Images
  • Othman wok honour
    Mantan menteri Kabinet Othman Wok.

Masjid seluruh S'pura beri penghormatan kepada Othman Wok dalam khutbah Jumaat

SINGAPURA: Masjid-masjid seluruh negara hari ini (21 Apr) memberi penghormatan kepada salah seorang bapa pengasas Singapura, Allahyarham Othman Wok, dengan mengenang jasa dan ketokohannya dalam khutbah Jumaat.

Khutbah tersebut mengajak masyarakat menjadikan Allahyarham sebagai pencetus semangat untuk menyumbang bakti kepada agama dan negara.

Ini terutamanya dalam memelihara keamanan dan keharmonian, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum seperti Singapura.

Allahyarham Othman Wok, yang merupakan menteri kabinet Melayu pertama bagi Singapura, meninggal dunia Isnin lalu (17 Apr) pada usia 92 tahun.

"Keharmonian kaum yang kita kecapi ini tidak datang bergolek. Ia hasil daripada pengorbanan, keberanian dan juga pemikiran jauh pelbagai pemimpin dan juga individu masyarakat. Antara mereka yang telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara adalah mendiang Encik Othman Wok, yang baru saja kembali ke rahmatullah," kata khatib Masjid Al Istighfar Ustaz Muhammad Nazeeh Mohamad, semasa menyampaikan khutbah bagi menyanjung Allahyarham yang disiapkan MUIS.

Allahyarham Othman Wok dijulang sebagai seorang pemimpin yang sentiasa menegakkan dasar berbilang kaum di Singapura.

Dasar inilah yang membentuk identiti negara ini sebagai sebuah masyarakat majmuk.

Khutbah Jumaat hari ini juga menggesa umat Islam agar terus memainkan peranan dan menjamin bahawa keharmonian yang terpelihara sekian lama ini berkekalan meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran baru yang boleh menggugatnya.

Usaha murni itu, menurut khutbah tersebut, bukan sahaja tanggungjawab pemimpin negara, malah juga rakyat.

Semua ini menurutnya, demi memastikan bahawa generasi masa hadapan berpeluang menikmati keamanan dan keharmonian yang diwarisi. 

- BERITAMediacorp/ru

Top