Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: Ulama tempatan faham bagaimana sampaikan ajaran agama dalam konteks S'pura

Agama mesti diamalkan menurut konteks dan para ulama di sini faham bagaimana ajaran-ajaran agama tertentu perlu disampaikan dalam konteks Singapura, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Feb 2016 09:05PM Dikemas Kini : 11 Feb 2016 09:07PM

SINGAPURA: Agama mesti diamalkan menurut konteks dan para ulama di sini faham bagaimana ajaran-ajaran agama tertentu perlu disampaikan dalam konteks Singapura, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli.

Dalam wawancara eksklusif bersama rancangan ehwal semasa BICARA, Encik Masagos membincangkan tentang ancaman pengganasan di Singapura serta bahaya para pendakwah yang menyebarkan ajaran yang boleh memecah belahkan masyarakat.

Encik Masagos berkata demikian sebagai respons kepada ucapan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam tentang isu pengganasan dan keselamatan di Singapura.

Soalan: Dalam ucapan Encik K. Shanmugam yang boleh dianggap sebagai antara ucapan penting yang disampaikan tentang pengganasan dan juga keselamatan Singapura, beliau menyebut bahawa keadaan di mana masyarakat Muslim tempatan menjadi lebih renggang atau berjauhan daripada masyarakat lain, merupakan satu ancaman kepada Singapura. Anda sendiri pernah menjadi seorang Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri. Jadi, Encik Masagos, kupaskan untuk kami, apa yang sebenarnya pemerintah maksudkan?

Jawapan: Kalau kita teliti ucapan beliau, kita akan mendengar bahawa beliau akur bahawa masyarakat Islam Singapura adalah masyarakat yang model - iaitu kita banggakan. Ini penting kerana konteks dalam ucapan itu adalah berdasarkan kepada masyarakat yang selama ini telah dapat wujud bersama dengan kaum lain, bersama bangun dengan negara, dan tidak menimbulkan konflik walaupun ia akan wujud dari semasa ke semasa untuk masyarakat kita.
Tapi, sekarang ini, wujud pula ancaman baru yang telah menular dari luar, khususnya fahaman ISIS yang telah banyak mempengaruhi, terutama anak-anak muda kita melalui media sosial, untuk melakukan satu atau dua perkara.

Satu, untuk bersama dengan tentera ISIS mewujudkan negara Islam di Syria, Iraq, memperjuangkan kekhilafahan Islam di sana. Ataupun kalau tidak mampu ke sana, melakukan kerosakan, pembunuhan dan mencetuskan kucar-kacir di negara masing-masing dengan apa saja mereka dapat lakukan. Jadi, kami khuatir kalau masyarakat Singapura tidak faham tentang ancaman yang baru wujud dalam masa tiga empat tahun ini, dapat dipengaruhi dengan mudah.

Kita telahpun menahan beberapa pemuda yang bukan hanya terpengaruh dan mahu ke Syria atau Iraq untuk bersama berjuang dengan ISIS, tapi mereka jelas mahu menjalankan aksi-aksi keganasan termasuk terhadap Perdana Menteri dan juga Presiden, dan ini menunjukkan bahawa ia sudah mula menanam benih-benih keganasan yang dapat digunakan, yang dapat dimanipulasikan dalam masyarakat kita yang minoriti, untuk melakukan aksi-aksi keganasan yang boleh merubah suasana keharmonian negara kita. 

S: Bercakap tentang benih-benih tadi, pemerintah juga menyatakan bahawa ia sudah mengesan sebilangan anggota masyarakat Melayu/Islam kita yang muda, yang percaya bahawa mengucapkan misal kata, Merry Christmas atau Happy Deepavali sebagainya, sebagai satu perbuatan yang menyalahi agama Islam.

Malah, lebih memeranjatkan saya ialah apabila kita mendengar bahawa ada kumpulan yang mendakwa bahawa mengucapkan ikrar negara, menyanyikan lagu kebangsaan, ini sebagai menyalahi juga agama Islam, dan saya kira ramai anggota masyarakat agak terkejut mendengar adanya pendedahan tersebut.

Semestinya, ini semua merupakan satu simtom sahaja. Jadi apa dia sebenarnya gambaran yang lebih besar daripada ini, Encik Masagos?

J: Kalau kita lihat masyarakat Melayu/Islam kita berdekad-dekad selama ini, kita telah dapat dibimbing oleh ulama kita sendiri. Walaupun berlaku berbagai masalah yang muncul dari semasa ke semasa, kita dapat menyelesaikannya. Dan sealiran dengan kepentingan masyarakat kita, agama kita dan sekaligus kita dapat membangunkan negara yang maju bersama dengan masyarakat lain.

Dan kerana itu pemerintah juga dapat menerima untuk orang Islam, masjid mereka diberikan selama 99 tahun, tapi untuk agama lain tetap 30 tahun. Jadi, kompromi antara pemerintah dan juga bagaimana masyarakat Islam mahu menyesuaikan diri dalam suasana sebegitu, telah menghasilkan sesuatu yang sangat baik untuk masyarakat kita. Itu satu.

Sekarang ini pula mula ada pengaruh-pengaruh yang dapat sampai ke tanah air kita melalui media sosial dan sebagainya dan ini telah menular dalam masyarakat kita. Kalau kita lihat ciri-ciri yang sangat kita khuatirkan, adalah antara lain mewujudkan suasana yang begitu terlalu murni ataupun situasi yang begitu ‘perfect’ - Utopia.

Dan, ini sesuatu yang digesa kepada masyarakat kita menjalankannya, kadang-kadang berlakunya terlalu tergesa-gesa. Umpamanya, kalau dahulu kita dapat menerima makan bersama dengan orang lain tanpa memikirkan apa yang dimakan, ada satu waktu kita mula mengasingkan diri, tidak mahu makan dengan orang lain kerana makanan mereka tidak halal.

Tapi, alhamdulillah sekarang kita sudah terima kembali untuk memahami kerana bimbingan ulama tempatan kita.

Begitu juga yang berlaku, yang sekarang ini ancaman-ancaman fahaman-fahaman radikal yang telah memasuki beberapa media sosial yang telahpun mempengaruhi beberapa anak muda kita perlu ditanggapi oleh ulama tempatan kita untuk mereka fahami, apakah yang sesuai, apakah yang dapat diterima. Malah, apakah yang harus ditolak.

S: Apakah usaha yang dilakukan para ulama kita untuk menangkis idea-idea yang nampaknya tidak mengambil kira konteks ini sudah mencukupi sekarang ini atau masih jauh lagi untuk mencapai matlamatnya?

J: Kita beruntung kerana kita dapat mewujudkan ulama kita yang hasil daripada madrasah tempatan. Ini penting. Kalau mereka datang dari negara-negara asing, walaupun dari Makkah atau Madinah, mereka juga membawa konteks atau budaya yang mungkin tidak sesuai untuk kehidupan dan keperluan orang Islam di sini, kerana agama itu juga ada konteksnya dan ini memberi kita satu suasana kerana ramainya ulama-ulama yang lahir dari madrasah kita di sini, ramai dibimbing oleh ulama tempatan kita sendiri di sini.

Mereka tahu, apakah konteks Islam itu yang harus diajar dan disemai untuk masyarakat kita. Antara lain, bagaimana kita menilai tinggi keharmonian yang kita harus wujudkan dengan bangsa lain, bagaimana kita harus menghormati hak orang lain beragama dengan praktik-praktik mereka sendiri dan bertoleransi tentang praktik-praktik agama orang lain dan sekarang ini diancam oleh pendapat-pendapat yang asal usulnya banyak datang dari negara-negara yang diperjuangkan ISIS.

S: Berhubungan dengan itu, apa yang masyarakat Melayu Islam kita perlu bimbangkan dalam masa terdekat ini tentang pergeseran dalaman, pergesaran intra Islam ini? Di mana kumpulan-kumpulan yang berbeza enggan menerima adanya perbezaan. Hanya satu sahaja yang mereka percaya iaitu fahaman mereka sahaja dan ini semua berlaku di tengah-tengah, boleh saya katakan sebagai peraduan tarik menarik antara orang-orang Salafi, Sunni, Syiah dan juga Wahabi.

J: Sekarang ini mula wujud satu usaha apakah kerana ulama kita belajar di negara-negara yang mewujudkan fahaman tersebut ataupun fahaman tersebut telah masuk melalui media sosial. Tapi, yang jelasnya mereka mahu mewujudkan suasana yang diwujudkan zaman-zaman Nabi dahulu. Dan ini menolak sekaligus apa sahaja yang tidak diterima oleh fahaman tersebut, iaitu kalau ada praktik-praktik yang disebutkan mungkin berupa budaya atau berupakan sesuatu yang diwujudkan oleh ulama tempatan. Apakah itu kenduri ataupun maulud, mereka tidak menerimanya dan kadang-kadang menyangkalnya dengan begitu ekstrim sekali. Hinggakan tidak mahu bertemu, tidak mahu berbual, dan ada yang mengganggapnya adalah praktik-praktik yang mirip kepada kekafiran.

Kita lihat yang dilakukan oleh ISIS. Dasar-dasar agama mereka atau yang mereka mewujudkan semua ada dilandaskan oleh Quran dan Hadis. Makanya, susah untuk ulama kita di sini menolak kerana mereka mahu hidup sebagai orang Islam, mereka mewujudkan kekuasaan Islam, susah kita menolaknya.

Tapi kita lihat cara mereka, apakah yang mereka terapkan, mereka membunuh sesama orang Islam yang tidak menerima mereka sebagai kerajaan Islam. Mereka menggalakkan, mempromosikan keganasan, menghancurkan harta, membunuh orang yang bukan Islam di negara-negara yang lain. Jadi, ini memberikan kita isyarat, apakah ini yang disebutkan Islam, manakah rahmah, manakah sifat kasih sayang yang harus ditunjukkan orang Islam sebagai orang yang beragama. 

S: Dan, nampaknya pendirian pemerintah ialah bom itu, bukan ‘sama ada’ akan berlaku, tapi ‘bila’ ia akan berlaku.

J: Kalau sudah sampai di Jakarta, sudah sampai ada yang ditangkap di Malaysia, saya khuatir dengan waktu bila-bila sahaja, ia boleh berlaku. Walau bagaimana kuat benteng kita, bagaimana kita kerja keras untuk mencegahnya, ‘terrorist’, pengganas hanya perlu sukses sekali sahaja. Kita harus sukses setiap kali dan ini adalah satu perlawanan yang tidak adil.

LARANG PENDAKWAH ASING YANG TIDAK TOLERAN KEPADA KEADAAN DI SINI

S: Baru-baru ini kita melihat di Malaysia, Mufti Perlis dan beberapa lagi pendakwah terkenal dari Malaysia juga diharamkan daripada menyampaikan syarahan di Johor. Dan pemerintah Singapura juga baru-baru ini dengan tegas menyatakan bahawa ia akan melarang pendakwah asing, yang tidak toleran kepada keadaan di sini atau gaya hidup di sini, daripada berceramah di sini. Apakah ada trend tertentu yang membimbangkan pemerintah sekarang ini berhubung para penceramah asing yang mula mendapat perhatian di Singapura?

J: Sebenarnya praktik ini telah lama dilakukan dan bukan hanya kepada pensyarah agama Islam. Ia berlaku pada semua agama. Sesiapa sahaja yang datang ke Singapura yang mengungkit-ungkitkan masalah bahasa, agama atau bangsa yang boleh menyebabkan sakit hati satu kaum ke atas kaum yang lain, yang boleh menyebabkan kerusuhan di antara kaum, ini semua dibasmi dan juga dicegah.
Jadi, kalau sesiapa sahaja yang mungkin waktu di Singapura menyatakan perkara-perkara yang cantik, perkara-perkara yang sesuai untuk agama kita, tapi di negara mereka sendiri atau dilewat media sosial, apa yang mereka sebutkan semua itu adalah bibit-bibit yang akan menanam keganasan atau sikap tidak toleransi terhadap agama lain, termasuk tidak boleh mengucapkan Merry Christmas dan sebagainya tanpa mengira konteks, tanpa mengira ada bimbingan ulama kita di sini yang membolehkannya, dan menolak ulama kita. Ini sangat bahaya!

Kalau ulama kita sendiri tak dapat kita percaya, kita percaya siapa lagi dan kita harus mengandalkan ulama kita, kita harus mempercayai ulama kita yang faham tentang konteks kehidupan sebagai minoriti di Singapura supaya kepentingan kita untuk beragama, sebagai orang Melayu, sebagai Muslim terus dapat kita capai.

S: Jadi, ingin kami dapatkan penjelasan tuntas anda sebagai seorang Menteri Kabinet. Sejak akhir-akhir ini kita juga ada melihat banyak perbualan di internet bahawa Mufti Menk dari Zimbabwe misalnya, diharamkan di Singapura kerana antara lain berpendapat tadi bahawa orang Islam tidak boleh mengucapkan Merry Christmas dan sebagainya. Lantaran itu, beliau tidak dibenarkan masuk ke Singapura untuk berceramah. Apa komen anda?

J: Kita ada bimbingan dari ulama tempatan kita yang membolehkan malah menggalakkan kita membina sifat harmoni, kasih sayang dengan kaum yang lain. Malah, dengan mengatakan Merry Christmas, tapi kita tahu bahawa kita bukan orang Kristian dan tidak menjadi Kristian dengan mengatakan Merry Christmas. Jadi, ini penting dan kita tidak perlu pendapat-pendapat yang bercanggah dengan pendapat tersebut yang bukan hanya mencanggahnya tapi juga mewujudkan situasi yang tidak harmoni.

Seperti yang saya katakan tadi, ini bukan hanya berlaku untuk orang Islam sahaja. Ini berlaku untuk semua, agama Kristian ataupun agama Buddha dan sebagainya. Kita akur bahawa pemerintah ingin mewujudkan suasana yang harmoni, suasana yang aman untuk semua masyarakat, dan siapa sahaja yang menggugatnya, apakah dia di dalam negeri ataupun di luar sana, kita akan menghentikannya.

ISU TUDUNG

S: Dalam sidang Parlimen baru-baru ini, kita melihat dua orang AP Melayu, bangkit iaitu Cik Rahayu Mahzam misalnya menyeru supaya perbincangan terus terang diadakan dan ruang perlu diwujudkan untuk berbincang tentang identiti, tentang agama dan ini termasuklah tentang pemakaian tudung katanya dan beliau berharap ia dapat disemak oleh pemerintah dan kelonggaran diberikan dalam soal tudung. Apa komen anda?

J: Dua komen saya. Satu, dalam hal agama, bahasa dan bangsa adalah hal-hal yang sangat sensitif. Kita mungkin merasakan sudah matang untuk kita membicarakannya sesama kita, ataupun dengan bangsa lain. Tapi, ia juga ada perkara yang mudah untuk kita mencuit luka-luka yang lama untuk kita instigasi kepada kerusuhan dan kita tidak mahu ini berlaku.

Kita lihat sahaja apa yang berlaku di negara jiran kita sesuatu yang waktu itu demonstrasi Bersih untuk demonstrasikan satu hal. Tapi, kebetulan yang hadir ramainya orang Cina, hampir mencetuskan masalah bangsa di sana, kerana imej-imej sahaja.

Jadi, apabila perkara yang lebih sensitif dibahaskan secara terbuka bukan sahaja mereka yang membahas, mereka yang mendengar mungkin tidak rasional. Kalau emosi telah digoncang, manusia boleh melakukan sesuatu yang tidak difikirkan.

Kedua, kita juga harus lihat bahawa seperti saya katakan tadi, perkara-perkara agama adalah domain orang yang arif. Orang yang arif ini bukan hanya mereka yang dalam ilmu mereka, tapi bijaksana melakukan, menerapkan agama tersebut. Ini berlaku dalam semua agama.

Kita, dalam kita mendidik anak-anak kita, kita tahu ada tahap-tahap yang tertentu, sesuai dengan umur mereka, sesuai dengan kematangan mereka dan tidak dipaksakan. Begitu juga dengan agama, kita perlu beransur-ansur dalam melakukan perkara dan dalam apa sahaja masalah agama, orang agama tahu penyelesainya cara yang baik. Saya fikir kita, masyarakat memang suka untuk masuk campur dalam perkara tersebut apa lagi kalau kita boleh mempolitikkannya. Ini akan menjadi satu perkara yang menjadi lebih rumit daripada perkara asal usulnya.

S: Baik, kalau boleh saya lanjutkan perbincangan ini, AP Zaqy Mohamed juga berhujah bahawa pemakaian hijab merupakan antara norma baru, bahawa ini suatu ‘new normal’ dalam masyarakat kita.

Suatu norma baru dan beliau mengajak pemerintah supaya menyemak pendekatannya dalam soal agama ini, dalam konteks norma baru ini. Beliau juga mencadangkan supaya satu pasukan bertindak dianggotai para pemimpin, pelbagai kaum dan agama untuk sama-sama duduk, mendatangkan semacam satu mekanisme yang sesuai untuk dicadangkan kalau ada masalah tentang kaum dan agama dan sebagainya. Semestinya ini suatu cadangan supaya kita berganjak lebih daripada apa yang anda nyatakan tadi. Sebagai seorang Menteri Kabinet, apa komen anda?

J: Dalam apa sahaja perubahan sosial dalam masyarakat yang berlaku untuk masyarakat tersebut, kita harus hati-hati kerana kesannya bukan hanya kepada masyarakat, tapi juga tanggapan masyarakat kepada masyarakat tersebut. Ini berlaku dalam bukan sahaja masalah tudung tapi kita lihat juga bagaimana pemerintah menanggapi masalah gay umpamanya ataupun hubungan seksual sesama jenis.

Pemerintah juga tidak berganjak dalam hal ini.

Kalau kita mula berganjak, kita tahu, ada kaum yang belum boleh terima tentang kesan membebaskan hak mereka melakukan apa sahaja mereka mahu seperti agama lain.

Jadi, kita bukan hanya mementingkan apa yang kita mahu. Kita harus tahu bahawa semua kaum mahu hak-hak mereka dapat dijalankan. Tapi, kita tahu juga, di Singapura seperti diungkapkan oleh DPM Teo, bahawa selama ini kita menjadi masyarakat yang harmoni bukan kerana semua kaum dapat hak mereka. Tapi kita menjadi kaum harmoni kerana semua kaum telah dapat, telah mengorbankan sesuatu yang sangat bernilai pada mereka demi keharmonian tersebut dan ini adalah satu ciri yang sangat kita hargai.

Jadi, saya harap dalam semua perkara ini kita harus arif, kita harus fikir panjang, kita harus bersama orang-orang yang arif dalam perkara ini.

Apakah masalah agama, kesan pada agama, kesan pada sosial, kesan pada masyarakat dan sebagainya. Fikirlah dengan baik-baik kerana kita menghuraikan satu masalah, menarik rambut dari tepung, tepung jangan bertabur, rambut jangan putus.

S: Jadi pendeknya belum ada angin baru dalam isu-isu atau perbincangan tentang tudung atau agama atau kaum ya?

J: Semua masalah agama, dalam agama apa pun, sering dibincangkan di Kabinet, dan kita akur kita lihat bagaimana menggerakkan masyarakat supaya lebih terbuka, lebih menerima dan kita berhati-hati dalam menjalankannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan