Images
  • headphone
    (Gambar: REUTERS/Marcos Brindicci)

Lush 99.5FM akan henti siaran mulai Sep ini

SINGAPURA: Mulai September ini, stesen radio Lush 99.5FM akan berhenti keudara. Demikian menurut Mediacorp dalam satu kenyataan hari ini (17 Jul).

Keputusan itu diambil sebagai sebahagian daripada langkah rasionalisasi rangkaian stesen-stesen radionya.

Jumlah pendengar setsen tersebut sudah merosot sejak tahun-tahun kebelakangan ini sehingga mencatat 50,000 pendengar setiap minggu sekarang ini. "Keperluan para pendengar Lush semakin dipenuhi secara online dan di wadah-wadah alternatif," menurut Mediacorp.

Walaupun usaha sudah dilakukan untuk meningkatkan jumlah pendengar, Lush terus mencatat jumlah pendengar terendah di kalangan stesen-stesen radio Mediacorp.

Oleh itu, syarikat tersebut memutuskan untuk mengalihkan sumber-sumber dan usahanya kepada lima stesen berbahasa Inggerisnya yang ada. Elemen-elemen utama Lush akan disenyawakan kepada stesen-stesen yang ada.

Perancangan-perancangan baru bagi stesen radionya akan diumumkan lewat tahun ini, menurut Mediacorp.

Lush dilancarkan pada tahun 2004 dan dipasarkan sebagai stesen muzik 'indie' dengan tumpuannya ialah menyokong muzik dan kesenian tempatan.

Dalam pada itu Mediacorp turut mendedahkan, inisiatif baru Singapore Sounds, yang akan dilancarkan di 987FM, bakal mengetengahkan dengan ketara artis-artis tempatan dan muzik arus utama tempatan. Stesen 938LIVE pula akan mengetengahkan artis-artis bebas.

Inisiatif itu juga bertujuan mendekati para pemain industri dan menggalakkan mereka supaya menganjurkan acara-acara yang menambat minat para pendengar tempatan.

"Mediacorp sungguh berterima kasih kepada semua pendengar yang menyokong Lush 99.5FM sejak bertahun-tahun lamanya," menurut syarikat media itu lagi. 

- CNA/im

Top