Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

LBKM hadkan tempoh khidmat jawatan Presiden, anggota majlis eksekutif

Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) meluluskan usul untuk menghadkan tempoh perkhidmatan jawatan Presiden dan anggota Majlis Eksekutifnya kepada maksimum lapan tahun. 

Anggaran Waktu Membaca:
LBKM hadkan tempoh khidmat jawatan Presiden, anggota majlis eksekutif

(Gambar: Facebook/Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud)

SINGAPURA: Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) meluluskan usul untuk menghadkan tempoh perkhidmatan jawatan Presiden dan anggota Majlis Eksekutifnya kepada maksimum lapan tahun. Langkah itu diambil bagi mengelakkan seseorang pemegang jawatan berkhidmat tanpa had, sebagaimana sekarang ini.

Langkah itu diharap bukan sahaja memastikan golongan muda akan lebih berpeluang untuk menerajui kepimpinan, dan boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa.

Pindan tersebut akan berkuatkuasa tahun depan.

LBKM meluluskan usulan tersebut dalam Sidang Agung Perwakilannya yang ke-34 semalam (26 Jun).

Mengulas tentang langkah baru itu, Presiden LBKM Encik Suhaimi Salleh memberitahu BERITAMediaCorp, kesemua anggota Majlis Eksekutif setuju dengan pindaan-pindaan baru yang dibincangkan dengan keputusan sebulat suara.

Ketika ditanya mengapa keputusan pindaan tempoh jawatan Presiden LBKM tidak dilakukan lebih awal, Encik Suhaimi menjawab, tiada sebarang keperluan untuk pindaan yang baru sebelum ini.

Namun ia kini perlu supaya LBKM dapat kekal relevan dan menjadi lebih dinamik.

MAHU JADI CALON PRESIDEN? KHIDMAT DAHULU 2 TAHUN

LBKM menyatakan, pindaan baru dibuat bagi memenuhi beberapa keperluan penting seperti, memastikan penerusan kepimpinan dan memberi laluan kepada generasi muda untuk mengambil alih tampuk kepimpinan, serta mempertingkatkan kepentadbiran LBKM.

7 daripada 16 anggota majlis eksekutif LBKM sekarang ini berusia bawah 40 tahun.

LBKM juga memulakan beberapa inisiatif dengan memperkenalkan Anggota Pertubuhan-Pertubuhan Pelajar - pemberian kuasa bersuara dan mengundi kepada anggota pertubuhan-pertubuhan pelajar.

Calon-calon bagi jawatan Presiden pula harus berkidmat terlebih dahulu selaku anggota majlis eksekutif selama tidak kurang dua tahun.

Majlis eksekutif juga akan mempunyai kuasa pembatal keanggotaan individu atau institusi. Mantan Presiden kemudian akan dijemput untuk menganggotai Majlis Eksekutif. 

Sekarang ini, hanya Mantan Presiden Terkini sahaja yang boleh diundang untuk menyertai majlis eksekutif.

LBKM 50 TAHUN LALU BUKAN LBKM 50 TAHUN AKAN DATANG 

Pelbagai inisiatif dianjurkan LBKM untuk merapatkan jurang antara LBKM dan pertubuhan-pertubuhan badan pelajar seperti program Duta Belia LBKM yang dilancarkan dua bulan lepas.

LBKM juga harap dapat mempelbagaikan jenis biasiswa dan dermasiswa yang ditawarkannya.

Contohnya, tahun lalu, LBKM memulakan inisiatif memberikan dermasiswa kepada 3 pelajar yang mengikuti pengajian secara sambilan di universiti tempatan kerana mereka tidak layak untuk menerima biasiswa biasa yang lain seperti TTFS.

“Pindaan-pindaan diusulkan atas tujuan mengemaskini pengurusan Majlis Eksekutif bagi mempersiapkan LBKM untuk mengatasi cabaran-cabaran masa depan dengan cara pro-aktif," jelas Encik Suhaimi. 

Sidang Agung tahun ini tidak melibatkan perlantikan anggota majlis eksekutif.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan