Images
  • bicycles
    Basikal-basikal dari penyedia khidmat basikal sewa yang berbeza. (Gambar: Kenneth Lim)

Majlis bandaran PAP, LTA lakar peraturan bagi basikal sewa

SINGAPURA: Sebanyak 15 majlis bandaran yang dikendalikan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sedang melakar peraturan bagi menyewa, meletak dan mengayuh basikal, menurut Pengerusi Penyelaras bagi Majlis Bandaran PAP Dr Teo Ho Pin pada Jumaat (19 Mei).

Sebagai sebahagian daripada rangka kerja baru itu, majlis-majlis bandaran akan memperuntukkan "petak pulangkan basikal" atau zon letak basikal dan mengenal pasti laluan sesuai bagi para pengayuh.

LTA juga akan "mengambil tindakan penguatkuasaan (terhadap) para pengayuh yang cuai," menurut Dr Teo.

Contoh bagi zon letak basikal sebegini dapat dilihat di kawasan-kawasan seperti Jurong dan Tampines, selepas ia memeterai kerjasama dengan para pengendali dan majlis bandaran masing-masing.

Langkah itu turut diambil sedang khidmat sewa basikal semakin popular sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan adanya para pengendali yang menyediakan khidmat "tanpa dok" - di mana para pengguna boleh menyewa basikal tanpa memulangkannya di stesen-stesen tertentu.

Bagaimanapun, ini menyebabkan beberapa kes "meletakkan basikal secara haram", di mana basikal ditinggalkan berhampiran tangga, menghalang laluan kecemasan kebakaran dan koridor.

Majlis-majlis bandaran juga merujuk kepada kelakuan tidak berbudi, seperti memecut dan mengayuh dengan cuai, sebagai antara keprihatinan utama.

Mediacorp difahamkan bahawa antara langkah yang akan dikuatkuasakan ialah basikal yang diletakkan secara haram akan "ditunda". Para pengendali basikal sewa kemudian harus menanggung kos mendapatkan semula dan menyimpan basikal-basikal itu.

Langkah tersebut juga diambil sebelum peraturan baru yang mentadbir dan mengawal selia penggunaan alat pergerakan peribadi dan basikal di laluan awam dikuatkuasakan.

Ini termasuk denda yang lebih berat bagi mereka yang mengayuh dengan cuai.

Rang Undang-Undang Mobiliti Aktif yang diluluskan di Parlimen pada Januari, dan penggubalan undang-undang itu dijangka dikuatkuasakan pada lewat tahun ini. 

- CNA/im

Top
>