Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak sokongan bagi SME anjurkan program kesihatan

Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) akan mendapat lebih banyak sokongan untuk menjalankan program-program kesihatan bermula tahun depan di bawah inisiatif baru bernilai S$2 juta.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Dec 2017 08:13AM Dikemas Kini : 12 Dec 2017 10:34PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) akan mendapat lebih banyak sokongan untuk menjalankan program-program kesihatan bermula tahun depan di bawah inisiatif baru bernilai S$2 juta.

SME Health+, yang dikendalikan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), bermatlamat untuk mendampingi 60,000 pekerja sepanjang 18 bulan, satu peningkatan daripada program perintis yang diadakan selama setahun dan berakhir September tahun ini.

Rakyat Singapura meluangkan sebahagian besar masa mereka di tempat kerja dan ini membawa mereka kepada gaya hidup yang kurang aktif. Ini merupakan satu cabaran, kata Pengarah HPB bagi kesihatan tempat kerja dan program pendampingan, Sim Beng Koon pada Jumaat lalu (8 Dis).

Program-program kesihatan di tempat kerja HPB bermatlamat untuk mendampingi para pekerja lebih awal sebelum mereka menghidap penyakit-penyakit kronik dengan mengesyorkan beberapa perubahan gaya hidup; ini dapat membantu mengurangkan kos perubatan bagi rawatan penyakit dan pengurusannya dalam jangka panjang, tambah beliau.

Tambahan lagi, SME merupakan sasaran kelompok yang penting, kata Encik Sim, memandangkan mereka menggajikan sebahagian besar tenaga kerja Singapura.

Warees Investment, yang mempunyai sekitar 30 kakitangan, memanfaatkan program perintis HPB awal tahun ini iaitu Pakej Kesihatan Tempat Kerja SME. Kakitangannya mengikuti satu acara berjalan kaki sejauh 4km di sekitar Kebun Bunga Singapura. Dalam acara tersebut, mereka membuat persinggahan di pelbagai stesen untuk mempelajari beberapa rutin senaman dan cara-cara untuk menyediakan makanan lebih sihat.

"Acara itu mengajar kita cara-cara untuk melakukan kegiatan yang mudah dan ringan di rumah selain memupuk minat dalam kalangan kakitangan untuk menyediakan makanan-makanan sihat," kata Cik Zarena Mator, pembantu strategik bagi pihak pengurusan di Warees.

Satu peningkatan kepada program perintis yang sebelum ini diadakan, inisiatif baru itu akan menawarkan pelbagai pakej iaitu dari pemeriksaan kesihatan sehingga pengurusan berat badan. Ia akan diadakan sejajar dengan program-program sedia ada HPB seperti Ekosistem Tempat Kerja Sihat, yang juga disasarkan kepada SME.

Perbelanjaan kesuluruhannya bagi program-program kesihatan di tempat kerja, naik sekitar 15 peratus setiap tahun sejak 2014, dari S$4 juta. Demikian menurut HPB.

"Kami sudah mencapai beberapa kejayaan, masih banyak yang perlu dilakukan. Hari ini, akan ada tahap kesedaran lebih tinggi terutama sekali jika anda giat terlibat (dalam program-program kesihatan). Kedua, dengan semua inisiatif kami, saya fikir kami sudah mencapai sedikit kejayaan untuk menganjurkan program-program sihat yang menyeluruh," kata Encik Sim.

HPB memantau program-programnya dengan mengenal pasti perubahan pada tingkah laku para kakitangan seperti pilihan makanan mereka dan masa yang diluangkan untuk bersenam.

HPB juga akan membuat perbandingan pada hasil pemeriksaan kesihatan para peserta mereka untuk melihat jika ada perubahan memberangsangkan dalam BMI dan tahap gula dalam darah mereka setelah menjalani program kesihatan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan