Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MND timbangkan untuk lancarkan skim flat 2-bilik baru

Kementerian Pembangunan Negara (MND) sedang menimbangkan untuk melancarkan skim flat dua bilik baru yang menawarkan pelbagai tempoh dan syarat pajakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Mar 2015 08:06PM Dikemas Kini : 11 Mar 2015 03:34AM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Negara (MND) sedang menimbangkan untuk melancarkan skim flat dua bilik baru yang menawarkan pelbagai tempoh dan syarat pajakan.

Menteri Pembangunan Negara, Khaw Boon Wan mendedahkan demikian semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan kementeriannya di Parlimen hari ini.

Encik Khaw juga berkata kemampuan untuk membeli flat-flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bertambah baik sejak 2011.

Beliau memberitahu Dewan bahawa skim flat dua bilik yang baru, apabila dilancarkan mungkin bergabung dengan Skim Apartmen Studio yang ada sekarang, yang menawarkan para pembeli warga tua tempoh pajakan 30 tahun.

Pada masa ini, semua flat baru mempunyai tempoh pajakan 99 tahun.

TEMPOH PAJAKAN LEBIH PENDEK?

"Kita mungkin boleh menggunakan cadangan pajakan yang lebih pendek untuk merasionalkan skim flat dua bilik dan apartment studio.

"Sebagai contoh, jika kita mempunyai skim flat dua bilik baru, menawarkan pelbagai tempoh dan syarat pajakan, ia membolehkan kita untuk memenuhi keperluan kumpulan berbeza, dan dalam prosesnya, menyatukan kedua-dua skim.

"MND dan HDB sedang bekerjasama dalam hal ini, dan juga akan mengumpul pendapat orang ramai," ujar Encik Khaw.

MND juga akan mengkaji cara-cara untuk membantu mereka yang ingin membeli flat jualan semula berdekatan ibu bapa mereka.

USAHA SEJUKKAN PASARAN RUMAH BERHASIL

Encik Khaw juga berkata bahawa kemampuan untuk membeli perumahan awam bertambah baik sejak 2011. Bahkan, usaha untuk menyejukkan pasaran perumahan sudah menampakkan hasil.

Beliau berkata antara 2009 dan 2014, harga flat jualan semula HDB mencapai kemuncaknya pada 2013, namun sejak itu, ia susut 37 peratus - lebih tinggi berbanding pada 2009. Pendapatan keluarga median juga meningkat 38 peratus dalam tempoh yang sama.

Encik Khaw berkata melihat kepada pasaran flat jualan semula HDB pada 2005, harga meningkat 87 peratus antara 2005 dan 2014. Pendapatan keluarga pula naik 72 peratus. Beliau menarik perhatian bahawa masih terdapat jurang yang ketara.

KEMAMPUAN BELI FLAT MENINGKAT SEJAK 2011

Mengenai flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pula, Encik Khaw berkata para pembeli meraih banyak manfaat kerana flat-flat baru itu diberi subsidi yang besar.

Antara 2009 dengan 2014, beliau berkata harga flat BTO di estet bukan matang naik 5 peratus tanpa geran, atau 6 peratus dengan geran.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan peningkatan pada pendapatan keluarga yang naik 38 peratus, kemampuan untuk membeli perumahan awam meningkat sejak 2011. Bagaimanapun pemerintah akan terus memantau pasaran, kata Encik Khaw. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan