Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lupa bawa pasport atau pasport salah ke pusat pemeriksaan, jejas proses pelepasan imigresen

Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sekitar 600 rakyat Singapura  tiba di pusat-pusat  Pemeriksaan Tuas dan Woodlands dengan membawa pasport yang salah atau tanpa pasport. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Dec 2017 08:21PM Dikemas Kini : 13 Dec 2017 10:57PM

SINGAPURA: Dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sekitar 600 rakyat Singapura tiba di pusat-pusat Pemeriksaan Tuas dan Woodlands dengan membawa pasport yang salah atau tanpa pasport.

Meskipun ia satu kesilapan, mereka tetap dikenakan pemeriksaan keselamatan yang rapi, yang menjejas proses pelepasan imigresen.

Demikian menurut Peguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) hari ini (13 Dis).

"Selepas kami menjalankan pemeriksaan, individu itu tetap tidak boleh meninggalkan negara ini. Disebabkan pusat pemeriksaan kawasan terlarang dan kami memerlukan para pegawai untuk membawanya keluar," kata Superintendan Muhammad Nagib Ali, penolong kanan komander kanan di Pusat Pemeriksaan Tuas.

Meskipun jumlahnya tidak banyak dan merosot sedikit daripada 622 orang pada 2015, ICA menyatakan bahawa kes-kes ini boleh dielakkan dan berpotensi untuk mengakibatkan kesesakan dan memerlukan tenaga kerja yang berlebihan.

Sekitar 3,000 warga asing juga cuba untuk memasuki Singapura menggunakan dokumen perjalanan yang tidak sah, tamat tempohnya ataupun tiada dokumen langsung.

ICA mendedahkan demikian dalam sidang media di Pusat Pemeriksaan Tuas tentang bagaimana operasi di pusat pemeriksaan diuruskan semasa musim sibuk hujung tahun.

PERSIAPAN JELANG TRAFIK LEBIH TINGGI

Keadaan trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands and Tuas dijangka sesak bermula 22 Disember sehingga 26 Disember dan 29 Disember sehingga 1 Januari tahun depan, menurut ICA.

Semasa tempoh cuti hujung tahun, sekitar 430,000 pelawat melalui kedua-dua pusat pemeriksaan, iaitu peningkatan sebanyak 8 peratus daripada 400,000 orang pada hari-hari biasa.

Untuk melancarkan pengaliran trafik, ICA menyatakan pihaknya memantau keadaan trafik dan membuka lorong-lorong jalan raya yang diperlukan untuk pelbagai kenderaan. Di jalan raya pula, para pegawai akan memastikan tiada keadaan "ballooning" yang disebabkan penunggang motosikal yang cuba memotong dengan memasuki dari lorong luar.

Keadaan tersebut boleh menyebabkan kesesakan kerana motosikal boleh mengisi semua lorong, yang menyekat perjalanan bas dan kereta.

Para pegawai ICA juga bekerja sehingga 14 jam sehari untuk menangani aliran trafik apabila ia mula sesak seawal jam 5.00 pagi. Pihak berkuasa turut menggunakan teknologi untuk melancarkan aliran trafik, dengan menyediakan 164 lorong pemeriksaan automatik di kedua-dua pusat pemeriksaan bagi motosikal. Kaunter-kaunter ini, menurut ICA, boleh mempercepatkan proses pelepasan sebanyak 30 peratus.

KESELAMATAN TETAP DIBERI KEUTAMAAN

Walaupun keadaan trafik sesak, ICA menyatakan keselamatan tidak diabaikan.

Di setiap tahap proses pelepasan imigresen, para pegawai mengenal pasti pelawat yang cuba menyeludup barang-barang terlarang ataupun orang-orang yang mencurigakan.

Dari Januari hingga Oktober tahun ini, sekitar 36,000 kes sedemikian dikesan menerusi pusat pemeriksaan darat. Secara purata, 118 kes dikesan setiap hari, kebanyakannya melibatkan penyeludupan rokok dan dadah yang disembunyikan pada badan dan dalam bahagian-bahagian yang diubah suai.

Memandangkan hanya Pusat Pemeriksaan Tuas membenarkan ayam itik dan bahan-bahan berbahaya dibawa masuk, kargo juga diperiksa bagi bahan-bahan kimia, biologi, radiologi dan letupan, serta juga virus pada ayam itik.

"Ini amat penting kerana bahan-bahan ini boleh digunakan untuk membuat bom atau niat buruk yang boleh menyebabkan kerosakan kepada Singapura," kata Superintendan Nagib.  

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan