Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mat-mat motor S'pura kumpul 10 tan pakaian, barangan demi bantu mangsa banjir Pulau Pinang

Sebanyak 10 tan pakaian, selimut dan bekalan keperluan asas serta wang tunai RM9,500 (S$3,100) berjaya dikumpulkan para penduduk Singapura, demi membantu mangsa-mangsa banjir Pulau Pinang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 10 tan pakaian, selimut dan bekalan keperluan asas serta wang tunai RM9,500 (S$3,100) berjaya dikumpulkan para penduduk Singapura, demi membantu mangsa-mangsa banjir Pulau Pinang.

Lebih menarik lagi, bekalan-bekalan bantuan kemanusiaan tersebut berjaya dikumpulkan dalam tempoh 4 hari sahaja setelah dihebahkan menerusi Facebook.

Bantuan tersebut, diusahakan oleh mat-mat motor tempatan dari kumpulan Sports Tourer Owners Club (STOC).

KUTIPAN KILAT STOC BANTU GANTI ENJIN BOT PASUKAN PENYELAMAT

Banjir besar yang melumpuhkan Pulau Pinang lebih seminggu lalu, merupakan antara yang terburuk pernah dialami negeri utara Malaysia itu.

Bagi membantu ribuan penduduk yang terjejas, sebuah kumpulan motor di Pulau Pinang iaitu Superbike Caring Group, menghubungi kumpulan motor Singapura, Sports Tourer Owners Club (STOC) supaya membantu.

BERITAMediacorp diberitahu, STOC segera menjalankan kutipan derma kilat di kalangan anggotanya. Hasilnya, RM9,500 tunai berjaya diraih. Separuh daripada wang yang dikutip itu sudahpun dikirimkan ke Pulau Pinang bagi menggantikan engin bot pasukan penyelamat di sana.

Kumpulan motor itu juga berjaya mengumpulkan lebih 10 tan bekalan dan pakaian yang kini disimpan di tiga bengkel kereta dan dua rumah anggota STOC.

"Kita dapat membantu semua, tidak kira bangsa ataupun ugama. Mereka dalam keperluan, kita akan membantu. Pada saya, kita berbesar hatilah dan berterima kasih kepada individu-individu yang sudi membantu kita menderma pakaian dan wang ringgit juga," kata Encik Zakaria Tamaran, wakil STOC Singapura kepada BERITAMediacorp.

DARI 2 TAN, JADI 10 TAN

Kumpulan tersebut berharap untuk mengirimkan bekalan-bekalan kemanusiaan pada Sabtu ini (18 Nov). Namun, mereka kini berdepan dengan masalah pengangkutan.

Pada awalnya mereka menganggarkan akan menerima sekitar 2 tan derma barangan dan pakaian. Namun, jumlahnya kini lima kali lebih banyak, lantas memerlukan lebih banyak lori berbanding satu sahaja yang mereka ada sekarang.

Encik Zakaria berkata, ini bermakna kos yang diperlukan untuk projek itu juga akan bertambah. Di sinilah, ia memerlukan bantuan tambahan.

"Ahli kita akan kumpulkan duit lagi untuk buat tempahan lori ini. Bagi yang lainnya, kalau ada siapa yang boleh, saya merayu jugalah jika ada badan atau pertubuhan mana yang sudi membantu atau bersama orang yang boleh membantu kita untuk menghantar, kita akan bekerjasama dengan mereka," kata Encik Zakaria.

STOC juga sedang menyiapkan pelbagai dokumen untuk membawa bekalan kemanusiaan itu agar melepasi pusat pemeriksaan nanti dan selamat sampai ke Pulau Pinang.

Bagi projek kemanusiaan Pulau Pinang ini, sekitar 60 penunggang STOC akan mengekori secara konvoi, lori yang bakal mengirimkan bekalan ke kampung-kampung yang terjejas.

Ini bukanlah kali pertama kumpulan mat-mat motor berkuasa tinggi itu menjalankan kerja kemanusiaan seperti ini. Mereka pernah menjalankan usaha serupa bagi membantu mangsa banjir di Kelantan pada tahun 2015.  

Sumber : BERITA Mediacorp/AY/RL/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan