Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki cedera selepas dilanggar bas di Hougang

Seorang lelaki terperangkap di bawah sebuah bas selama 45 minit setelah dilanggar bas itu di Hougang Avenue 9 hari ini (30 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki cedera selepas dilanggar bas di Hougang

Para pegawai SCDF sedang menyelamatkan seorang lelaki yang terperangkap di bawah bas pada 30 Sep 2016. (Gambar: Bernard Chua)

Diterbitkan : 30 Sep 2016 02:19PM Dikemas Kini : 30 Sep 2016 02:20PM

SINGAPURA: Seorang lelaki terperangkap di bawah sebuah bas selama 45 minit setelah dilanggar bas itu di Hougang Avenue 9 hari ini (30 Sep).

Lelaki itu, yang berusia 50-an tahun, diselamatkan oleh para pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). Beliau mengalami kecederaan pada kaki namun dalam keadaan sedar ketika dibawa ke Hospital Tan Tock Seng, menurut SCDF.

SCDF menyatakan ia menerima panggilan tentang nahas itu sekitar 10.35 pagi, dan mengerahkan sebuah kereta bomba, Red Rhino, dua motosikal bomba, sebuah ambulans dan sebuah kenderaan sokongan ke tempat kejadian. Hospital itu juga diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk menerima pesakit itu.

Encik Bernard Chua, seorang pengawal keselamatan berusia 44 tahun, berada di dalam bas itu apabila nahas itu berlaku.

(Gambar-gambar: Bernard Chua)

"Saya di dalam bas apabila tiba-tiba terdengar bunyi 'boom' yang amat kuat. Kemudian saya dengar orang ramai dalam bas terpekik-pekik. Kami kemudian menyedari ada seseorang yang dilanggar. Tiada sesiapa yang menghubungi polis, saya orang pertama yang menghubungi polis," katanya.

Gambar-gambar yang dilihat oleh Mediacorp menunjukkan lelaki itu dalam kesakitan, dan kepala serta lengannya juga berdarah.

Apabila Mediacorp ke tempat kejadian sekitar 11.45 pagi, sekurang-kurangnya lima pejalan kaki dilihat menyeberangi jalan raya tanpa menghiraukan lampu trafik dalam tempoh setengah jam.

Seorang penduduk di kawasan itu, Cik Lim, berkata memang satu kebiasaan untuk melihat orang ramai menyeberangi jalan raya tanpa menghiraukan lampu trafik di situ.

"Ini jalan raya kecil. Memang biasa orang ramai menyeberang tanpa menggunakan lampu trafik. Saya tidak menjangkakan nahas sebegini berlaku," katanya.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan