Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Maaf, semua kambing korban di masjid S'pura habis dijual!

Kesemua 3,700 kambing yang akan diimport ke Singapura dari Australia, bagi ibadah korban tahun ini, habis dijual. Demikian menurut Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) dalam kenyataan medianya hari ini (10 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika anda belum menempah sebarang kambing untuk ibadah korban di masjid-masjid tempatan, ini berita buruk untuk anda.

Kesemua 3,700 kambing yang akan diimport ke Singapura dari Australia, bagi ibadah korban tahun ini, habis dijual. Demikian menurut Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) dalam kenyataan medianya hari ini (10 Ogos).

Namun ini sebenarnya adalah berita baik bagi masyarakat Islam Singapura, kerana ia bermakna semangat untuk melakukan korban dalam negeri masih terus utuh dan rancak.

Selain itu, jawatankuasa tersebut juga menyatakan bahawa persiapan bagi 25 masjid-masjid yang akan mengadakan korban tahun ini juga sedang berjalan dengan lancar.

JUALAN KAMBING AMAT MEMBERANGSANGKAN

Memberikan respons terhadap pertanyaan BERITAMediacorp mengenai sambutan penjualan korban tahun ini, Pengerusi JKMS Haji Saat Matari mendedahkan ia amat memberangsangkan.

Malah, apabila pendaftaran di masjid-masjid bagi ibadah korban ditutup, masih ramai lagi membuat pertanyaan dan permohonan untuk membuat tempahan.

Penutupan pendaftaran ini juga lebih awal daripada yang ditetapkan pada 15 Ogos ekoran kambing yang laris ditempah.

Encik Haji Saat mendedahkan kepada BERITAMediacorp, ini memberikan indikasi bahawa para penduduk Muslim Singapura masih inginkan ibadah korban dijalankan di masjid-masjid tempatan.

"Jemaah kita masih tetap mahu melihat sendiri ibadah korban di jalankan, dan memastikan syiar Islam diteruskan," ujar Encik Saat.

Bagi tahun ini, sekitar seminggu selepas pendaftaran bagi ibadah korban dibuka, lebih 2,000 kambing sudahpun ditempah.

Hingga hujung minggu lalu pula, hanya sekitar 70 ekor kambing sahaja yang masih belum ditempah dan hanya Masjid Jamae Chulia yang masih menerima tempahan.

Tambah beliau, respons tersebut amat menggalakkan kerana ia petanda bahawa masyarakat Islam tempatan berkobar-kobar ingin membantu golongan susah dan saudara mereka.

"Selain membantu golongan yang memerlukan, jemaah juga berpeluang membawa balik sebahagain daging korban untuk saudara-mara - sesuatu yang tak boleh mereka perolehi di luar musim ibadah korban," kata Encik Haji Saat.

MASIH MAHU LAKUKAN KORBAN? BOLEH, DI LUAR NEGARA SAHAJA

Dengan semua kambing habis dijual, mereka yang berhasrat untuk menunaikan ibadah korban hanya boleh melakukannya di luar negara.

JKMS juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai menyokong ibadah korban tahun ini.

Buat tahun 2017, sebanyak 200 kambing ditambah berbanding tahun lalu dan harga kambing juga lebih rendah - iaitu S$485 berbanding S$490 tahun lalu.

Tambahan pula, pada tahun ini, kambing-kambing korban diimport dari Australia sahaja.  

Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan