Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Laungan nama Lee Kuan Yew iringi lambaian terakhir buat mendiang

Tepukan gemuruh dan laungan nama Encik Lee Kuan Yew bergema di Cantonment Road apabila pedati jenazah memasuki kawasan GRC Tanjong Pagar.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Mar 2015 08:24PM Dikemas Kini : 29 Mar 2015 10:46PM

SINGAPURA: Tepukan gemuruh dan laungan nama Encik Lee Kuan Yew bergema di Cantonment Road apabila pedati jenazah memasuki kawasan GRC Tanjong Pagar.

Encik Lee merupakan Anggota Parlimen Tanjong Pagar sejak tahun 1955.

Selama menjadi AP Tanjong Pagar, Encik Lee tidak pernah terlepas menghadiri majlis makan malam Tahun Baru Cina kawasan undi itu sehingga 2013, apabila keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

Ia bukti dedikasi beliau kepada para penduduk dan hari ini mereka berpusu-pusu memberi penghormatan kepada mendiang Encik Lee.

Di GRC itu juga ada satu lagi lambang warisan perumahan awam Encik Lee - Pinnacle @ Duxton.

Estet perumahan setinggi 50 tingkat itu, cerminan wawasan Encik Lee hendak "memperbaharui" daerah ini.

Tidak jauh dari situ terletak Kompleks Polis Cantonment - lambang komitmen Encik Lee dalam menegakkan undang-undang dan ketenteraman.

Perarakan kemudian menuju ke New Bridge Road di mana terletak Hospital Besar Singapura yang dirasmikan mendiang Encik Lee semasa menjadi Perdana Menteri dalam tahun 1981.

Para kakitangan SGH turut beratur di jalan raya bagi memberikan penghormatan terakhir mereka.

Dari sana, perarakan melalui Jalan Bukit Merah dan Queenstown, dua estet perumahan tertua Singapura.

Di Commonwelath Avenue West, perarakan melalui Politeknik Singapura - iaitu politeknik paling lama di Singapura.

Tidak lama kemudian, perarakan jenazah memasuki kawasan Universiti Nasional Singapura, dahulunya dikenali sebagai Raffles College.

Encik Lee mendapat biasiswa untuk menuntut di sana di mana beliau juga bertemu dengan isterinya, Cik Kwa Geok Choo.

Ketua Upacara Perkabungan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menyambut perarakan pengusungan jenazah setibanya di Pusat Budaya Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura (NUS).

Keranda mendiang Encik Lee kemudian dibawa masuk ke dalam UCC bagi upacara persemadian negara yang dihadiri para anggota keluarga, pemimpin tempatan, kenamaan asing dan rakyat biasa Singapura.  

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan