Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Majlis Families for Life perkenal panduan milenial bagi eratkan hubungan ibu bapa dan anak remaja

Dua bengkel interaktif diperkenalkan buat julung-julung kalinya dalam  Kongres Keibubapaan Singapura (SPC) bagi melengkapi ibu bapa dengan kemahiran baru dalam menangani anak-anak yang berusia antara sembilan hingga 19 tahun. 

Anggaran Waktu Membaca:
Majlis Families for Life perkenal panduan milenial bagi eratkan hubungan ibu bapa dan anak remaja

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim yang menghadiri bengkel "Menjadi Seorang 'Vlogger'". (Gambar: Mediacorp)

SINGAPURA: Dua bengkel interaktif diperkenalkan buat julung-julung kalinya dalam Kongres Keibubapaan Singapura (SPC) bagi melengkapi ibu bapa dengan kemahiran baru dalam menangani anak-anak yang berusia antara sembilan hingga 19 tahun.

Kongres tahun ini dengan tema "Tune in to your Child" memberi tumpuan kepada usaha mendampingi anak yang membesar dalam era digital.

Dua bengkel yang dianjurkan itu adalah "Pengekodan aplikasi mudah alih dari mula" yang dianjurkan oleh Roboto Academy dan "Menjadi Seorang 'Vlogger'" oleh Cornerstone Community Services.

Selaras dengan fokus SPC 2017, iaitu hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak, Majlis Families for Life juga memperkenalkan panduan khas bagi ibu bapa yang turut mengandungi ungkapan-ungkapan yang kerap digunakan oleh golongan milenial di Singapura.

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim yang menghadiri bengkel "Menjadi Seorang 'Vlogger'" turut beramah mesra dengan ibu bapa dan kanak-kanak yang menyertai bengkel tersebut.

Menurut Dr Faishal: "Dengan bimbingan yang betul mengenai penggunaan teknologi dan media sosial, kita dapat merapatkan jurang generasi untuk berinteraksi dengan lebih berkesan bersama anak-anak kita. Dengan ini kedua-dua ibu bapa dan anak-anak mereka dapat saling berhubungan antara satu sama lain."

"Sebagai ibu bapa kita mesti berusaha untuk mempertingkatkan diri dan mengikuti perkembangan teknologi yang dapat mempengaruhi anak-anak kita secara positif. Ini akan mewujudkan persefahaman yang lebih baik antara anggota keluarga dan membina kepercayaan serta keyakinan yang lebih kukuh," tegas Dr Faishal.

Pengerusi Majlis Families for Life Encik Ching Wei Hong berkata: "Zaman remaja adalah tempoh yang mencabar di mana anak kita cuba mencari identiti dan bergelut dengan isu-isu seperti pengaruh rakan sebaya dan keinginan untuk berdikari.

"Maka itu adalah penting untuk ibu bapa untuk terus terlibat dalam kehidupan anak-anak mereka dan pada masa yang sama memberikan mereka ruang untuk belajar dan membesar dengan betul," tambah Encuk Ching.

Lebih 3,000 peserta mengambil bahagian dalam SPC 2017 yang diadakan selama dua hari dari 18 hingga 19 November.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan