Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lagi 15 kes jangkitan tempatan virus Zika dikesan di S'pura

Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan lagi 15 kes jangkitan tempatan virus Zika di Singapura sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi (29 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Lagi 15 kes jangkitan tempatan virus Zika dikesan di S'pura

Gambar fail Sims Drive Medical Clinic.

Diterbitkan : 29 Aug 2016 09:54PM Dikemas Kini : 08 Sep 2016 01:15AM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan lagi 15 kes jangkitan tempatan virus Zika di Singapura sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi (29 Ogos).

Dua kes merupakan pekerja di tapak binaan di 60 Sims Drive dan sudahpun pulih.

Bagi 13 kes, mereka sama ada menetap atau bekerja di daerah Sims Drive atau Aljunied Crescent, menurut MOH dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Dua kes di tapak binaan Sims Drive dikesan hasil daripada siasatan MOH dan ujian yang dijalankan terhadap orang-orang yang berkemungkinan dijangkiti.

Sehingga hari ini, MOH sudahpun selesai menjalankan ujian ke atas semua pekerja di tapak binaan tersebut, yang sebelum ini pernah menunjukkan simptom demam dan gatal-gatal.

Pihaknya juga sedang memeriksa para pekerja yang menetap di dormitari-dormitari yang terletak di kawasan yang memprihatinkan.

MOH menyatakan pihaknya akan terus bekerjasama dengan para doktor di daerah-daerah tersebut dengan menawarkan ujian bagi para pesakit yang sebelum ini pernah mengalami demam dan gatal-gatal.

Langkah ini berkemungkinan mendedahkan lebih banyak kes jangkitan virus Zika yang tidak didiagnosis, tambah MOH.

Sehingga hari ini juga, NEA sudahpun menjalankan pemeriksaan di sekitar 3,600 premis daripada anggaran 6,000 premis di kelompok Aljunied Crescent dan Sims Drive bagi memeriksa pembiakan nyamuk dan juga menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitarannya.

36 tempat pembiakan - yang merangkumi 22 di rumah-rumah dan 14 di kawasan yang dikongsi bersama atau premis-premis lain - dikesan dan dihapuskan.

NEA juga memeriksa tempat tinggal para pekerja yang ditempatkan di tapak binaan di Sims Drive.

Para pegawai NEA dan sukarelawan akar umbi sudahpun selesai pusingan pertama usaha-usaha mendampingi para penduduk di kelompok Aljunied Crescent dan Sims Drive, dengan mengedarkan risalah-risalah tentang Zika dan akan meneruskan usaha sedemikian bagi meningkatkan kesedaran tentang jangkitan virus Zika di kalangan orang ramai, menurut NEA.

NEA sudah memulakan operasi kawalan vektor di daerah-daerah yang memperihatinkan di mana kes-kes dari kelompok Aljunied Crescent dan Sims Drive menetap dan bekerja.

Sejauh ini belum ada bukti menunjukkan terdapat kes jangkitan tempatan virus Zika di daerah-daerah tersebut, menurut MOH dan NEA.

NEA turut memulakan pemeriksaan di tempat-tempat tinggal pekerja asing dan di rumah-rumah di Kranji Road, Senoko South Road, Lor 101 Changi, Toh Guan Road East dan Joo Chiat Place.

Satu pembiakan dikesan di dormitari di Kranji dan sudahpun dihapuskan.

Menurut NEA, pihaknya sudahpun menjalankan pemeriksaan di lebih 900 premis di Sembawang Drive dan mengesan serta menghapuskan satu pembiakan di sebuah rumah di kawasan tersebut. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan