Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muhammad Izdi adakan pameran solo pula, setelah 2 pameran seni di Perancis

Anak Melayu Singapura ini pernah dijemput menyertai dan menampilkan karya-karya seni visualnya di dua pameran seni di Perancis pada 2015.

Anggaran Waktu Membaca:
Muhammad Izdi adakan pameran solo pula, setelah 2 pameran seni di Perancis

Muhammad Izdiharuddin Nordin dan karya seni visualnya, 'Master of Life'. (Gambar-gambar: Muhammad Izdi)

SINGAPURA: Anak Melayu Singapura ini pernah dijemput menyertai dan menampilkan karya-karya seni visualnya di dua pameran seni di Perancis pada 2015.

Bahkan, bakat Muhammad Izdiharuddin Nordin, atau dikenali sebagai Izdi, terus mendapat pengiktirafan setelah beliau dipilih menyertai program tamu pula selama tiga bulan di Paris, di mana beliau diberi peluang membuat kajian, mengunjungi studio-studio artis lain di sana dan membangunkan lagi kemahirannya dalam seni visual.

Kini, setelah beberapa tahun aktif sebagai pelukis visual selepas meninggalkan jawatannya sebagai Pereka Kanan di Muzium Seni Singapura (SAM), Encik Izdi, 31 tahun, sedang mengadakan pameran seni solonya yang pertama, dipanggil 'The Brown Dabble', di galeri seni Chan + Hori Contemporary di Gillman Barracks.

TAMPILKAN LEGENDA, MITOS UNTUK PAPAR DUNIA KAPITALIS

'The Brown Dabble' terdiri daripada pelbagai karya seni termasuk animasi, arca dan seni cetakan, dan menampilkan legenda-legenda tradisional dan mitos untuk memaparkan dunia yang bersifat kapitalis sekarang ini.

Ini termasuklah hantu 'bogeyman' yang melambangkan 'tangan tersembunyi' yang menggunakan pelbagai taktik untuk mengaut untung hasil sikap tamak haloba manusia; fascinus, iaitu kultus era purba Romawi yang menggunakan kalung, loceng dan barang kemas untuk mencegah kejahatan; harimau yang melambangkan kekuasaan, kebuasan dan seksualiti di Asia, serta kepala babi untuk melambangkan kuasa, kekejaman dan persembahan korban.

Karya oleh Muhammad Izdi yang dipamerkan di The Brown Dabble. 

Bercakap kepada BERITAMediacorp, Encik Izdi berkata beliau sebenarnya tidak merancang untuk mengadakan pameran solo setakat ini. Namun beliau mendapat dorongan daripada Khairuddin Hori, Pengarah Kurator di Chan + Hori Contemporary, yang menyediakan wadah untuk beliau melakukan demikian.

Karya 'Master of Life' oleh Muhammad Izdi.

“Saya rapat dengan Khai kerana kami sebelum ini bekerja bersama-sama di Muzium Seni Singapura (SAM), jadi beliau memberi inspirasi untuk saya menceburi seni dan membimbing saya, dan memberikan saya nasihat tentang cara saya boleh memperbaiki diri saya dan lain lagi. Beliau memberikan saya peluang dan wadah untuk mempamerkan bakat saya, jadi saya mengambil peluang ini, dan ia seolah-seolah sukar untuk dipercayai. Agak mendebarkan kerana akhirnya, saya akan mengadakan pameran solo saya yang pertama,” kata Encik Izdi.

HABISKAN 9 BULAN UNTUK PERSIAPAN PAMERAN SOLO

Encik Izdi berkata beliau mengambil masa sekitar enam bulan untuk membuat persiapan bagi pameran solonya itu – membuat kajian, mengusahakan konsepnya dan menghasilkan lukisan-lukisan bagi karya-karya seni visualnya.

Beliau, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan kolektif seni kontemporari DXXXXD, juga harus bijak mengimbangi masa kerana turut mengusahakan projek-projek lain yang ditugaskan kepadanya pada masa yang sama.

Encik Izdi berkata beliau mengambil masa lagi tiga bulan untuk menentukan karya-karyanya yang mana satu adalah paling sesuai untuk ditampilkan dalam pameran solonya.

Lulusan Politeknik Singapura dalam Reka Bentuk Kreatif itu berkata karya animasinya, termasuk yang menunjukkan tangan-tangan yang dipotong 'menghujani' seorang lelaki, merupakan yang paling sukar untuk dihasilkan.

Karya 'What's Yours Is Mine and What's Mine is Mine' oleh Muhammad Izdi.

“Saya belajar tentang animasi di politeknik dan saya tidak mempraktikannya selepas saya tamat pengajian, jadi semasa mengusahakannya, saya cuba ingat kembali semuanya daripada aspek asasnya hingga ke aspek teknikal. Mujur ada Google dan YouTube untuk saya ulangkaji semula cara menghasilkannya! ” ujar Encik Izdi.

PAPAR MESEJ TENTANG KERUNTUHAN AKHLAK, SIFAT KEMANUSIAAN

Encik Izdi berkata pameran solonya bertujuan menyampaikan mesej tentang sikap manusia yang sekarang ini sedang menuju ke arah keruntuhan akhlak dan kemusnahan sifat kemanusiaan.

Malah, pamerannya dinamakan 'The Brown Dabble' untuk menyifatkan kekeruhan keadaan sekarang ini di dunia, yang kata Encik Izdi seperti air yang keruh atau berlumpur.

“Dalam masyarakat kontemporari ini, kita berupaya mengakses pelbagai maklumat tanpa hadnya dan oleh itu, kita fikir kita sudah maju. Kita fikir kita bebas. Namun, dunia kita dipenuhi keadaan kacau-bilau, huru-hara, dosa, keadaan terdesak dan perkembangan-perkembangan yang mengecewakan. Etika, moral dan kesusilaan disesuaikan atau diabaikan.

“The Brown Dabble mahu berjenaka, namun ia juga menyinggung perasaan dan tidak masuk akal, yang saya rasa, mencerminkan keadaan kami sekarang ini. Kami ini bak jenaka. Namun, malangnya, kami okey dengan hal ini,” katanya.

KERAP PAPARKAN MITOS, CERITA RAKYAT, LEGENDA URBAN

Encik Izdi berkata kerana gemar dengan komik sejak kecil lagi, karya-karya seninya menjurus terhadap seni komik, dan hal itu mendorongnya untuk memaparkan mitos, cerita rakyat dan legenda urban dalam karya-karyanya sebelum ini dan di pameran solonya, untuk membincangkan tema-tema tertentu, terutamanya keadaan huru-hara di dunia, politik dan agama.

Cuma bezanya, hantu 'bogeyman' pertama kali ditampilkan di pameran solonya ini, dan Encik Izdi berkata ia akan terus dipaparkan di karya-karyanya pada masa hadapan.

Cerberus.

Karya Encik Izdi yang memaparkan Cerberus.

Meskipun Encik Izdi bertukar kerjaya daripada bidang rekaan kepada seni pada 2014 kerana minat mendalamnya dalam bidang itu, anak kedua dalam keluarga empat beradik itu berkata beliau semasa kecil sebenarnya bercita-cita mahu menjadi ahli paleontologi kerana gemar dengan dinosaur. 

“Tapi saya lebih banyak melukis dinosaur daripada belajar, jadi akhirnya saya menceburi seni,” ujar Encik Izdi.

PENGALAMAN DI PERANCIS

Sementara itu, menceritakan pengalamannya menyertai pameran di Perancis pula, Encik Izdi berkata karya-karya seninya mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Sebaik sahaja meninggalkan SAM, beliau dijemput menyertai pameran 'Art Garden' di Gare Saint Sauveur, Lille dan 'Open Sea' di Musée d'art contemporain de Lyon sebagai sebahagian daripada pesta Singapore en France Le Festival 2015 yang meraikan 50 tahun hubungan diplomatik antara Singapura dan Perancis.

'Ponder-Land' yang dihasilkan Muhammad Izdi dan dipamer di 'Art Garden'. (Gambar: Maxime Dufour)

'The Entreatment', karya Muhammad Izdi yang dipamerkan di 'Open Sea'. (Gambar: Blaise Adilon)

'The Entreatment', karya Muhammad Izdi yang dipamerkan di 'Open Sea'. (Gambar: Blaise Adilon)

Encik Izdi kemudian menghantar portfolio dan cadangannya kepada Majis Seni Kebangsaan (NAC) untuk menyertai Program ‘Tamu' Artis Yayasan Dena di Paris, iaitu satu usahasama NAC dan Yayasan Dena, dan tanpa disangkanya, dipilih menyertai program itu.

Beliau mengambil bahagian dalam program tersebut dari September hingga November 2015 – ketika Paris dilanda serangan pengganas, namun mujur beliau tidak terjejas oleh kejadian tragik itu.

“Meskipun Paris begitu, pengalaman keselurahan saya di sana bagus sekali. Saya benar-benar seronok menghabiskan masa saya di sana dan banyak belajar hasil kajian menyeluruh, mengunjungi studio-studio artis di sana dan mengenali lebih rapat penduduk dan masyarakat di sana. Ia sesuatu yang menyegarkan untuk keluar daripada zon keselesaan dan belajar perkara-perkara baru,” ujarnya.

AKAN KEMBALI KE PARIS UNTUK SATU LAGI PAMERAN

Encik Izdi akan kembali ke Paris pada bulan depan dan Mei ini untuk sebuah lagi pameran yang disertainya, 'Cannot be Bo(a)rdered, yang kuratornya adalah Iman Ismail, Penolong Kurator dari Muzium Negara Singapura. Pameran tersebut akan ke Paris sebagai sebahagian daripada Urban Art Fair 2017, dan sebelum ini dipamerkan di Pusat Seni Aliwal di sini dan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Encik Izdi berharap pameran solonya 'The Brown Dabble' dapat mencetuskan reaksi daripada para pengunjung.

“Sebarang reaksi cukup bagus untuk saya, sama ada negatif atas. positif. Sama ada mereka tertawa, berkerut dahi, mengadu, memberikan komen membina. Tidak kira apalah, yang penting mereka ada reaksi. Ini bermakna anda faham mesej saya, anda menumpukan perhatian kepada mesej karya seni itu, anda rasakan sesuatu,” ujarnya.

'The Brown Dabble' dipamerkan di Chan + Hori Contemporary dari 9 Mac hingga 2 April ini, masuk adalah percuma.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan