Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lauk lemak daun turi orang Melayu dapat tempat dalam pesta seni antarabangsa

Lauk lemak daun turi dan nasi kerabu antara yang diketengahkan dalam aturcara terbaru Pesta Seni Antarabangsa S'pura (SIFA) 2017.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi anda yang meminati lauk-pauk kampung - khususnya lauk lemak daun turi – anda pasti tahu bahawa memang agak sukar untuk mencari atau menemuinya di gerai-gerai.

Namun, jangan terperanjat kerana lauk yang selalu dimasak dengan santan dan potongan keledek ini, bakal membuat penampilan dalam sebuah pesta seni antarabangsa!

Ini hasil penyertaan tukang masak tempatan, Cik Amy Tashiana, dalam acara OPEN Kitchens - atau Dapur Terbuka - sebuah atur cara baru dalam Pesta Seni Antarabangsa Singapura (SIFA) 2017, yang bermula hari ini (11 Julai).

OPEN Kitchens menjemput para pengunjung pesta ini untuk masak bersama 20 'tuan rumah' di pelbagai dapur merata Singapura sepanjang Julai ini.

Ia bertujuan menunjukkan bagaimana seni penyediaan makanan boleh menjadi bahan pemula bualan, selain wadah perkongsian budaya.

LESTARIKAN MASAKAN MELAYU

Bagi Cik Amy, yang merupakan seorang tukang masak, aktiviti memasak sudah sebati dengan darah dagingnya. Malah beliau juga tidak kekok berkongsi selok-belok di dapur dengan orang ramai, terutamanya melalui media digital.

Saluran YouTube milik belau misalnya, memaparkan sekitar 40 video-video demonstrasi memasak.

Namun, sedang saluran YouTube beliau memaparkan lauk Asia lain seperti ikan masak taucho, popiah Vietnam dan lauk dhal - bagi OPEN Kitchens pula, beliau hanya akan memasak 'lauk kampung' sahaja.

Lauk tradisional Melayu, daun turi masak lemak (Gambar: Petikan YouTube/Amy Tashiana)

Masakan lemak daun turi (Gambar: Petikan YouTube/Amy Tashiana)

Bukan satu atau dua, tetapi tiga lauk sekaligus.

"Rendang ayam, lemak daun turi dan juga lagi satu yang saya akan buat, udang masak cabai. Ini akan menunjukkan mereka bagaimana untuk kita membuat masakan tradisi Melayu, bukan secara masakan moden yang dicampurkan dengan berbagai-bagai rempah (asing)," kongsi Cik Amy, tentang penyertaannya dalam acara seni ini.

Tambah Cik Amy, yang akan mengadakan demonstrasi masak ini pada 16 Julai di sebuah dapur sewa di Geylang Road, juadah-juadah ini beliau pilih agar dapat berkongsi cara masakan Melayu secara tradisi - kepada masyarakat lain.

Amy Tashiana (Gambar: Facebook/Amy Tashiana)

Amy Tashiana (Gambar: Facebook Amy Tashiana)

"Saya akan menunjukkan pameran makanan-makanan Melayu kepada bukan sahaja orang Melayu, tetapi kepada bangsa-bangsa lain," jelas Cik Amy.

MAKANAN - ELEMEN PENYATU 'UNIVERSAL'

Selain tiga lauk hidangan Cik Amy, nasi kerabu juga bakal diketengahkan di SIFA, menerusi acara OPEN Kitchens ini.

Walaupun ruang dapur boleh dikatakan ruang yang agak privet bagi sesetengah kaum hawa, Cik Asha Adnan pula bakal membukanya untuk para tetamu yang tidak dikenali.

Peserta OPEN Kitchen ini bukan sahaja akan mengajar mereka memasak nasi kerabu, malah akan mengajak mereka sama-sama duduk bersila sambil menikmati masakan Melayu ini.

"Saya akan mengadakannya di rumah saya sendiri. Jadi saya akan mengundang tetamu untuk datang menyertai di dalam dapur saya untuk menyediakan nasi kerabu. Jadi kami akan memasak bersama, kami akan duduk di tikar gulung dan juga makan di atas dulang bersama," kongsi Cik Asha, pengasas Asha & Co, 27 tahun.

Jika difikir-fikirkan, mungkin agak menghairankan bagi seorang milenial seperti beliau untuk cuba mempromosi masakan dan pengalaman makan secara tradisional ini, sedangkan generasi beliau lebih kerap kali distereotaip dan dikaitkan dengan budaya kafe 'hipster'.

Asha Adnan (Gambar: Facebook/ Asha & Co)

Asha Adnan (Gambar: Facebook/ Asha &  Co)

Namun, sepertimana nasi kerabu ini ternyata berjaya merentasi generasi, Cik Asha juga percaya akan sifat 'universal' makanan, yang berpotensi menyatu-padukan individu berbeza:

"Pada saya makanan itu amat universal. Ia tidak kira kaum atau bangsa, semua orang dapat bersatu, duduk dan menikmati makanan itu.

"Jadi pada saya makanan itu sesuatu yang amat unik kerana ia walaupun ia sangat mudah, ia merapatkan jurang dan menjadi tajuk berbualan," jelas Cik Asha lagi.

Inilah yang beliau harapkan berlaku apabila para pengunjung SIFA datang ke rumahnya di Bedok North, 30 Julai nanti.


SIFA merupakan pesta seni tahunan yang bermula pada 1977. Bertemakan 'Pesona', tahun ini ia berlangsung sejak 28 Jun hingga 9 September ini, dengan pelbagai acara kecil untuk mendekati masyarakat secara intim berlangsung pada lima minggu pertama.

OPEN Kitchens pula bermula hari ini (11 Julai) sehingga 30 Julai.

Anda yang berminat untuk menyertainya boleh mendapatkan maklumat lanjut di lelaman SIFA.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan