Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

#lontarbalik: 10 kisah belia berwawasan dipapar BERITAMediacorp pada 2016

Daripada arena sukan, hingga ke bidang niaga. Ramai anak muda sudah dipaparkan BERITAMediacorp dalam tahun 2016, bagi pelbagai pencapaian dan kisah menarik mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: ‘Beri aku 10 pemuda, nescaya akan ku goncangkan dunia’. Demikian kata mantan Presiden Sukarno satu masa dahulu.

Daripada arena sukan, hingga ke bidang niaga. Ramai anak muda sudah dipaparkan BERITAMediacorp dalam tahun 2016, bagi pelbagai pencapaian dan kisah menarik mereka.

Dalam laporan berikut, kami menyingkap kembali 10 kisah yang memaparkan anak-anak muda Melayu/Islam bermotivasi tinggi:

10. HANNAH SOFEAH & FAZA NADHIRAH – KORBAN CUTI SEKOLAH DEMI HIDANGKAN 10,000 MAKANAN PERCUMA

Semangat kekitaan bermula sejak usia muda bagi pasangan adik beradik Hannah Sofeah, 14 tahun dan Faza Nadhirah, 17 tahun.

Tahun ini, sedang rakan-rakan sekolah mereka sibuk bercuti, Hannah dan Faza pula berhempas pulas bersama 120 sukarelawan lain untuk menghidangkan 10,000 bungkusan makanan buat golongan kurang berkemampuan, di bawah naungan inisiatif ‘Free Food for All’ (FFFA).

Kerja-kerja amal sebegini memang sebati dengan hidup dua beradik ini.

Sejak kecil lagi mereka giat membantu ibu mereka menyampaikan cek kepada anak-anak penagih, di bawah Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF).

Ini walaupun Faza sebenarnya kurang daya pendengaran sejak usia dua tahun. Keadaan ini tidak dijadikan hambatan, malah menjadi perangsang buat beliau membawa keceriaan kepada orang lain.

“Mungkin pada masa depan saya ingin menolong kanak-kanak kurang upaya kerana saya sendiri kurang daya pendengaran,” kata Faza Nadhirah.

9. NOMAD & PSYCHKICK – MENANG $40,000 DALAM PERTANDINGAN DUNIA

Mencari modal niaga bukan perkara yang mudah, inikan pula jika perlu bergelut dengan 42 pasukan dari 15 negara.

Namun itulah yang berjaya dilakukan oleh dua pasukan usahawan sosial Singapura – Nomad dan PsychKick, di acara Usahawan Sosial Muda (YSE) anjuran Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF), Oktober lalu.

Kedua-dua pasukan ini antara enam pasukan yang membawa pulang $20,000 setiap satu untuk memajukan perusahaan sosial mereka.

PsychKick yang diterajui Nurul Syafiqah, pelajar La Salle, 23 tahun, bermatlamat membantu pesakit psikoterapi dengan memanfaatkan teknologi applikasi telefon bijak.

PsychKick dimulakan April lalu, bersama dengan rakan beliau Sayid Hafiz dan Zachary. Masalah yang ingin diatasi syarikat itu diilhamkan oleh pengalaman Syafiqah sendiri yang pernah menghidapi kemurungan satu ketika dulu.

Bagi Nomad pula, masyarakat yang ingin dibantu terletak jauh di sebuah perkampungan di India.

Model perniagaan Nomad – yang dianggotai pelajar sepenuh masa di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Muhammad Haziq Mohd Rashid dan Mohd Nasrul Rohmat – adalah dengan memanfaatkan kemahiran turun temurun penduduk di sana untuk menghasilkan kraftangan kulit berkualiti tinggi.

Barangan ini kemudian dijual dengan harga premium di pasaran dunia untuk memberi pendapatan tetap bagi penduduk di situ. Keuntungan selebihnya pula disalurkan bagi kerja-kerja naik taraf sekolah dan membiaya lebih 100 kanak-kanak di sekolah tersebut.

8. NOR LASTRINA HAMID - ‘KAPTEN PLANET’ SINGAPURA

Kanak-kanak yang dibesarkan di era 90an pasti kenal dengan Captain Planet – watak kartun yang mempertahankan bumi dari bencana pencemaran.

Bagi Nor Lastrina Hamid, 27 tahun pula, dia seolah-olah menghidupkan watak zaman kecilnya itu menjadi kenyataan. Tahun ini beliau diberi Anugerah EcoFriend 2016 oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di atas usahanya memperjuangkan isu-isu iklim.

"Selama saya menjadi sukarelawan dalam sektor alam sekitar ini dalam lima, enam tahun ini, saya dapati memang banyak organisasi dan ramai individu yang suka menganjurkan acara mereka sendiri yang berkaitan dengan alam sekitaran.

"Dari situ, saya lihat ini adalah satu wadah yang mana kita boleh menawarkan satu portal yang membolehkan orang ramai melihat dengan lebih senang lagi dan dari situlah #LepakInSG dilahirkan," kata beliau.

#LepakInSG, salah satu inisiatif yang dimulakannya, adalah kalendar online yang menyenaraikan acara-acara berkaitan alam sekitar mendapat sokongan lebih 20 badan kebajikan.

Ini bukan kali pertama nama Lastrina muncul di media. Tahun lepas, beliau diberi amanah untuk mewakili gerakan belia antarabangsa, YOUNGO untuk menyampaikan ucapan mengenai isu iklim, di hadapan pemimpin dunia di satu segmen peringkat tinggi rundingan di Paris.

7. SHEIKH MUHAMMAD SAID – NIAGA TUKIKAN DI RUANG SIBER

Selepas tamat pengajian pada 2014, Sheikh Muhammad Said mengambil masa setengah tahun sebelum akhirnya mendapat pekerjaan. Bagi kebanyakan orang, pengalaman pahit sebegitu cukup membuat mereka serik dan tidak mahu meninggalkan pekerjaan mereka, terutamanya di tengah-tengah keadaan ekonomi yang suram ini.

Namun, lulusan Sarjana Muda Sains dalam jurusan Ekonomi itu sebaliknya memutuskan untuk berhenti kerja bagi membuka perniagaannya sendiri. Awal tahun ini, Said menubuhkan Fowrty, sebuah perniagaan dalam talian yang menjual pakaian khusus bagi lelaki bertubuh besar dari saiz XL sehingga 14 XL.

"Ternyata apabila kita buat penyelidikan pasaran, kita lihat di Singapura ada juga kedai-kedai runcit seperti di Peninsula Plaza tetapi secara online, tidak ada. Jadi apabila kita lihat zaman sekarang lebih banyak ke platform e-dagang, kita rasa itu cara yang baik untuk mendekati pelanggan,” ujar Said, 28 tahun.

Mungkin juga keputusan beliau itu merupakan suatu tindakan yang bijak, kerana Pasaran e-dagang Singapura dijangka mencecah $7 bilion pada tahun 2025.

6. ARFIAN ISHAK - KOPI 2.O, SATU!

Apabila ditemui Julai lalu, Arfian Ishak adalah satu-satunya usahawan muda Melayu di antara 15 yang dipamerkan di acara A Superlife Affair di hotel empat bintang, Hotel Jen Tanglin.

Acara itu merupakan sebahagian daripada kempen #NextJen oleh Hotel Jen yang bermatlamat untuk mendedahkan jenama-jenama tempatan di peringkat antarabangsa.

Walaupun usianya agak muda, pengasas syarikat yang memanggang dan membekal biji kopi 'Nomad The Gallant' itu sebenarnya sudah mempunyai 10 tahun pengalaman dalam industri kopi. Mungkin pengalaman ini yang membuatnya berani menghadapi peniaga-peniaga yang lebih mapan, di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Tidak takut untuk menghadapi orang yang lagi berjaya. Kadang-kadang mereka adalah orang yang boleh memberi nasihat. Jadi banyak bergaul, tidak boleh malu dan segan bak kekata, ‘malu bertanya sesat jalan’," ujar Arfian.

Sejak ditemui, Arfian kini membuka sebuah kafe sandwic bernama Hungry Bazterdz. Kafe itu banyak ditukil oleh blog-blog makanan tempatan.

5. SITI RAFIDAH OSMAN – BELIA PEREMPUAN INI PECAHKAN SILING KACA ‘INDUSTRI LELAKI’

Bidang niaganya pasti membuat anda mengangkat kening kehairanan. Tapi awas, takut kening itu habis dicukur nanti.

Apa tidaknya, Siti Rafidah Osman, 24 tahun, memilih untuk menjadi tukang gunting rambut untuk lelaki – ataupun dalam bahasa Inggeris, seorang ‘barber’.

Malah, lulusan Diploma Rekaan Grafik yang lebih selesa dipanggil Fidd itu, bukan calang-calang barber. Dia mempunyai kedainya sendiri yang dinamakan Limpeh Barber Shop, dan menggajikan tiga orang tukang gunting.

Perniagaannya bermula secara kecil-kecilan, di depan rumahnya sendiri. Namun berkat ketekunan dan usaha gigih, beliau diberi peluang menumpang sebuah kerusi di kedai milik makciknya, dan akhir sekali mengambil alih keseluruhan kedai tersebut setelah makcik berkenaan tidak meneruskan sewa.

Bagi Fidd, menjalankan perniagaannya di kawasan kejiranan Bedok itu bukan setakat sumber mencari nafkah, tetapi juga wadah untuk beliau beramah mesra dengan penduduk kawasan di situ.

"Ramai pelajar datang sini dan mereka tidak segan untuk berkongsi cerita-cerita menarik. Ada cerita gembira, ada cerita yang sedih dan saya turut memberikan nasihat saya kepada mereka," katanya.

Yang pasti, pemilik Limpeh (istilah Hokkien bermaksud ‘Bapa anda’) Barber Shop itu, memecahkan satu siling kaca dalam gelanggang 'kedai gunting'!

4. MUHD AFHAM ABBAS & MUHD NOH ARJUNA – ARTIS ‘ISTIMEWA’ BERBAKAT

Hasil karya Muhammad Noh, seorang pelukis autistik dan Muhammad Afham yang mengalami kemurungan, antara 130 karya yang dipamerkan selama seminggu di pusat membeli-belah Raffles City Oktober ini.

Pameran berjudul Re:joy anjuran badan kebajikan Very Special Arts (VSA) Singapore itu adalah pameran yang penuh bermakna, kerana ia menghimpunkan karya-karya dari 40 pelukis kurang upaya.

Bagi mereka, lukisan dan hasil seni bukan setakat hiasan, tetapi kanvas meluahkan perasaan terpendam.

“Ia dapat memberikan kami yang kurang upaya ini sesuatu platform untuk kami menonjolkan bakat kami. Pasaran seni amat kecil, jadi susah bagi kita. Dengan adanya VSA kita dapat menampilkan karya-karya kami,” kongsi Afham, yang melukis setiap kali dibelenggu masalah.

Bagi Muhammad Noh pula, yang juga seorang pelukis ilustrasi di sebuah syarikat penerbitan animasi, pameran itu adalah wadah untuk beliau memaparkan hasilnya untuk masyarakat umum.

“Saya nak tunjukkan kepada orang yang saya ada bakat. Saya mahu orang kenal Noh sebagai seorang artis,” jelas Noh tentang harapannya.

Jelasnya, kedua-dua artis ini menunjukkan yang cabaran dan liku-liku kehidupan boleh diputar menjadi hasil yang positif.

3. SHAKIR JUANDA & SHEIK FARHAN – JOHAN PENCAK SILAT DUNIA

Pasukan muda pesilat Singapura menang besar tahun ini, setelah membawa pulang sebelas butir pingat dari Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-17 di Bali Disember lalu.

Muhammad Shakir Juanda, 28 tahun, menjuari Kelas I (85-90kg), sementara Sheik Farhan Sheik Alau'ddin, 19 tahun, menjuarai Kelas J (90-95kg), untuk meraih pingat emas bagi Singapura. Pasukan tersebut juga memenangi satu perak dan lapan gangsa.

Kemenangan besar disambut meriah masyarakat setempat, malah diberi ucapan tahniah khas dari ramai pemimpin setempat seperti Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu, Setiausaha Parlimen, Kementerian Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin dan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

2. MUHAMMAD NORAMIN - PENUNTUT PhD PERTAMA TERIMA ANUGERAH BELIA HARAPAN GOH CHOK TONG

Menerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong merupakan pengiktirafan yang mengharumkan seorang anak muda.

Tapi buat Muhammad Noramin Mohamed Farid, 30 tahun, pengiktirafan ini lebih bermakna kerana beliau merupakan pelajar doktor falsafah (PhD) yang pertama dinobatkan dengan anugerah tersebut.

Anugerah itu sebagai mengiktiraf usahanya memperkasa seni tari Melayu di pentas dunia menerusi himpunan seni "The Bhumi" di Britain. Beliau menerima anugerah berbentuk biasiswa untuk membiayai yuran pengajian ijazah PhD dalam kajian Drama dan Teater di sebuah universiti di London tahun depan.

"Saya ingin membuat kajian lagi untuk menyemarakkan lagi dan juga untuk menyumbang kepada kajian kesenian tradisi di Singapura, bukan sahaja tarian Melayu dan saya berharap kajian saya akan dapat membantu anak-anak muda untuk terus berjuang," kata Noramin.

"Saya berharap mereka juga boleh mendapatkan sokongan, bukan sahaja keluarga, juga dari kawan, dari mentor-mentor tari atau seni, untuk memberikan mereka semangat untuk terus berjuang," beliau memberitahu BERITAMediacorp.

Selain Noramin, 10 belia lain dipilih sebagai penerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong, kategori cemerlang tahun ini.

1. TENGKU AHMAD SYAMIL - PENCAPAIAN DIIKTIRAF SENARAI ‘FORBES 30 UNDER 30’ ASIA

Walaupun masih bersekolah, Tengku Ahmad Syamil sudahpun dimasukkan di dalam senarai Forbes – sebuah pengiktirafan antarabangsa yang dipandang tinggi golongan usahawan.

Beliau yang berumur 25 tahun itu, dinobat sebagai antara 30 Usahawan Bawah Umur 30 di rantau Asia, bagi kategori usahawan sosial (30 Under 30 2016 Asia: Social Entrepreneurs). Beliau menerima pengiktirafan berprestij itu berkat usaha murni dan daya inovasinya dalam mengasaskan wadah biasiswa hasil pendanaan orang ramai, Skolafund, bersama Encik Syakir Hashim.

"Menerima pengiktirafan dari Forbes memberikan kami rangsangan moral dan merupakan satu isyarat bahawa kami harus terus berusaha bersungguh-sungguh," kata Tengku Syamil, CEO Skolafund yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan pentadbiran perniagaan.

"Ia juga mempertingkatkan kredibiliti pasukan Skolafund, dan satu hari nanti, para pelabur akan bersikap lebih serius dan menyokong kami," ujarnya lagi, awal tahun ini.

Kata-kata beliau itu ternyata menjadi kenyataan. Menurut laman Skolafund di Facebook bertarikh 10 Disember, mereka baru-baru ini berjaya mengumpulkan RM70,000 buat 10 penuntut di Universiti Kolej Widad.

Trivia tambahan: Tahukah anda, jejaka tampan ini juga merupakan anggota kumpulan nasyid Irsyadee, yang terdiri dari anggota alumnus Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah?

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan