Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lee Hsien Yang tuduh Ho Ching akses dokumen LKY semasa mendiang 'tenat'

Encik Lee Hsien Yang menuduh Cik Ho Ching, isteri kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mengakses beberapa dokumen mendiang Lee Kuan Yew.

Anggaran Waktu Membaca:
Lee Hsien Yang tuduh Ho Ching akses dokumen LKY semasa mendiang 'tenat'

Cik Ho Ching, Encik Lee Hsien Yang. (Gambar: Calvin Oh, AFP)

Diterbitkan : 22 Jun 2017 10:21PM Dikemas Kini : 22 Jun 2017 10:23PM

SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang menuduh Cik Ho Ching, isteri kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, mengakses beberapa dokumen mendiang Lee Kuan Yew semasa mendiang sedang "tenat" di hospital sebelum mendiang meninggal dunia.

Menurut Encik Lee dalam satu catatan Facebook hari ini (22 Jun), dokumen-dokumen itu termasuk sepucuk surat dan telegram bertarikh dari tahun-tahun 1950an.

Terdapat juga memo pengarah pos bertarikh 11 Februari 1952, yang memberitahu para pekerja kiriman pos bahawa kerajaan Britain tidak melarang mendiang Lee Kuan Yew mewakili mereka dalam pertikaian mereka.

"LKY dimasukkan ke ICU kerana tenat pada 5 Februari 2015. Keesokan harinya, Ho Ching, mengakses beberapa dokumen LKY. Beliau kemudian menyerahkan dokumen-dokumen itu kepada NHB (kononnya berdasarkan pinjaman) di bawah nama baik Pejabat Perdana Menteri (PMO)," tulis Encik Lee.

"Beliau tiada sebab berbuat begitu apabila LKY berada di ICU dan ia sangat membimbangkan bahawa seseorang boleh mewakili PMO meskipun tidak memegang sebarang jawatan rasmi," tambah beliau.

Encik Lee, kakaknya Dr Lee Wei Ling dan abangnya, iaitu PM Lee, berselisih faham terhadap rumah mendiang ayah mereka di 38 Oxley Road, dengan kedua-dua adik PM Lee mengeluarkan kenyataan pada 14 Jun menuduh abang mereka menggunakan kedudukan beliau dalam Pemerintah untuk menangani perkara itu.

PM Lee menafikan dakwaan-dakwaan itu dan berkata beliau akan membalas dakwaan itu dalam satu Kenyataan Menteri apabila Parlimen bersidang pada 3 Julai nanti.

Sumber : CNA/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan