Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Latihan respons kecemasan mampu persiap polis tangani pelbagai insiden

Lebih ramai pegawai polis dilatih untuk bertindak pantas kepada ancaman ganas sejak Kumpulan Respons Kecemasan atau ERT dimulakan pada Jun tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Nov 2017 07:08PM Dikemas Kini : 18 Nov 2017 10:43PM

SINGAPURA: Lebih ramai pegawai polis dilatih untuk bertindak pantas kepada ancaman ganas sejak Kumpulan Respons Kecemasan atau ERT dimulakan pada Jun tahun lalu.

Untuk bersedia melawan penyerang bersenjata, para pegawai polis itu menjalani latihan jasmani yang menjerihkan dan cabaran-cabaran berdasarkan pelbagai senario kejadian.

Mereka adalah orang pertama yang sampai di tempat kejadian, apabila berlaku serangan ganas.

Para pegawai menjalani satu siri latihan yang direka bagi membina kelajuan, ketangkasan dan kekuatan badan.

Menjalani latihan menggunakan tali sebegitu, di bawah terik mentari, para pegawai digalakkan mencapai paras-paras baru keupayaan jasmani masing-masing.

Selain itu, mereka perlu meningkatkan kepekaan terhadap ancaman dan mempelajari cara bertindak cepat membentuk sebahagian besar latihan yang dijalani.

Bagi setiap anggota, setiap minit berharga.

Dalam salah satu sesi latihan, masa yang diberikan bagi siap mengenakan kelengkapan seberat 17 kilogram - hanya 47 saat!

Ia melibatkan pemakaian vest seberat 2 kilogram, topi keledar, sarung pistol, sarung tangan dan mesingan.

Para pegawai kemudian perlu melawan dan mengalahkan para penyerang, sambil memastikan para tebusan kekal selamat.

Tentunya bukan mudah - apabila para tebusan dijadikan perisai manusia, dan para pegawai sukar mendapat peluang untuk menembak.

Dalam hal ini, usaha melengah-lengahkan penyerang dan mengalihkan perhatian mereka merupakan sebahagian strategi.

Latihan realistik sebegitu membantu menyediakan para anggota ERT menghadapi sebarang kejadian.
Sejak ditubuhkan tahun lalu, mereka meronda kawasan-kawasan awam seperti pusat membeli-belah setiap hari.
Ini membolehkan pasukan ERT lebih biasa dengan kawasan yang dironda dan boleh bekerja rapat dengan pihak-pihak berkepentingan dalam melakar rancangan tindak balas bersama. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan