Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muslim S'pura derma S$193,000 bagi bantu mangsa krisis di Yaman

Masyarakat Islam Singapura hari ini mendermakan sejumlah S$193,000 bagi membantu para mangsa yang terjejas dalam krisis kemanusiaan di Yaman.

Anggaran Waktu Membaca:
Muslim S'pura derma S$193,000 bagi bantu mangsa krisis di Yaman

RLAF menyerahkan cek derma berjumlah S$193,000 kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Masyarakat Islam Singapura hari ini (13 Sep) mendermakan sejumlah S$193,000 bagi membantu para mangsa yang terjejas dalam krisis kemanusiaan di Yaman.

Ia disampaikan menerusi Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), yang sebelum ini menjalankan usaha pengumpulan dana di sekitar 70 buah masjid di Singapura dari 28 Julai hingga 3 Ogos lalu.

RLAF menyerahkan cek derma tersebut kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk disumbangkan kepada Program Bantuan Menyelamat.

Bantuan tersebut akan membantu sekitar 6,000 individu memerlukan di Yaman.

Antaranya, program bantuan berkenaan akan menyediakan tempat teduh kecemasan dan barangan bantuan utama seperti bekalan makanan dan air, lampu solar dan pengendalian empat pusat kesihatan.

(Gambar: Mohammed HUWAIS / AFP)

(Gambar: Mohammed HUWAIS / AFP)

Yaman kini dilanda perang saudara yang sudah meragut lebih 5,200 nyawa manusia. PBB menyatakan, perang saudara itu kini mencetuskan antara krisis kemanusiaan terbesar bagi sesebuah negara denga berjuta-juta orang kini diancam kebuluran.

Penyakit taun pula sudah menjejas 650,000 orang sejak lima bulan lalu. Lantaran itu, dana yang dikumpulkan juga akan digunakan bagi mengendalikan program pencegahan penyakit taun, bantuan psiko-sosial bagi kanak-kanak dan membantu mangsa yang terselamat menangani trauma yang mereka lalui akibat konflik itu.

Para mangsa juga akan diberikan baucar bagi mendapatkan bahan binaan untuk membangunkan semula rumah mereka yang musnah.

MASYARAKAT ISLAM MAMPU BANGKIT, PAMER SIFAT IHSAN

Pengarah Eksekutif RLAF, Encik Zainul Abidin Ibrahim berkata: "Rahmatan Lil Alamin berbesar hati bahawa meskipun sebagai masyarakat minoriti dalam negara yang kecil, masyarakat Islam mampu bangkit dan mempamerkan sifat ihsan dan prihatin dengan bekerjasama dengan institusi utama kami, masjid-masjid, untuk mengurangkan penderitaan orang lain.

(Gambar: MUIS)

"Ini tentu sekali ciri yang diingini dalam masyarakat Islam yang cemerlang yang kami sasarkan. Semoga usaha kecil kami memberi bantuan dan membawa maka kepada masyarakat yang menghadapi konflik di Yaman."

Mengulas mengenai derma kemanusiaan itu, Pegawai Perkongsian Sektor Privet UNHCR, Cik Geraldine Ang pula berkata, pihaknya "sangat berterima kasih kepada RLAF dan masyarakat muslim Singapura" kerana menyertai usaha-usaha UNHCR. Sebelum ini, bantuan turut diberikan kepada para pelarian Syria di Jordan dan Lubnan.

"Saya fikir adalah bagus bahawa masyarakat Singapura bersama-sama membantu dalam usaha ini... Ini adalah isyarat kepada masyarakat antarabangsa yang lain bahawa Singapura prihatin, dan saya fikir itu adalah mesej penting untuk disampaikan," kata Cik Ang lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan