Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel, disebat setelah mengaku bunuh wanita 12 tahun lalu

Selepas 12 tahun dihantui rasa bersalah, Gunasegaran Ramasamy mengaku pada tahun 2013 bahawa dia pernah melakukan jenayah ketika usianya baru 16 tahun - membunuh Cik Soh San, yang mayatnya ditemui dipenuhi luka-luka tikaman.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel, disebat setelah mengaku bunuh wanita 12 tahun lalu

Gunasegaran Ramasamy. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 20 Mar 2017 05:10PM Dikemas Kini : 20 Mar 2017 06:39PM

SINGAPURA: Selepas 12 tahun dihantui rasa bersalah, Gunasegaran Ramasamy mengaku pada tahun 2013 bahawa dia pernah melakukan jenayah ketika usianya baru 16 tahun - membunuh Cik Soh San, yang mayatnya ditemui dipenuhi luka-luka tikaman.

Kes Cik Soh yang berlaku pada 2001 itu tidak dapat dihuraikan selama lebih sedekad.

Gunasegaran, 32 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 12 sebatan rotan hari ini (20 Mac), 16 tahun setelah melakukan jenayah tersebut. Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan ketika merompak dan satu tuduhan menggunakan dadah methamphetamine.

Pada 2 Oktober 2001, kakak Gunasegaran menyuruhnya membeli mi dari sebuah gerai berhampiran flat mereka di Blok 205 Bukit Batok Street 21.

Gunasegaran, yang ketika itu berusia 16 tahun, memutuskan untuk mengambil peluang ini dan merompak seseorang. Sambil membawa pisau dapur sepanjang 26 sentimeter, dia berjalan-jalan di sekitar kejiranannya untuk mencari mangsanya.

Dia melihat Cik Soh, 28 tahun, antara 8.00 hingga 9.00 malam di Blok 172 Bukit Batok West Avenue 8. Cik Soh, seorang pengurus di M1, ketika itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari kerja.

Gunasegaran mengekori Cik Soh ke dalam lif, sambil mengesat kesan cap jarinya daripada butang lif. Di dalam lif, dia mengeluarkan pisau itu dan mendesak diberikan wang, namun tidak menjangkakan mangsa akan memekik meminta tolong dan cuba melarikan diri.

Dia menikam mangsa, dan wanita itu memberikannya tiga helai wang kertas S$10. Namun Gunasegaran tidak puas hati dan cuba menyambar dompet Cik Soh. Cik Soh enggan melepaskan dompetnya dan satu pergelutan berlaku.

TIKAM BERKALI-KALI

Kerana marah, Gunasegaran menikam wanita tersebut berkali-kali hingga beliau rebah. Apabila pintu lif dibuka di tingkat lima - hanya beberapa meter dari pintu rumah Cik Soh - mayatnya terkeluar daripada lif.

Wanita itu jatuh tersembam ke lantai, dalam keadaan separuh tubuhnya dan kedua-dua kakinya masih di dalam lif, hingga pintu lif tersekat.

Gunasegaran melarikan diri. Dia kemudian meminta beberapa rakannya mengaturkan agar dia melarikan diri dari negara ini, namun mereka tidak melakukannya.

KELUAR MASUK PENJARA

Dia menghabiskan dekad seterusnya keluar masuk penjara untuk pelbagai kesalahan lain, termasuk pecah masuk rumah, merompak dan menyerang.

Pada 17 November 2013, setelah dihantui rasa bersalah selama 12 tahun, dia masuk ke Pusat Polis Kejiranan Jurong East dan mengaku membunuh wanita tersebut.

Methamphetamine ditemui dalam sampel kencingnya yang didapatkan setelah dia ditangkap.

KEGANASAN TIDAK MASUK AKAL: PENDAKWA RAYA

Timbalan Pendakwa Raya Bhajanvir Singh menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 12 sebatan rotan terhadap Gunasegaran kerana tindakan "ganasnya yang tidak masuk akal." Rompakan itu dirancang dan serangan yang dilancarkannya adalah kejam, kata Encik Singh. Bedah siasat menunjukkan Cik Soh ditikam sembilan kali dan maut akibat luka-luka pada dada dan perutnya.

Pendakwa raya itu juga merujuk kepada rekod jenayah Gunasegaran yang panjang, yang menunjukkan "perwatakannya dan sikapnya."

Peguam Ng Shi Yang, yang membela Gunasegaran di bawah skim bantuan guaman, berkata tertuduh "dihantui rasa bersalah" dan jenayah itu adalah "kes rompakan yang menjadi tidak keruan."

Selepas pembunuhan itu, Gunasegaran berkata dia mendengar "suara-suara" yang menyuruhnya bermuhasabah diri tentang apa yang sudah dilakukannya, dan kadangkala dia terhidu bau darah, yang mengingatkannya tentang insiden itu, menurut satu laporan psikiatri.

Akhirnya, akibat rasa bersalah, dia mengaku bersalah pada November 2013, sebulan selepas dibebaskan daripada penjara kerana menyerang, kata Encik Ng.

Beliau menarik perhatian bahawa sekiranya Gunasegaran tidak mengaku bersalah, kes pembunuhan Cik Soh tidak akan dihuraikan.

Gunasegaran menyesal, dan berharap pengakuannya itu dan pengakuan bersalahnya akan "memberikan keluarga (Cik Soh) ketenangan untuk reda akan apa yang sudah berlaku dan pulih daripada kejadian itu."

Kerana menyebabkan kecederaan semasa merompak, Gunasegaran boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dirotan sekurang-kurangnya 12 kali.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan