Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Islam S'pura berjaya kumpul S$342,000 bagi bawa keceriaan kepada pelarian Syria Ramadan ini

Usaha itu akan membawa keceriaan kepada masyarakat di sana sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Islam S'pura berjaya kumpul S$342,000 bagi bawa keceriaan kepada pelarian Syria Ramadan ini

Para pelarian Syria di kem Rukban di Jordan. (Gambar fail: KHALIL MAZRAAWI / AFP)

SINGAPURA: Masyarakat Islam Singapura berjaya menyumbang lebih S$342,000 dalam satu usaha pungutan derma selama seminggu pada bulan Februari bagi para pelarian Syria di Jordan dan Lubnan, menurut Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) hari ini (22 Mei).

Usaha itu akan membawa keceriaan kepada masyarakat di sana sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Pungutan dibuat melalui tabung-tabung yang diletakkan di semua masjid di negara ini dan juga secara online

RLAF menambah pihaknya memberi tumpuan kepada para pelarian di negara-negara berkenaan kerana negara-negara tersebut menerima lebih sejuta pelarian walaupun berdepan dengan kekurangan sumber.

BANTUAN AKAN DIHULURKAN DALAM BENTUK BEKALAN, PENDIDIKAN

RLAF bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian PBB (UNHCR) buat julung-julung kalinya untuk menghantar bantuan kepada para pelarian.

Daripada dana yang dikumpulkan itu, bantuan akan disalurkan dalam bentuk bekalan gas bagi para pelarian di kem-kem Al-Azraq di Jordan.

Ini bagi membantu lebih 350,000 pelarian di sana daripada kesejukan, memastikan mereka selamat dan dapat menampung keperluan seharian mereka semasa musim sejuk.

Selain daripada itu lebih daripada separuh dana itu akan disalurkan bagi menyediakan program pendidikan bagi kanak-kanak kecil Syria, program mendampingi ibu bapa bagi memastikan anak-anak mereka kekal berada di sekolah.

Ia bertujuan untuk menyuntik harapan dan keyakinan kepada kanak-kanak itu dan dijangka akan membantu hampir 2,000 kanak-kanak.

"PENGALAMAN YANG MEMBUKA MATA"

UNHCR bersama dengan dua wakil RLAF iaitu Pengarah Eksekutif RLAF Encik Zainul Abidin Ibrahim dan Pengurus Kanan Pembangunan Keupayaan RLAF Encik Izhar Roslan baru-baru ini ke Jordan dan Lubnan sebagai sebahagian daripada lawatan untuk memantau projek.

Mereka dapat berjumpa dengan para penganjur projek, rakan kerja, relawan dan juga berinteraksi dengan para pelarian yang tersentuh dengan bantuan yang diberikan RLAF.

"Ia satu pengalaman yang merendahkan diri. Apatah lagi dapat melihat dan berinteraksi dengan para pelarian dan keluarga mereka yang berjaya bertahan selama beberapa tahun.

"Mereka tetap cekal dan bersikap positif dan tidak pernah putus asa. Muka ceria kanak-kanak di sana yang memberikan kami satu perasaan baik bahawa masa depan yang lebih baik menantikan mereka," kata Encik Zainul. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan