Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Life is Sew Good!' mengupaya 50 wanita kurang bernasib baik jana wang dengan kemahiran menjahit

Membantu sehingga 50 wanita dari golongan kurang bernasib baik dengan kemahiran menjahit demi mengupayakan mereka bekerja sebagai tukang jahit bagi menjana pendapatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Membantu sehingga 50 wanita dari golongan kurang bernasib baik dengan kemahiran menjahit demi mengupayakan mereka bekerja sebagai tukang jahit bagi menjana pendapatan.

Kursus belajar menjahit itu juga dianjurkan secara percuma untuk para pesertanya.

Demikian matlamat program 'Life is Sew Good!' kendalian badan Keusahawanan Sosial, TEAG, yang dilancarkan hari ini (30 Sep).

PROGRAM DITAJA CLF

Bagi Encik Affendy Abdullah dan isterinya, bantuan bagi golongan wanita memerlukan lebih bermakna jika mereka memperoleh kemahiran yang berpotensi menjadi sumber pendapatan kelak.

Oleh itu, mereka bercadang mengadakan program 'Life is Sew Good' di mana peserta belajar menjahit secara percuma. Sebahagian besar program ini ditaja Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).

Ini menyusul setelah kejayaan Program Menjahit Impak Sosial Syaaban dan Ramadan yang diadakan sebelum ini. Lebih 70 peratus peserta selesai menjalani sekurang-kurangnya fasa pertama program tersebut.

Para peserta pada umumnya menyukai program seperti ini kerana mereka dapat meluangkan masa melakukan sesuatu yang bermanfaat.

PENGALAMAN 2 PESERTA TEAG SEW SUITE

"Program ini bagus buat saya kerana, daripada saya duduk rumah dan bermain 'game', saya datang sini saya boleh buat sesuatu. Saya dapat banyak idea baru, yang saya rasa saya tak pernah terfikir seperti membuat keychain," kata Cik Aini, peserta program TEAG Sew Suite.

Bagi Ibu tunggal kepada empat orang anak ini pula, beliau memberanikan diri untuk mendaftar dalam program tersebut walaupun tanpa teman, dan walaupun Studio jahit di Bedok Reservoir itu juga jauh dari flatnya di West Coast.

"Mula-mula memanglah ada niat nak belajar kemahiran baru tapi tak tahu kat mana. Nak menimba ilmu, tak perlukan teman. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah, kemahuan itu ada," kata Cik Yati.

Program baru Teag Sew Suit kali ini membuka peluang kepada 50 wanita berbanding 18 orang, bagi program sebelumnya.

DITAWAR PEKERJAAN SELEPAS SELESAI PROGRAM

Skop peserta mereka juga lebih luas iaitu bagi belia bermasalah, bekas penagih dadah dan wanita dari keluarga berpendapatan rendah.

"Kami berharap, program ini adalah satu permulaan untuk mereka memperkasakan diri mereka, untuk meningkatkan kemahiran mereka supaya mereka tidak perlu lagi menerima bantuan.

"Mereka dapat berdikari dengan adanya pekerjaan ataupun ada perniagaan kecil-kecilan untuk menjahit ataupun untuk membuat barang-barang kecil," kongsi Encik Mohammad Affendy Abdullah, Pengasas TEAG Sew Suit.

Program 'Life is Sew Good' mempunyai tiga fasa di mana peserta akan mendapat elaun. Di akhir program ini, empat peserta akan ditawarkan pekerjaan tetap atau separuh masa di studio jahitnya.

Setakat ini, mereka sudah mendapat sekitar 30 peserta yang disarankan pertubuhan-pertubuhan kebajikan.

Sebagai permulaan, mereka secara rasmi bekerjasama dengan Persatuan Wanita dalam Pemulihan (WIRA) dan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) hari ini.

Minggu depan, mereka juga akan bekerjasama dengan pertubuhan Casa Raudha. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AQ/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan