Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MND: Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol terjejas dek kelengahan AHTC muktamadkan kenyataan kewangan

Kelengahan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang dalam memuktamadkan kenyataan-kenyataan kewangannya bagi tahun kewangan 2015 menjejas Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPTC).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Oct 2016 07:53PM Dikemas Kini : 22 Oct 2016 10:20PM

SINGAPURA: Kelengahan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang dalam memuktamadkan kenyataan-kenyataan kewangannya bagi tahun kewangan 2015 menjejas Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPTC).

Demikian menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan hari ini (22 Okt).

MND menyatakan bahawa semua majlis bandaran kecuali AHTC sudah menyerahkan kenyataan kewangan FY2015 mereka yang diaudit dan semua itu sudah diberikan kepada Parlimen.

Di kalangan 16 majlis bandaran, 14 menerima laporan tanpa syarat bagi kenyataan kewangan mereka, namun laporan PRPTC adalah bersyarat "semata-mata kerana ia tidak dapat mengesahkan ketepatan jumlah yang tertunggak daripada AHTC bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Punggol East," menurut juruauditnya.

"Selain hal itu, PRPTC tiada sebarang isu audit bagi baki akaun PRPTC," menurut MND.

SMC Punggol East dikendalikan PRPTC setelah Parti Tindakan Rakyat (PAP) merampas semula kawasan undi itu daripada Parti Pekerja dalam Pilihan Raya Umum 2015. Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East (AHPETC) kemudian menjadi AHTC.

Awal bulan ini, PRPTC meminta "janji temu darurat" dengan Mahkamah Rayuan agar AHTC dan juruauditnya KPMG menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan Punggol East, kerana AHTC didapati mempunyai kelemahan-kelemahan yang ketara dalam kawal selia dan pematuhan oleh Ketua Audit Negara ketika Punggol East berada di bawah kendaliannya.

MND menyatakan bahawa AHTC pada 12 Ogos meminta lebih banyak masa untuk menyerahkan kenyataan-kenyataan kewangan FY2015 kerana "masih mempunyai isu-isu yang perlu dihuraikan dengan juruauditnya." Kementerian itu sudah meminta AHTC memberikan rangka masa bagi selesai menjalankan audit untuk FY2015 dan sedang menunggu respons majlis bandaran itu, menurutnya.

AHTC: KENYATAAN KEWANGAN TIDAK DIAUDIT DISERAHKAN

Sebagai respons kepada kenyataan MND, pengerusi AHTC, Pritam Singh berkata proses mengaudit kenyataan-kenyataan kewangannya ditangguhkan kerana "banyak sumber majlis bandaran ditumpukan kepada semakan KPMG terhadap proses-proses kewangan majlis bandaran itu, serta secara berasingan, semakan terhadap semua bayaran yang dibuat sebelum ini oleh majlis bandaran itu dari 27 Mei 2011 hingga 27 November 2015 sebagaimana diarahkan Mahkamah Rayuan."

Encik Singh juga menambah: "AHTC juga terus membalas permintaan dari PwC, iaitu akauntan PRPTC, bagi laporan Semakan Bayaran Lalu, meskipun Mahkamah Rayuan sudah memperjelaskan bahawa syarat ini bukan syarat yang menggantikan kenyataan KPMG."

Majlis kendalian parti pembangkang itu menarik perhatian bahawa di bawah garis panduan MND, pelantikan juruaudit berkanun bagi semua majlis bandaran biasanya disahkan menjelang Mac 2016. Namun, kelulusan bagi pelantikan juruaudit AHTC hanya diterima pada Mei 2016, kerana MND pada asalnya menolak pilihan AHTC. "Kelengahan ini menyebabkan masa terbuang," kata Encik Singh.

Bagaimanapun, majlis bandaran tetap menyerahkan kenyataan-kenyataan kewangannya bagi FY2015 yang tidak diaudit kepada MND tepat pada masa menjelang 30 Jun, katanya.

Beliau menambah bahawa KPMG sedang dalam proses memuktamadkan laporan drafnya tentang Semakan Bayaran Lalu kepada AHTC, dan memerlukan masa untuk membaca laporan itu dengan teliti.

"AHTC mengambil perhatian bahawa adalah menjadi kepentingan majlis bandaran untuk dengan segera mempersiapkan kenyataan-kenyataan kewangan yang diaudit untuk FY15/16, supaya ia dapat menyerahkan apa yang perlu kepada MND. Ia akan terus berusaha melakukan demikian," kata Encik Singh. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan