Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: Masyarakat mainkan peranan penting saling ingatkan satu sama lain jimatkan air

Masyarakat memainkan peranan penting dalam saling mengingatkan antara satu sama lain tentang pentingnya menjimatkan penggunaan air.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat memainkan peranan penting dalam saling mengingatkan antara satu sama lain tentang pentingnya menjimatkan penggunaan air.

Mesej ini ditekankan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli, selepas solat Jumaat di Masjid Mujahidin siang tadi (24 Mac).

Sumber penting itu dan usaha untuk menjimatkan penggunaannya disentuh dalam Khutbah Jumaat yang disampaikan di semua masjid hari ini.

Masjid Mujahidin di Stirling Road misalnya sudah melancarkan kempen dakwah #GreenUmmah pada 2016.

Kempen tersebut menggalak pemeliharaan alam sekitar dalam kehidupan seharian, dan antara lain turut mengongsi cara-cara menjimatkan air semasa mengambil wudhu.

Lebih banyak butiran mengenai kempen ini, serta inisiatif-inisiatif mesra alam yang dijalankan oleh Masjid Mujahidin, turut dikongsi dengan Encik Masagos sempena lawatan beliau hari ini.

"Kita sebagai umat Islam diingatkan supaya selalu berusaha untuk menjimat penggunaan air. Apa lagi di Singapura, kita sangat kekurangan (sumber air), dan air yang kita gunakan adalah yang datangnya dari Malaysia, dan juga yang disuling, yang diproses.

"Jadi saya berterima kasih kepada MUIS dan masjid-masjid kerana mendukung mesej untuk menjimatkan air," kata Encik Masagos.

Antara mesej yang disampaikan dalam khutbah Jumaat hari ini ialah pentingnya menjaga keseimbangan alam sekitar, termasuk penggunaan air yang lebih berhemat.

Encik Masagos menegaskan bahawa Singapura bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang gangguan pada bekalan air sejauh ini. Namun ini tidak bermakna masyarakat boleh bersikap sambil lewa.

"Di merata dunia ini bukan perkara yang biasa, jadi kita harus berterima kasih, dan juga ingatkan sesama sendiri bagaimana kita terus tahu untuk menilai air itu supaya terus mengalir untuk kita terus menyambung hidup kita sehari-hari," katanya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan