Images
  • masjid angullia
    Masjid Angullia melancarkan projek bagi membangunkan masjid baru setinggi empat tingkat, yang boleh menampung sehingga 4,000 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid Angullia sasar kumpul $7.2 juta menerusi sumbangan wakaf bagi pembangunan semula masjid

SINGAPURA: Para pentadbir Masjid Angullia mengorak strategi baru dalam usaha pengumpulan dana bagi projek pembangunan semula masjid di Serangoon Road itu.

Hampir keseluruh ruang dan kelengkapan masjid yang bakal dibina itu kini diwakafkan dan dijangka bernilai $7.2 juta.

Mendedahkannya kepada pihak kami tadi, pengerusi masjid, Encik Ayoob Angullia berkata sejak dilancarkan kurang dua minggu lalu, inisiatif itu sudah berjaya mengumpulkan sekitar $300,000.

Dengan ruang solat yang mampu menampung hanya sekitar 1,500 jemaah pada satu-satu masa, Masjid Angullia yang terletak dalam kawasan Little India ini, sering berdepan dengan masalah kesesakan.

Ini terutamanya berlaku semasa solat Hari Raya Aidilfitiri dan Aidiladha, di mana bilangan jemaahnya boleh mencecah sehingga 6,000 orang.

Mutawalli Wakaf Mohammed Salleh Eusoof (MSE) Angullia, Encik Eusoof Ajum Angullia berkata: "Jemaahnya lagi lama lagi ramai, sempit. Lagi-lagi masa cuti, masa Ramadan, masa hari raya macam begini, terlalu ramai. Kemudahannya pun macam bilik air terlalu, tidak memuaskanlah."

Oleh itu, pada 2015, projek pembangunan semula Masjid Angullia dilancarkan bagi mendirikan masjid baru setinggi empat tingkat, yang boleh menampung sehingga 4,000 jemaah pada satu-satu masa.

Kos pembinaannya dianggar bernilai sekitar $10 juta.

Namun setakat ini, hanya $5.90 juta dapat dikumpulkan menerusi Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) sebanyak $500,000, pinjaman $4 juta daripada Wakaf MSE Angullia serta sumbangan orang ramai.  

Maka itu sejak 6 Mei lalu, pihak masjid memperhebatkan lagi usaha pengumpulan dana dengan mengorak satu strategi baru - iaitu dengan mewakafkan hampir keseluruh kawasan baru masjid itu serta kelengkapannya sekali. 

Melalui inisiatif terbaru itu, $7.2 juta akan dapat dikumpulkan dan pihak masjid berharap untuk mengutip sebanyak $2 juta sebelum akhir Ramadan ini.  

Pengerusi Masjid Angulia, Encik Ayoob Angullia turut berkata: "Alhamdulillah kami sudah capai hampir $300,000 dalam masa setakat 14 hari sahaja. Tempat solat, gerbang masuk, mimbar, Alhamdulillah, kipas angin - semua akan ditawarkan untuk jemaah sama-sama membina masjid."

Usaha pengumpulan dana itu turut menerima sokongan padu masyarakat, termasuk 400 kakitangan Pusat Beli-Belah Mustafa, yang sudah menyumbangkan $115,000 setakat ini.

Mereka kini merancang untuk menggerakkan satu lagi pusingan kutipan dana bagi membeli hampir 60 lot wakaf di ruang i'tikaf masjid.

Timbalan Pengerusi Kesatuan Sekerja Mustafa, Encik Mohamed Rafeek, turut memberikan pendapat: "Kami rasa masjid Angullia seperti rumah kami jadi kami selesa di sini. Kami bekerja di sekitar kawasan ini oleh itu kami solat di sini, sangat mudah. Sebab itu kami kumpul dana bagi wakaf masjid Angullia, jadi kami cuba buat projek baru tahun ini hingga 2018."

Bangunan baru masjid itu akan menempatkan kemudahan seperti tempat letak kereta berbumbung, ruang solat yang lebih luas serta sebuah dewan pelbagai guna.

Kerja pembinaan masjid dijadual bermula Ogos ini dan dijangka siap pada 2019.

Rancangan untuk membuka ruang solat sementara masih dalam pertimbangan.  

- BERITAMediacorp/im

Top
>