Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MHA siasat laman FB pertahankan Rasul Dahri

Demikian menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim hari ini (22 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jun 2017 04:19PM Dikemas Kini : 22 Jun 2017 10:38PM

SINGAPURA: Satu catatan Facebook yang mempertahankan pendakwah Encik Rasul Dahri - yang buku-bukunya baru-baru ini diharamkan di Singapura - sedang disiasat oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Demikian menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim hari ini (22 Jun).

Laman Facebook 'Online Islamic Bookshelf Dot Com' pertama kali dikenal pasti oleh laman SMRT Feedback by The Vigilanteh pagi tadi sebagai mempertahankan Encik Rasul Dahri.

Peruncit buku-buku Islam Online itu memuat naik catatan di laman Facebook dengan menyatakan Encik Rasul Dahri tidak menyebarkan keganasan mahupun mencetuskan perbalahan. Catatan itu menambah, sekiranya itu yang disebarkan Encik Rasul Dahri, ramai pengikutnya "sudah lama melancarkan serangan bom di sini".

Ia juga menyatakan jika Islam "adalah agama pengganas", kebanyakan masyarakat bukan Muslim mungkin sudah dibunuh memandangkan terdapat "jutaan Muslim di seluruh dunia beratus tahun lamanya".

Pada Selasa lalu (20 Jun), Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) mengharamkan sembilan buku tulisan pendakwah berkontroversil itu kerana rakaman video dan buku-buku tulisannya bersifat "eksklusif dan berbahaya kerana menggalak permusuhan, persengketaan dan mungkin keganasan bukan saja terhadap Muslim tetapi juga terhadap masyarakat agama lain dan negara".

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menyatakan dalam satu kenyataan berasingan bahawa Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), mengiktiraf para guru agama dan ulama yang memenuhi piawai minimum kelayakan untuk mengajar agama Islam di Singapura.

Kenyataan-kenyataan oleh Encik Rasul Dahri menerusi rakaman-rakaman video dan buku-bukuk tulisannya, menurut MUIS, bercanggah dengan kod etika ARS dan bertentangan dengan pandangan agama yang progresif dan inklusif yang diinginkan buat masyarakat Muslim Singapura.

Pengharaman itu, sekaligus dengan pengumuman tentang penangkapan tiga individu yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ARS) kerana menjadi radikal mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Muslim di sini, kata Dr Yaacob, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Bercakap kepada para wartawan di luar majlis pelancaran kereta api bertema Hari Raya di Laluan Timur-Barat, Dr Yaacob berkata masyarakat Melayu/Islam berdepan dengan cabaran ini dan semakin kuat, meskipun berita-berita tersebut dilaporkan pada bulan Ramadan.

Mengingatkan rakyat Singapura bahawa tinggal dua hari lagi umat Islam menyambut Aidilfitri, beliau berkata masyarakat Melayu/Islam perlu meraikannya dengan "positif" dan juga memanfaatkan musim perayaan ini untuk memperkukuh perpaduan dengan masyarakat bukan Muslim dengan undangan ke rumah.

Menekankan bahawa masyarakat Melayu/Islam sentiasa memandang serius ancaman radikal, Dr Yaacob menambah pengganasan adalah satu fenomena yang sentiasa berubah.

Sebelum ini Singapura perlu berdepan dengan anggota kumpulan radikal Jemaah Islamiyah, tapi kini mereka perlu menangani isu individu-individu yang menjadi radikal.

"Usaha menambat hati dan minda" golongan muda Melayu/Islam Singapura kini dilakukan online.

Dr Yaacob mengakui untuk menentang mesej-mesej radikal yang disebarkan online oleh ISIS merupakan satu cabaran kerana "apa yang boleh kita lakukan, mereka boleh lakukannya dengan lebih baik kerana mereka mahu menang".

Dr Yaacob berkata: "Kita juga mahu menang tetapi kita perlu mencuba sedaya upaya memastikan diri kita lebih menarik. Secara juur saya katakan, ia bukan mudah, tetapi kita sedang mencuba sebaik mungkin."

Para guru agama dan ulama tempatan, khususnya yang lebih muda, sudah dilatih untuk membanteras mesej-mesej radikalisme online kerana isu itu menjejas golongan muda Melayu/Islam rakyat Singapura.

Menekankan pentingnya mencari cara untuk menggalak masyarakat supaya melaporkan individu-individu radikal, memandangkan keluarga dan rakan-rakan dalam dua kes terbaru itu tidak melaporkan mereka kepada pihak berkuasa, Dr Yaacob berkata "tiada istilah malu" dalam kalangan anggota keluarga dan mereka yang mengenali mereka supaya tampil memaklumkan kepada MUIS atau Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Beliau berkata: "Lebih baik menbendung masalah dari peringkat awal daripada membiarkannya berakar umbi."

Sumber : Today/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan