Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 25 tahun untuk RSAF berlatih di Pangkalan Udara Pearce Australia

Para juruterbang Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) boleh terus menjalani latihan udara dari Pangkalan Udara Pearce di Australia Barat bagi 25 tahun akan datang di bawah perjanjian yang baru dimeterai di sidang Jawatankuasa Menteri Bersama ke-10 antara Singapura dan Australia (SAJMC).

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 25 tahun untuk RSAF berlatih di Pangkalan Udara Pearce Australia

Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen dan Menteri Pertahanan Australia menandatangani perjanjian bagi membolehkan jururterbang RSAF terus berlatih di Pangkalan Udara Pearce di Australia Barat selama 25 tahun lagi.

Diterbitkan : 21 Aug 2017 02:48PM Dikemas Kini : 21 Aug 2017 02:53PM

SINGAPURA: Para juruterbang Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF) boleh terus menjalani latihan udara dari Pangkalan Udara Pearce di Australia Barat bagi 25 tahun akan datang di bawah perjanjian yang baru dimeterai di sidang Jawatankuasa Menteri Bersama ke-10 antara Singapura dan Australia (SAJMC) pada Isnin (21 Ogos).

Ditandatangani oleh Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dan Menteri Pertahanan Australia Marise Payne, perjanjian tersebut adalah pembaharuan dan naik taraf bagi memorandum persefahaman (MOU) yang sedia ada, yang dimeterai pada Mac 1993 antara Angkatan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) dan RSAF.

MOU yang sedia ada membolehkan RSAF untuk mengekalkan dan mengendalikan Institut Latihan Penerbangan di pangkalan tersebut selama 25 tahun, dan berakhir pada tahun 2018.

Buat masa ini, 130 Squadron RSAF menjalankan Kursus Sayap Asas selama sembilan bulan di Pangkalan RAAF Pearce, sambil mengajar asas penerbangan kepada para juruterbangnya dengan menggunakan pesawat jurulatih Pilatus PC-21 sebelum melanjutkan ke latihan pesawat lanjutan.

Meskipun tiada perubahan besar bagi terma yang sedia ada di bawah MOU, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan usaha naik taraf persetujuan kepada perjanjian itu mencerminkan tahap penting yang ketara yang diletakkan oleh kedua-dua negara terhadap hubungan pertahanan dua hala itu.

Kedua-dua Singapura dan Australia adalah sebahagian daripada Persetujuan Pertahanan Lima Kuasa dan Sidang 'Plus' Menteri Pertahanan ASEAN, dan kedua-dua angkatan berhubung secara tetap melalui pertukaran profesional dan latihan pelbagai hala seperti Latihan 'Pitch Black'.

Selain Pearce, RSAF juga menjalankan latihan helikopter di Pusat Penerbangan Oakey Army RAAF, latihan penggempur di Darwin dan latihan gred udara di Tamworth di New South Wales.

Sebagai persetujuan tahap perjanjian, Perjanjian Pearce harus disahkan oleh Parlimen Australia sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya - sebuah pemerintah yang buat masa ini terkait dalam pertikaian dua kerakyatan.

Bagaimanapun, Mediacorp difahamkan bahawa perjanjian itu dijangka diteruskan memandangkan hubungan pertahanan dua hala itu mendapat sokongan dua pihak.

KERJASAMA PELANCONGAN LEBIH KUKUH

SAJMC ke-10 juga menyaksikan MOU yang dimeterai antara Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Jabatan Ehwal Luar dan Perdagangan Australia bagi mengukuhkan kerjasama pelancongan.

Bagi tempoh lima tahun, kedua-dua negara akan meneroka bidang bagi kerjasama lebih kukuh dalam bidang seperti pelaburan pelancongan dan peningkatan prasarana, kerjasama kajian dan perkongsian data, perkongisan amalan terbaik dalam pemasaran, perancangan acara riadah dan pengurusan bagi sukan dan hiburan, serta bidang lain yang disifatkan sebagai minat bersama. Kerjasama lanjutan bagi tempoh serupa boleh diperbaharui dengan perjanjian bertulis.

Merasmikan pemeteraian tersebut adalah Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Lim Hng Kiang dan Menteri Pelancongan Perdagangan dan Pelaburan Australia Steven Ciobo.

Menurut STB, Australia adalah pasaran ke-5 terbesar Singapura bagi pengunjung antarabangsa pada tahun 2016 - dengan 1.027 juta pengunjung. Pasaran Australia menjana hasil kutipan pelancongan sebanyak $1.7 juta.

SAJMC yang diadakan dua tahun sekali adalah mekanisme dialog dua hala peringkat tinggi yang lebih membina kerjasama kukuh antara Australia dan Singapura, yang menikmati hubungan kukuh dan dalam pelbagai bidang yang merangkumi politik, ekonomi, pertahanan, hubungan antara rakyat, budaya dan seni. 

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan