Images
  • mufti
    Gambar fail Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram. (Gambar: TODAY)

'Memalukan kalau Ustaz perut buncit' - Mufti mahu asatizah amal gaya hidup sihat

SINGAPURA: Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram menyeru para asatizah supaya memberikan perhatian kepada kesihatan mereka dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Ini kerana ia bukan saja dituntut oleh agama malah ia juga diperlukan dalam golongan agamawan itu menjalankan tugas dakwah mereka.

Sebagai 'penghulu' kepada para asatizah Singapura, Mufti Dr Fatris berkata, beliau mahu melihat "golongan asatizah khususnya" memberikan perhatian kepada kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurut Mufti Fatris, ini penting bagi mereka demi melaksanakan tugas dan mengajak masyarakat untuk mengamalkan ajaran Islam, yang juga termasuk aspek menjaga kesihatan.

Dr Fatris menyuarakan pandangan demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama BERITAMediacorp.


KALAU ADA USTAZ YANG PERUTNYA BUNCIT...

Dr Fatris memberitahu BERITAMediacorp beliau pernah disentap dengan satu persoalan berkaitan kesihatan, yang diajukan kepadanya.

"Saya agak tersentak apabila diberitahu salah seorang daripada ketua saya dahulu bila bertugas di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), yang (kini) telah bersara. (Beliau) mengatakan bahawa satu perkara yang sangat memalukan, (adalah) kalau ada ustaz yang perutnya buncit.

"Jadi saya bila dengar begitu saya rasa iya tak iya juga. Macam mana kita ini (golongan) ustaz, kita mengajak masyarakat untuk melaksanakan agama, dan antara ajaran agama adalah untuk menjaga kesihatan. Tapi kalau ada di kalangan ustaz pula yang perutnya buncit, dia kata sangat memalukan. Saya pegang itu. Sesuatu yang menyentap saya," kongsi Dr Fatris.


(Gambar: MUIS)

GAYA HIDUP SIHAT, ‘JIHAD’ BAGI ASATIZAH

Lantaran itu, Dr Fatris menguatkan azamnya untuk mendisiplinkan diri, mengubah gaya hidup supaya dapat mengelakkan penyakit-penyakit serius. Ini tentu sekali boleh dicontohi golongan asatizah yang akan mendidik dan membentuk generasi seterusnya, yang akan menitikberatkan gaya hidup sihat.

Meskipun demikian, untuk mengubah gaya hidup mungkin satu 'jihad' bagi para asatizah. Menurut Dr Fatris, melalui pengalaman peribadinya, ia bukanlah sesuatu yang mudah.

"Bila jadi Mufti, bila jadi Ustaz ini, khusus sekali bila datang musim, contoh musim Maulid Nabi, musim Ramadan. Kita mendapat undangan yang banyak, majlis yang banyak dan dalam setiap majlis dan undangan itu pastinya hidangan-hidangan yang dihidangkan juga adalah dalam kategori biasa itu adalah beriani, air-air manis. Jadi itu kena jaga dan saya cuba," beliau secara terus terang memberitahu BERITAMediacorp.

Kini, dalam usahanya untuk terus memastikan kesihatan dijaga, Dr Fatris memilih untuk berjalan pantas sama ada bersama isteri atau beberapa lagi rakan asatizah.

“Kalau bulan Ramadan agak kurang saya berjalan,” jelas Mufti.

"Tetapi sekarang sedang mengembalikan rutin yang lama, seminggu dalam tiga atau empat kali, sekali jalan dalam 45 minit, satu jam, satu jam lebih sedikit," kongsi Dr Fatris.


Mufti bersama rakan-rakan asatizah berjalan pantas di kawasan Macritchie. (Gambar: Muhammad Saiful 'Adli Ayob/Facebook)

Beliau menambah, sekali-kala apabila ada kesempatan, beliau akan bermain badminton bersama dengan kakitangan MUIS.

BERITAMediacorp juga mendapat tahu bahawa antara tempat-tempat yang sekarang dijadikan ‘tapak senaman’ oleh Mufti dan rakan-rakannya ialah di kawasan MacRitchie.

KENCING MANIS “KRISIS KESIHATAN” BAGI ORANG MELAYU

Seruan Dr Fatris agar para asatizah memberi perhatian kepada aspek kesihatan, senaman dan gaya hidup sihat itu disuarakan sedang Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga mengajak rakyat supaya memerangi isu kencing manis.

Masyarakat Melayu nampaknya lebih terpukul dengan isu ini apabila PM Lee mendedahkan bahawa kencing manis adalah "krisis kesihatan" bagi masyarakat Melayu. Ini kerana 50 peratus anggota masyarakat Melayu yang berusia lebih 60 tahun menghidap penyakit kencing manis.


(Gambar: MCI)

Jika dibandingkan dengan kaum lain, 25 peratus daripada orang Cina berusia lebih 60 tahun menghidap kencing manis. Masyarakat India lebih kritikal dengan 60 peratus dalam golongan usia itu menghidap penyakit tersebut.

Secara keseluruhannya sebagai satu masyarakat, 17 peratus orang Melayu di Singapura menghidap kencing manis, dedah PM Lee lagi menyuarakan keprihatinannya. Satu sebabnya adalah masalah kegemukan, satu masalah yang lebih ketara di kalangan masyarakat Melayu.

ORAK LANGKAH ‘UBAH' DAN ‘KURANGKAN'

Untuk dijadikan teladan, Dr Fatris tidak bersembunyi untuk menceritakan tentang pengalaman dirinya sendiri, yang lama menghidap penyakit gout.

“Kemudian satu peringkat, doktor beri amaran, bahawa kadar gula saya sudah sampai, kata orang itu, ‘borderline’ untuk saya jaga. Pada waktu itu saya rasakan, saya ini masih pada peringkat umur yang sepatutnya menikmati tahap kecergasan yang tinggi,” cerita beliau semasa ditemui di pejabatnya.

Lantas apa yang Mufti Negara itu lakukan?

"Jadi saya ubah gaya pemakanan saya, diet, minuman, makanan yang banyak bergula saya kurangkan,” tegas Dr Fatris. 

- BERITAMediacorp/nk

Top