Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Haji Muhammad Salleh di Palmer Road dibuka semula; 700 jemaah tunaikan solat Jumaat

Lebih 700 jemaah menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Haji Muhammad Salleh, di Palmer Road yang dibuka semula hari ini (21 Jul) setelah dua tahun ditutup untuk menjalani kerja-kerja naik taraf. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Lebih 700 jemaah menunaikan solat Jumaat pertama di Masjid Haji Muhammad Salleh, di Palmer Road yang dibuka semula hari ini (21 Jul) setelah dua tahun ditutup untuk menjalani kerja-kerja naik taraf.

Masjid yang dikenali juga Masjid Makam Habib Noh ini dirasmikan Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Kali terakhir masjid yang berusia 114 tahun ini menjalani peningkatan adalah pada tahun 1995. Sepanjang kerja-kerja naik taraf dijalankan, ruang solat sementara disediakan tetapi hanya mampu menampung sekitar 300 jemaah.

Masjid Haji Muhammad Salleh di Palmer Rd yang baru dinaik taraf (Gambar: MUIS)

MENELAN BELANJA SEBANYAK S$1.46 JUTA

Kerja-kerja peningkatan prasarana dan kemudahan masjid ini menelan belanja S$1.46 juta.

Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) menyumbang S$200,000 manakala $1.26 juta lagi adalah hasil pungutan derma daripada masyarakat.

Encik Izammuddin Mohd Ali, pengerusi masjid memberitahu BERITAMediacorp: "InsyaAllah harapan kita jemaah yang selalu hadir di sini akan terus memberi sokongan kepada kami dan juga ini membuka ruang kepada jemaah-jemaah baik pengunjung dari dalam negara ataupun dari luar negara untuk datang dan berasa selesa bila mereka mengunjungi masjid kita dan juga makam Habib Noh."


KINI BERHAWA DINGIN DAN ADA LIF

Sememangnya para jemaah akan berasa lebih selesa dengan hasil kerja-kerja naik taraf masjid ini.

Dewan solat utamanya kini berhawa dingin dengan permaidani baru.

Ruang wudhu dan tandas lebih bersih, manakala bumbung berkaca menyediakan tempat berteduh untuk para jemaah.

Kaum hawa juga disediakan tempat solat yang lebih besar.

Golongan kurang upaya pula boleh bergerak dengan lebih mudah di dalam dan luar pekarangan masjid.

Ini kerana lif dan anjakan disediakan bagi warga emas dan golongan kurang upaya untuk naik ke lantai tiga bangunan untuk menziarahi makam Habib Noh ataupun menunaikan solat.

"Lagi mudah, kalau kita tak jalan kaki boleh naik lif, " kata Encik Mohd Nor Jamal, 80 tahun, yang sanggup datang ke masjid ini dari Bedok sempena pembukaan masjid hari ini.

Pejabat utama juga dipindahkan ke lantai bawah supaya jemaah, terutama sekali warga emas, dapat berurusan dengan pihak pejabat dengan lebih mudah.

"Semua kemudahannya baru. Bagi saya, tempat ini bagus," tambah Abdul Hakeem, 26 tahun yang sering ke masjid ini.

Berkongsi rancangan masa depan masjid ini, Encik Izammuddin berkata:
"Seterusnya, insya-Allah, LPM (Lembaga Pentadbir Masjid) akan bekerja keras lagi untuk mengisi ruang masjid yang telah siap ini dengan program-program ibadat, pengajian dan peningkatan kehidupan beragama."  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan