Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOU 3 pihak dimeterai bagi pertingkat jagaan paliatif di S'pura

Tujuannya untuk meningkatkan keupayaan dan menyokong khidmat penjagaan paliatif - iaitu penjagaan perubatan khusus bagi pesakit yang tenat - di Singapura pada peringkat masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu Memorandum Persefahaman (MOU) dimeterai hari ini (12 Okt) antara Kumpulan Jagaan Kesihatan (NHG), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Hospis Dover Park untuk melancarkan Pusat Jagaan Paliatif (PaIC).

Tujuannya untuk meningkatkan keupayaan dan menyokong khidmat penjagaan paliatif - iaitu penjagaan perubatan khusus bagi pesakit yang tenat - di Singapura pada peringkat masyarakat.

Majlis disaksikan Menteri Kesihatan Gan Kim Yong di Kongres Kesihatan & Bioperubatan Singapura 2017.

KEMATIAN - SATU SUBJEK SENSITIF

Menurut Encik Gan, subjek kematian masih sesuatu yang sensitif untuk dibincangkan bersama pesakit dan anggota keluarga mereka.

Lantaran itu, beliau menekankan perlunya ada dialog yang lebih bermakna mengenai penjagaan paliatif serta berkongsi bebanan emosi yang ditanggung oleh keluarga mereka.

Encik Gan berharap dengan latihan, para karyawan jagaan kesihatan, pengasuh dan relawan boleh meningkatkan mutu kehidupan pesakit serta keluarga mereka.

Ini terutamanya bagi pesakit yang ingin meluangkan masa-masa terakhir mereka di rumah.

2 KAJIAN KARYAWAN JAGAAN KESIHATAN MELAYU DIIKTIRAF

Sempena kongres ini, 52 anugerah disampaikan bagi pemenang Peraduan Saintifik tahun ini.

Dua karyawan jagaan kesihatan Melayu menerima anugerah dalam kategori Anugerah Penyelidik Muda Singapura dan Anugerah Poster Terbaik (Jururawat).

Salah seorang daripada mereka ialah Dr Edimansyah Abdin, seorang Ketua Bioperangkawan atau 'Principal Biostatistician' di Divisyen Kajian Institut Kesihatan Mental. Bioperangkawan ialah seorang pengkaji statistik perubatan.

Kajian Dr Edimansyah terhadap cara mengukur mutu kehidupan para pesakit skizofrenia berjaya meraih anugerah perak bagi kategori Anugerah Penyelidik Muda Singapura.

"Kami berharap dengan kajian ini, kami dapat menyediakan maklumat yang jelas. Apakah instrumen yang sesuai untuk mengukur tahap kualiti hidup berkaitan kesihatan bagi pesakit skizofrenia," ujar beliau.

KAJIAN AHMAD SHUFI, MOHAMMED ADNAN TUNJUKKAN HASIL POSITIF

Kajian Encik Ahmad Shufi dan rakan sepasukannya Encik Mohammed Adnan Mahmud pula bukan saja berjaya meraih pingat gangsa tetapi juga sudah dilaksanakan di Pusat Kawalan dan Penyakit Berjangkit DSC dan menunjukkan hasil yang positif.

"Kami dapati bahawa kami dapat mengurangkan masa mengambil spesimennya. Dulu kami ambil spesimen dalam masa 13 minit tetapi sekarang dengan langkah terbaru ini, kami dapat kurangkan 10 minit.

"Dengan itu, kami rasa kami dapat kurangkan waktu rawatan dengan pesakit dan dapat mengambil pesakit yang tidak ada janji temu," kata beliau yang merupakan seorang jururawat klinik DSC.

Secara keseluruhan, 596 kajian diterima dari beberapa institusi bagi peraduan tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan