Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak tempat prasekolah disediakan; kemahiran guru terus dipertingkat

Pemerintah akan menyediakan lebih banyak tempat di prasekolah-prasekolah dan menajamkan kemahiran para gurunya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemerintah akan menyediakan lebih banyak tempat di prasekolah-prasekolah dan menajamkan kemahiran para gurunya.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan yang diadakan di Kolej Tengah Institut Pendidikan Teknikal (ITE) hari ini (20 Ogos).

PM Lee berkata beliau gembira lebih ramai kanak-kanak Melayu mendapat pendidikan prasekolah, sambil menambah pemerintah sedang meningkatkan mutu prasekolah dan memastikan biayanya boleh dimampui.

Murid-murid My First Skool sedang bermain. (Gambar: MCI)

Murid-murid My First Skool sedang bermain. (Gambar: MCI)

3 MANFAAT SISTEM PRASEKOLAH YANG BAIK

Dalam ucapannya, PM Lee menekankan pentingnya pendidikan prasekolah untuk membina kemahiran kognitif, emosi dan sosial kanak-kanak demi mencapai potensi penuh, baik di zaman persekolahan mahupun setelah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan dan dalam kehidupan secara amnya.

Beliau menambah, terdapat tiga manfaat yang boleh diraih menerusi sistem prasekolah yang baik.

Pertama, setiap pelajar dapat bersaing secara adil dalam sistem meritokrasi negara ini.

Kedua, setiap warga boleh menikmati hasil kemajuan Singapura dan yang ketiga, ini akan terus menjadikan Singapura sebuah masyarakat yang penuh dengan peluang dan harapan untuk semua warganya.

PM Lee turut mendedahkan lebih banyak tempat akan disediakan di prasekolah, termasuk penjagaan bayi dan tadika bagi membantu para ibu bapa yang bekerja.

Gambar hiasan. (Gambar: MOE)

Murid-murid prasekolah bermain semasa sambutan Hari Raya di Tadika MOE. (Gambar: MOE)

KEMAHIRAN GURU PRASEKOLAH DIPERTINGKAT

Selain itu, kemahiran para guru prasekolah akan terus dipertingkat supaya mereka memperolehi latihan dan kerjaya yang lebih baik.

Sebagai contoh, PM Lee berkongsi pengalaman seorang guru prasekolah, Cik Nuraslinda Safaruan.

"Selepas meraih diploma pendidikan awal kanak-kanak, beliau menjadi guru prasekolah. Selepas beberapa tahun, Nuraslinda dilantik sebagai guru kanan. Beliau meninggalkan sektor prasekolah seketika untuk menjadi pramugari, tetapi kerana minatnya kepada sektor ini, beliau kembali semula tahun lepas.

"Nuraslinda sekarang bekerja di My First Skool sebagai timbalan ketua pusatnya. Dengan guru yang baik seperti Nuraslinda, anak-anak kita akan mendapat permulaan yang baik dalam hidup dan ibu bapa pula akan berasa tenang!"

Cikgu Nuraslinda Safaruan. (Gambar: MCI)

Cikgu Nuraslinda Safaruan. (Gambar: MCI)

Dalam ucapannya, PM Lee turut melahirkan rasa gembira kerana masyarakat Melayu terlibat sepenuhnya dalam usaha membina Singapura yang bersedia mengharungi masa hadapan.

"Iltizam ini akan memacu kita mencatat kemajuan dan mengatasi cabaran bersama-sama sebagai satu masyarakat yang utuh. Itulah visi Presiden pertama kita, Encik Yusof Ishak, 50 tahun lalu. Jika beliau ada bersama kita hari ini, tentu beliau gembira melihat perkembangan dan kemajuan kita," kata PM Lee.

Encik Yusof Ishak menyampaikan Biasiswa Presiden kepada Encik Lee Hsien Loong di Istana pada 1970. (Gambar: Yusof Ishak Collection, Arkib Negara)

Encik Yusof Ishak menyampaikan Biasiswa Presiden kepada Encik Lee Hsien Loong di Istana pada 1970. (Gambar: Yusof Ishak Collection, Arkib Negara)

HARAP PRESIDEN BARU BAWA PENGHORMATAN, KECEMERLANGAN KEPADA INSTITUSI PRESIDEN

Menjelang Pilihan Raya Presiden yang akan diadakan pada bulan depan, PM Lee berkata seorang lagi warga Melayu Singapura yang berwibawa akan menjadi presiden.

Beliau berharap presiden baru itu akan membawa penghormatan dan kecemerlangan kepada institusi Presiden, dan akan disayangi serta dikenang rakyat Singapura, sama seperti Encik Yusof Ishak.

"Inilah yang akan memperkukuhkan keharmonian kaum, rasa bangga dan cinta kita menjadi rakyat Singapura. Inilah yang akan membolehkan kita bekerjasama dengan lebih erat lagi bagi menghadapi apa juga cabaran yang melanda. Dan inilah juga yang akan membantu kita berkembang maju bersama-sama sebagai satu rakyat, satu Singapura," kata PM Lee. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan