Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI anjur forum untuk bincangkan Belanjawan 2015

Isu-isu antara keprihatinan yang dibangkitkan dalam Forum Dasar Pasca Belanjawan 2015 anjuran Yayasan MENDAKI malam ini

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Inisiatif SkillsFuture, peningkatan kemahiran dan kerjaya serta sokongan bagi mereka yang tidak bekerja.

Isu-isu itu merupakan antara keprihatinan yang dibangkitkan dalam Forum Dasar Pasca Belanjawan 2015 anjuran Yayasan MENDAKI malam tadi.

Forum tersebut yang membawa tema, 'Membina Masa Depan Kita, Mengukuhkan Keselamatan Sosial' bertujuan untuk memahami aspek-aspek yang sering menarik perhatian masyarakat Islam Singapura.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim yang juga Pengerusi Yayasan Mendaki merumuskan beberapa faktor yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat Melayu/Islam.

"Kita tahu bahawa inisiatif Kredit SkillsFuture ini adalah satu inisiatif yang penting dan saya rasa akan membawa manfaat kepada masyarakat kita. Tapi yang penting ialah kita terus membantu mereka faham apakah Kredit SkillsFuture dan bagaimana mereka boleh mengambil bahagian. Dan di sini saya rasa ada peranan bagi badan-badan Melayu termasuk Yayasan MENDAKI untuk menyebarkan mesej Kredit SkillsFuture dan peluang-peluang yang ada dalam Kredit SkillsFuture dan bagaimana mereka boleh memanfaatkannya. Saya harap kita boleh bekerjasama dari pihak badan-badan Melayu untuk berganding bahu, menyebarkan mesej Kredit SkillsFuture serta peranan masyarakat kita seluas-luasnya. Kita boleh berganding bahu dari segi berkongsi pengalaman." 

Dr Yaacob turut memberi perincian mengenai Kredit SkillsFuture yang seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk masyarakat Melayu/Islam mempertingkatkan diri.

"Kredit SkillsFuture akan bermula dengan $500 sahaja. Saya diberitahu ini akan terus ditingkatkan berdasarkan bagaimana program ini dijalankan. Saya rasa $500 adalah satu permulaan yang baik kerana bagi mereka yang berusia 40 tahun ke atas, subsidi bagi kursus-kursus yang diberi kebenaran akan dipertingkatkan dari 60 peratus sehingga 90 peratus. Ini bermakna, kita hanya perlu membayar 10 peratus. Saya rasa ini telah dikaji oleh pihak MOM bahawa $500 mencukupi sebagai satu permulaan. Tapi saya rasa ia akan terus dipertingkatkan. Yang penting juga, duit yang ada dalam portfolio tidak akan dipulangkan. Ini bermakna, mereka boleh mengumpul duit tersebut untuk satu atau dua tahun dan gunakannya untuk kursus-kursus yag diperlukan."

AP GRC Pasir Ris-Punggol Zainal Sapari turut hadir dalam forum tersebut dan menyentuh tentang 4 teras utama.

Pertama - Membantu para individu untuk membuat keputusan yang sewajarnya dari aspek pendidikan, latihan dan kerjaya.

Kedua - Mewujudkan sistem pendidikan dan latihan bersepadu yang bermutu yang dapat memenuhi keperluan untuk sentiasa berubah-ubah.

Ketiga - Menggalak pengiktirafan para majikan serta pembangunan kerjaya berdasarkan kemahiran dan penguasaan.

Dan keempat - Memupuk budaya yang menyokong dan meraikan pembelajaran sepanjang hayat.

Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) Rahayu Mohamad mengalu-alukan Skim SkillsFuture dan menggesa para suri rumah yang ingin kembali bekerja supaya memanfaatkan peluang yang sedia ada.

"Saya fikir ini adalah satu peluang yang baik bagi para suri rumah yang sedang bersiap sedia untuk kembali bekerja. Mengambil peluang daripada Kredit SkillsFuture bagi meningkatkan kemahiran mereka dan mempersiapkan diri mereka untuk kembali ke kerjaya mereka. Di sini, kami merasakan PPIS boleh memainkan peranan untuk mempersiapkan atau berikan "public education" kepada para wanita supaya informasi ini akan dapat lebih tersebar luas lagi kepada mereka."

Lebih 50 wakil dari pelbagai pertubuhan Melayu/Islam menghadiri forum yang diadakan di Wisma Mendaki itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan