Images
  • masjid khalid beriani

Masjid Khalid dapat jana pendapatan tambahan mulai tahun depan

SINGAPURA: Sebut sahaja masjid Khalid, pasti ramai yang terbayangkan nasi berianinya yang cukup terkenal di Singapura serta penglibatan masjid tersebut dalam acara amal tahunan Cabaran Presiden.

Namun pelbagai lagi pencapaian diraih sepanjang seabad kewujudan masjid itu di Singapura.

Salah satunya, peranan masjid yang melalui evolusi dari sebuah institusi keagamaan kepada sosio-agama yang menggalak perpaduan antara kaum dan agama.

"Kegiatan masjid ini bukan cuma di dalam masjid, mesti keluar juga. Bergabung dengan bangsa lain-lain, agama untuk menjadikan satu masyarakat yang majmuk macam Singapura ini wajib bagi saya. Kalau tidak masjid akan terpencil. Dan ini satu jambatan yang kita bina agar semua kaum dalam Singapura dapat saling memahami masing-masing," kata pengerusi masjid itu, Haji Allaudin.

Antara insiatif yang dilakukan termasuk bekerjasama dengan gereja, kuil, sekolah juga pertubuhan tidak mengambil untung untuk mengadakan acara derma darah juga tuisyen percuma bagi para pelajar kurang kemampuan.

Masjid Khalid juga terus aktif dalam mencari huraian bagi memastikan masjid dapat berfungsi tanpa terlalu bergantung kepada derma masyarakat, mencerminkan pemikiran progresif para ahli lembaganya.

Pada 2003, masjid Khalid mencipta sejarah apabila ia membeli dua hartanah wakaf dengan sumbangan masyarakat bernilai $1.09 juta.

Sehingga kini, hasil kutipan sewa diperolehi daripada satu hartanah sahaja iaitu sebuah rumah kedai.

Tetapi bermula bulan depan, dengan selesainya pembinaan hartanah kedua, iaitu sebuah rumah tiga tingkat, masjid dapat menjana pendapatan sewa yang dapat membiaya 40% kos operasi masjid setiap bulan.

MASJID KHALID IKTIRAF SUKARELAWAN

Namun, segala pencapaian masjid Khalid tidak dapat dikecap tanpa sokongan padu para sukarelawannya, tulang belakang masjid berkenaan.

Maka itu sempena ulang tahunnya ke-100 tahun, 10 sukarelawan veteran yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun diberikan penghargaan atas dedikasi mereka mengimarahkan masjid.

Salah seorang ialah Shaik Abdullah Sahib, 69 tahun yang menabur bakti di masjid itu hampir setengah abad.

Walaupun perlu berkayuh sekitar 15 minit ke masjid, beliau selesa berkhidmat di masjid tersebut.

"Masa saya bujang, balik rumah, balik kerja, singgah masjid, belajar ugama sampai pukul sembilan malam. Lama2 kita dah sedap kat sini," katanya.

Sehingga kini sungguhpun kesihatannya kurang mantap, Shaikh Abdullah masih cuba datang ke masjid dua atau tiga kali seminggu untuk membantu.

Antara sukarelawan yang menerima anugerah termasuk Allahyarham Syeikh Osman Syaikh Omar Al-Ganus, imam pertama masjid Khalid dan yang bertanggungjawab memulakan tradisi memasak juadah untuk para jemaah.  

- BERITAMediacorp/NF/sm

Top