Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki bebas dari kesalahan heroin setelah bangkitkan "keraguan munasabah" tentang bukti

Seorang lelaki berusia 57 tahun yang sedang menjalani hukuman penjara 7.5 tahun kerana menggunakan heroin, dibebaskan hari ini (24 Mac) setelah membangkitkan keraguan tentang bukti yang dirampas dalam kesnya itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki bebas dari kesalahan heroin setelah bangkitkan "keraguan munasabah" tentang bukti

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 24 Mar 2017 09:22PM Dikemas Kini : 24 Mar 2017 09:23PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 57 tahun yang sedang menjalani hukuman penjara 7.5 tahun kerana menggunakan heroin, dibebaskan hari ini (24 Mac) setelah membangkitkan keraguan tentang bukti yang dirampas dalam kesnya itu.

Hakim Chan Seng Onn berkata lelaki itu "membangkitkan keraguan yang munasabah bahawa hakikat dia menggunakan ubat-ubatan Cina, yang mungkin mengandungi kesan dadah terkawal hingga menyumbang kepada pengesanan (heroin) dalam kencingnya, mungkin tidak didedahkan."

Lemmont Tan Beehunt ditangkap pada 13 Januari 2016 setelah gagal melaporkan diri bagi ujian air kencing setelah dibebaskan dari penjara kerana menggunakan heroin. Sampel-sampel kencing yang diambil daripadanya pada hari itu diperiksa oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dan didapati tidak mengandungi monoacetylmorphone, atau heroin.

Dia dijatuhi hukuman penjara 7.5 tahun pada November tahun lalu, namun mengemukakan rayuan terhadap sabitan kesalahan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Di Mahkamah Tinggi hari ini, Tan menegaskan dia tidak mengambil heroin pada atau sebelum 13 Januari, tetapi memakan "pil-pil hitam yang berkilat" yang dijual kepadanya oleh seorang penjaja jalanan untuk menghilangkan kesakitan yang dialaminya selepas menjalani satu pembedahan.

Tan berkata meskipun dia diberikan ubat penghilang kesakitan oleh hospital, dia sanggup mencuba apa sahaja untuk cuba mengurangkan kesakitan yang dialaminya, dan membeli sekitar 30 pil itu pada harga S$90 daripada penjaja itu di sebuah kedai kopi.

Ubat-ubatan Cina itu mungkin mengandungi heroin, katanya, sambil menambah dia membawa semua ubat-ubatannya ke balai polis, namun pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) "tidak mendedahkan" bukti itu. Gambar ubat-ubatan yang dirampas daripadanya tidak menunjukkan pil-pil yang dibelinya daripada penjaja itu, kata Tan.

Dia juga menuduh pegawai CNB tersebut berbohong. Pada perbicaraan Tan tahun lalu, pegawai itu berkata beliau merampas ubat-ubatan itu pada 13 Januari, hari Tan ditangkap. Namun gambar ubat-ubatan yang dirampas itu menunjukkan preskripsi bertarikh 18 Januari.

"Gambar yang menggambarkan seribu perkataan," kata Tan.

Hakim Chan bersetuju ini membangkitkan "isu-isu kewibawaan yang serius" mengenai pegawai yang merampas ubat-ubatan tersebut.

Tan juga mendakwa para pegawai kembali untuk merampas semua ubat-ubatannya pada 30 Mac, lebih dua bulan selepas penangkapannya pada 13 Januari, namun pihak pendakwaan berkata tiada bukti bagi dakwaannya itu.

Ketika membatalkan sabitan kesalahannya itu, Hakim Chan berkata: "Mungkin (Tan) membeli (pil-pil) itu kerana menyangka ia ubat penghilang kesakitan yang bagus sekali, tetapi tidak tahu ia mengandungi dadah terkawal."

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan