan lapan yang lain.

September 2013: Dua pekerja terbunuh dan empat lagi cedera parah apabila sebuah kren menara runtuh di tapak binaan Galeri Seni Singapura, dekat Padang.

Oktober 2015: Satu kebakaran yang berlaku di sebuah makmal di sebuah kilang syarikat pengilangan gas yang terletak di kawasan perindustriaan Jurong menyebabkan beberapa letupan, sekaligus membunuh seorang ahli kimia yang berusia 30 tahun dan mencederakan tujuh yang lain.

Mac 2016: Dua pelatih SMRT terbunuh akibat dilanggar oleh sebuah kereta api semasa mereka sedang menjalankan kerja-kerja penyenggaraan di sebuah landasan kereta api dekat stesen MRT Pasir Ris.

Jumlah kematian di tempat kerja meningkat kepada sekitar 2.0 bagi setiap 100,000 pekerja sejak beberapa tahun lalu.

Singapura menyasarkan untuk mengurangkan jumlah kematian kepada kurang daripada 1.8 kematian bagi setiap 100,000 pekerja menjelang tahun 2018.

Meskipun jumlah kematian di tempat kerja naik turun antara 55 dengan 70 kes sepanjang 10 tahun lalu, namun ia semakin meningkat sejak 2012 dengan sebanyak 56 kes dilaporkan.

Sebanyak 59 kes dan 60 kes masing-masing dilaporkan pada tahun 2013 dan 2014, dan jumlah itu meningkat kepada 66 kes pada tahun 2015 dan 2016.

Sektor binaan terus mencatat jumlah kematian paling tinggi di tempat kerja pada tahun lalu, membentuk 36 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

Bagaimanpun, lebih ramai pekerja melaporkan bahawa mereka mengalami kecederaan semasa menjalankan tugas mereka.

Ini menyebabkan jumlah keseluruhan kecederaan di tempat kerja meningkat dari 10,018 pada tahun 2007 kepada 13,014 pada tahun lalu.

Meskipun tidak ramai pekerja dalam sektor binaan mengalami kecederaan sepanjang tempoh tersebut - 831 pada tahun 2007 kepada 467 pada tahun lalu - ia tetap mencatat kadar kesuluruhan kecederaan kedua tertinggi sejak tahun 2011, di belakang sektor pengilangan.

Sejak Nicoll Highway runtuh, pihak berkuasa mengutamakan tahap keselamatan di tempat kerja sebagai isu utama yang perlu ditangani dengan menguatkuasakan pelbagai inisiatif.

Bagi menangani risiko keselamatan, Pemerintah menggantikan Akta Pengilangan dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja pada tahun 2006. Di bawah Akta itu, semua pihak - majikan, pembekal, penghuni, pengilang, pereka bentuk dan pekerja - mesti bertanggungjawab mengenal pasti risiko dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah atau mengurangkan risiko tersebut.

Satu pelan peringkat negara yang baru bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) dilancarkan pada tahun 2009. Dua sektor berisiko tinggi - iaitu sektor marin dan binaan - disasarkan dahulu dengan pemerintah bermatlamat untuk mengurangkan kadar kematian di tempat kerja sebanyak 0.5 peratus dalam tempoh lima tahun.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga berusaha untuk meningkatkan tahap keselamatan kren di tempat kerja pada 2011, menyusuli peningkatan pada jumlah insiden berbahaya yang melibatkan kren.

Pada 2012, Divisyen Keselamatan dan Kesihatan MOM dan Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja mengumumkan peningkatan pada tahap keselamatan di tempat kerja.

Ini seperti Kursus Suai Kenal Keselamatan Binaan Yang Dipertingkatkan bagi para pekerja binaan dan aplikasi mudah alih SNAP@MOM, yang membolehkan para pekerja dan orang awam membuat aduan mengenai amalan-amalan berbahaya di tempat kerja.

Dari segi kawal selia dan penguatkuasaan pula, MOM menyemak semula peraturan-peraturan WSH yang ada sekarang dan memperkenalkan peraturan-peraturan baru bagi pelbagai industri dan pekerjaan.

Ini termasuk kod amalan bagi pengurusan risiko WSH serta cara mengendalikan dan mengangkat muatan dan barangan dengan selamat di tempat kerja.

Pada 2014, kementerian itu turut mengumumkan Program Pemantauan Syarikat - yang memantau dan menyelia dengan teliti syarikat-syarikat yang tidak menunjukkan prestasi baik - dengan memperluaskan kriteria masuk dan mengetatkan kriteria keluar daripada program tersebut bagi syarikat-syarikat tempatan.

Pada tahun lalu pula, MOM mengenakan hukuman lebih berat terhadap syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab menyusuli peningkatan pada jumlah kematian di tempat kerja.

Syarikat-syarikat sedemikian dikenakan tempoh minimum yang lebih panjang bagi arahan berhenti kerja, dan syarikat-syarikat tersebut juga boleh diharamkan daripada menggajikan para pekerja asing yang baru buat sementara waktu.  

Sumber : Today/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan