Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dipenjara 18 tahun; cekik wanita tua sehingga mati dalam "rompakan tak menjadi"

Dalam keadaan tidak berduit dan terdesak, P Mageswaran menziarahi seorang rakan pada 9 Disember 2013, dengan harapan akan dipinjamkan wang.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 18 tahun; cekik wanita tua sehingga mati dalam "rompakan tak menjadi"

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 20 Jul 2017 05:50PM Dikemas Kini : 20 Jul 2017 05:51PM

SINGAPURA: Dalam keadaan tidak berduit dan terdesak, P Mageswaran menziarahi seorang rakan pada 9 Disember 2013, dengan harapan akan dipinjamkan wang.

Namun, apabila rakannya menolak permintaan itu, Mageswaran menggeledah flat beliau yang terletak di Yishun dan menjumpai sekotak barang kemas bernilai sekitar $10,000 di dalam sebuah almari.

Sebelum sempat melarikan diri dengan hasil rompakan itu, rakannya yang bernama Kanne Lactmy, 62 tahun, segera menariknya dan mengancam untuk menelefon anak lelakinya .

Mageswaran kemudian menolak Cik Lactmy, menyambar bantal dari katil dan melemaskan wanita itu.

Mageswaran juga mencekik Cik Lactmy sehingga beliau mati 10 minit kemudian.

Mageswaran disabit kesalahan membunuh tanpa niat pada bulan Mei dan hari ini (20 Jul) dijatuhi hukuman penjara 18 tahun.

Pihak pendakwa raya menggesa supaya dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, merujuk kepada jenayah-jenayah lampau penganggur itu.

Mageswaran pernah melakukan beberapa rompakan pada tahun 2007 dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan sebatan rotan sebanyak 24 kali.

"Saya bersetuju dengan pihak pendakwa raya bahawa (rekod jenayahnya) membimbangkan," kata Pesuruhjaya Kehakiman Hoo Sheau Peng.

"Dalam kes terbaru ini, yang disebabkan keadaan kewangan yang mendesak, (Mageswaran) sekali lagi merompak. Malah kali ini, dia turut meragut nyawa (orang lain)."

Namun JC Hoo berkata hukuman penjara seumur hidup "bukan jaminan" dalam kes ini. JC Hoo akur bahawa Mageswaran tidak merancang untuk membunuh, namun melakukannya "tanpa dirancang" setelah beliau menahannya dan keadaan memaksanya "menutup mulut Lactmy".

JC Hoo juga menerima bahawa Mageswaran mengalami "gangguan mental" - yang menyebabkannya "bertindak melulu" - pada waktu pembunuhan itu. Mageswaran juga memiliki keupayaan IQ yang rendah, kata JC Hoo.

Apabila digabungkan, faktor-faktor tersebut "menjejas kemampuannya mengawal diri", kata JC Hoo lagi.

Para peguam Mageswaran meminta supaya dia dijatuhi hukuman penjara antara 12 dengan 14 tahun dan menyifatkan insiden itu sebagai "rompakan yang tidak menjadi".

Setelah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun, JC Hoo berkata: "Pertimbangan wajar perlu diberikan kepada jenayah lampau (Mageswaran) dan kecenderungannya untuk melakukan jenayah disebabkan oleh keadaan kewangan yang mendesak."

Bagi kesalahan membunuh tanpa niat, Mageswaran boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Memandangkan Mageswaran berusia lebih 50 tahun, dia tidak boleh dikenakan hukuman rotan. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan