Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Maliki: S'pura mainkan "peranan penting" sekat senjata pemusnah besar-besaran

Sebagai sebuah negara kecil di tengah-tengah laluan-laluan perhubungan laut yang penting, Singapura mempunyai peranan penting dalam memerangi percambahan senjata-senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Sep 2016 07:16PM Dikemas Kini : 28 Sep 2016 02:07AM

SINGAPURA: Sebagai sebuah negara kecil di tengah-tengah laluan-laluan perhubungan laut yang penting, Singapura mempunyai peranan penting dalam memerangi percambahan senjata-senjata pemusnah besar-besaran (WMD).

Demikian kata Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman di majlis perasmian Latihan Deep Sabre 2016, latihan keselamatan berbilang negara yang dihoskan Singapura.

Singapura sudah menjalankan usaha untuk mengekang kegiatan-kegiatan haram di laut, seperti pelancaran Pusat Gabungan Maklumat (IFC) pada 2009 untuk membantu memudahkan pertukaran maklumat dan kerjasama di kalangan rakan-rakan kongsi antarabangsa dalam hal-hal keselamatan maritim, katanya.

Dr Maliki menarik perhatian bahawa peningkatan pada perdagangan global dan aliran maklumat menjadikannya lebih mudah bagi perdagangan haram dijalankan, dan pertubuhan-pertubuhan pengganas seperti ISIS mengeksploitasi bahan-bahan biasa untuk dijadikan senjata. Ini semua menekankan pentingnya menjalankan latihan keselamatan seperti Latihan Deep Sabre, kata beliau.

"Negara-negara dengan keprihatinan percambahan (senjata pemusnah) terus bertindak dalam cara-cara yang mengancam kestabilan global. Kami sudah menyaksikan pengaruh pertubuhan-pertubuhan pengganas seperti ISIS yang kian meningkat. Laporan-laporan menggambarkan bahawa ISIS menggunakan senjata-senjata berdasarkan gas mustard dan gas klorin di Iraq dan Syria. Mereka ini boleh dan pernah mengeksploitasi bahan-bahan yang mempunyai dua penggunaan untuk menghasilkan WMD dan mereka terus menjadi ancaman kepada keselamatan antarabangsa.

"Memandangkan terdapat pelbagai cara dan kaedah yang boleh digunakan mereka untuk mengeksploitasi, masyarakat antarabangsa harus terus membangunkan kaedah-kaedah inovatif dan berkesan untuk menangani cabaran-cabaran ini," kata Dr Maliki.

Beliau berkata usaha memerangi percambahan WMD memerlukan usaha terselaras di kalangan semua agensi Pemerintah, dan perwakilan berbilang negara di latihan keselamatan itu akan membantu dalam menyampaikan mesej pencegah yang kukuh kepada para bakal dalang.

"Tiada negara mempunyai sumber dan keupayaan untuk secara sendiri menangani masalah berbilang aspek dan rentas negara ini," kata Dr Maliki.

Latihan empat hari dari 27 hingga 30 September itu akan melibatkan lebih 800 kakitangan dari 21 negara. Para peserta akan menyertai satu siri kegiatan laut dan pantai untuk meningkatkan keupayaan mereka mengekang percambahan senjata pemusnah.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan