Images
  • shengwu
    Li Shengwu di Cambridge, Massachusetts pada 12 Ogos 2017. (Gambar: Reuters/Tim McLaughlin)

Li Shengwu lantik peguam bagi kes hina mahkamah

SINGAPURA: Anak saudara Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Li Shengwu yang kini berdepan dengan tindakan menghina mahkamah, melantik Encik Abraham Vergis, Pengarah Urusan Providence Law Asia, untuk mewakili dirinya.

Encik Li, seorang Felo Muda di Universiti Harvard, tidak hadir semasa sesi sidang sebelum perbicaraan (PTC) di Mahkamah Tinggi hari ini (13 Nov).

PTC seterusnya akan diadakan pada 4 Disember, memberikan Encik Vergis masa untuk menyemak semula kes tersebut.

Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan untuk mengambil tindakan terhadap Encik Li kerana gagal memadamkan catatan Facebook beliau pada 15 Julai mengenai sistem kehakiman Singapura.

Permohonan AGC itu diluluskan Mahkamah Tinggi pada Ogos.

Catatan privet itu dilampirkan juga dengan rencana yang diterbitkan The New York Times pada 2010 bertajuk "Censored in Singapore".

"Perlu diingat, sudah tentunya, pemerintah Singapura bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang untuk menyelesaikan pertikaian dan mempunyai sistem mahkamah yang mudah dipengaruhi. Ini membataskan apa yang boleh dilaporkan media antarabangsa," tulis Encik Li.

Catatannya itu dikongsi luas di Singapura selepas Encik Li menerbitkannya, menurut AGC.

AGC kemudiannya mengirimkan surat amaran kepada Encik Li pada 21 Julai, yang memintanya untuk "menghentikan hinaan" dengan memadamkan catatan dari laman Facebooknya dan lain-lain wadah online selewat-lewatnya 28 Julai.

Beliau juga diminta untuk memohon maaf dan "mengeluarkan dan membuat catatan bertulis" mengikut syarat yang ditetapkan dalam surat AGC di laman Facebooknya.

Encik Li minta tarikh beliau beri respons dilanjutkan kepada 4 Ogos namun, masih gagal memadamkan catatan itu sebelum tempoh tarikh tersebut.

Beliau menyunting pos tersebut untuk "menjelaskan maksud beliau". 

- CNA/FA/fa

Top