Images
  • Diver
    Rinta Paul Mukkam yang menyelam di Gili Lawa Laut in Indonesia hilang. (Photo: Roy Paul Mukkam/Facebook)

MFA: Lebih banyak sumber dikerah untuk cari penyelam rakyat S'pura yang hilang

SINGAPURA: Lebih banyak sumber sudahpun dikerahkan bagi menjalankan pencarian ke atas penyelam rakyat Singapura yang hilang dekat Pulau Komodo di Indonesia, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Isnin (17 Jul).

Pencarian bagi Cik Rinta Paul Mukkam kini sudah mencecah hari kelima dan MFA menyatakan pihaknya berhubungan rapat dengan pihak berkuasa tempatan, termasuk Badan SAR Nasional (BASARNAS) Indonesia.

"Semasa menjalankan operasi, kami sudah meminta agar lebih banyak sumber dikerahkan bagi operasi tersebut," dedah MFA dalam kenyatannya, yang ditulis di laman Facebook.

"Pihak berkuasa Indonesia kemudian mengerahkan aset tambahan termasuk kapal SAR (mencari dan menyelamat), bot laju polis dan sebuah kapal tentera laut bagi memperluaskan operasi SAR itu.

"BASARNAS juga sudah menunjukkan bahawa pihaknya akan terus mencuba dan mencari aset tambahan yang sesuai bagi operasi berkenaan," menurut kementerian tersebut.

Pihaknya juga mendedahkan ia akan terus menawarkan khidmat konsular kepada keluarga terdekat Cik Mukkam dan membantu operasi pencarian yang sedang dijalankan. Pihaknya akan turut mengerahkan seorang pegawai konsular ke kawasan tersebut.

Menurut saudara lelaki Cik Mukkam, beliau menyelam pada Khamis lalu di perairan di sekitar Gili Lawa dekat Pulau Komodo di Indonesia pada kira-kira 12.30 tengah hari tetapi tidak pulang selepas itu.

Seorang rakan kepada keluarganya juga mendapatkan bantuan orang ramai bagi mengumpul wang untuk melanjutkan usaha mencari dan menyelamat.

- CNA/im

Top