Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masjid Al-Khair kini boleh tampung 4,000 jemaah; sudut interaktif ulama tafsir Al-Quran dirasmikan

Ruang solat tambahan Masjid Al-Khair diwaqafkan hari ini (28 Apr), memberi peluang kepada 500 lagi jemaah untuk menggunakan ruang itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ruang solat tambahan Masjid Al-Khair diwaqafkan hari ini (28 Apr), memberi peluang kepada 500 lagi jemaah untuk menggunakan ruang itu.
Bagi memudahkan lagi jemaah beribadah, Masjid di Teck Whye itu kini dilengkapi prasarana yang lebih inklusif, serta menempatkan panel interaktif berteknologi tinggi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan tafsir ayat Al-Quran yang tepat.

Kerja-kerja peningkatan Masjid Al-Khair bermula pada 2015 dan menelan belanja hampir $3.5 juta.

Ia termasuk pembaharuan reka bentuk dan peningkatan kemudahan seperti auditorium dan tempat mengambil wudhu.

Sebuah dewan solat baru juga ditambah di tingkat tiga masjid.

Hasilnya, Masjid Al-Khair kini boleh menampung 4,000 jemaah, peningkatan sebanyak 500 jemaah.

Ruang solat tambahan ini diwakafkan Mufti Negara, Dr Mohd Fatris Bakaram dalam sebuah majlis yang turut dihadiri Anggota Parlimen GRC Choa Chu Kang, Zaqy Mohamad.

Mufti juga merasmikan sebuah sudut interaktif mengenai para ulama tafsir Al-Quran.

Dengan menggunakan teknologi 'realiti tambahan', para jemaah boleh mendengar penerangan audio visual daripada sebuah tablet, selain membaca langsung daripada panel yang tersedia.

"Pertama sekali tujuan utama kita untuk mengadakan panel interaktif ini untuk memupuk kesedaran kepada jemaah akan kepentingan tafsir itu sendiri. Kerana pada zaman ini banyak salah faham ataupun salah pemahaman mengenai tafsir ayat-ayat Al-Quran kerana mereka mentafsir ayat-ayat tersebut dengan cara yang salah," kata Pegawai Agama Masjid, Masjid Al-Khair, Ustaz Muhd Adham Abdul Rahman.

Menurut pihak masjid, wadah teknologi tinggi ini bersesuaian dengan gaya hidup masyarakat sekarang yang lebih selesa mencari informasi secara digital.

Ia juga merupakan usaha terbaru dijalankan Masjid Al-Khair, yang menempatkan Darul Tafsir, di sini.

Ciri prasarana bebas hadangan turut dipasang, seperti sebuah lif dan tanjakan untuk kerusi roda.

"Ciri bebas hadangan ini merupakan satu ciri yang perlu pada masjid kalau kita ingin menjadi sebuah masjid yang mesra dengan semua lapisan masyarakat. Kita tahu bilangan penduduk berumur sudah makin meningkat. Terutamanya bagi Masjid Al-Khair, yang dekat dengan kawasan Teck Whye, iaitu sebuah estet matang," Pengerusi Masjid Al-Khair Ustaz Rashid Ramli memberitahu BERITAMediacorp.

Ini semua demi menjadikan Masjid Al-Khair lebih mesra warga tua dan pengguna alat mobiliti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan