Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kubur Dollah Kassim dan Harun Ghani antara yang perlu digali semula

Kubur-kubur bintang bola sepak ikonik Singapura Dollah Kassim dan mantan ahli politik yang dikenali dengan kerja-kerja anti-dadah, Harun Ghani, adalah antara yang terjejas dalam langkah penggalian semula di Tanah Perkuburan Choa Chu Kang untuk projek perluasan Pangkalan Udara Tengah. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kubur Dollah Kassim dan Harun Ghani antara yang perlu digali semula

Kubur Allahyarham Dollah Kassim. (Gambar: TODAY / Jason Quah)

Diterbitkan : 19 Jul 2017 11:58PM Dikemas Kini : 20 Jul 2017 12:04AM

SINGAPURA: Kubur-kubur bintang bola sepak ikonik Singapura Dollah Kassim dan mantan ahli politik yang dikenali dengan kerja-kerja anti-dadah, Harun Ghani, adalah antara yang terjejas dalam langkah penggalian semula di Tanah Perkuburan Choa Chu Kang untuk projek perluasan Pangkalan Udara Tengah.

Kesemuanya, sebanyak 80,500 kubur Muslim dan Cina, bertarikh dari tahun 1955 hingga tahun 2000, akan digali semula secara bertahap-tahap bagi projek peluasan Pangkalan Udara Tengah itu. Sebanyak 35,000 adalah kubur orang Islam di Pusara Abadi.

Dollah Kassim atau nama sebenarnya Abdullah Mohamed Kassim, meninggal dunia pada Oktober 2010, dikebumikan di kubur yang dihiasi dengan bunga-bunga merah dan batu-bata berwarna putih dan kelabu melambangkan stadium bola.

Allahyarham Dollah Kassim (kiri) memberikan Piala Dollah Kassim. (Gambar: Facebook / Sukhvinder Rajeh)

(Allahyarham Dollah Kassim (kiri) memberikan Piala Dollah Kassim. Gambar: Facebook / Sukhvinder Rajeh)

Allahyarham mewakili Singapura antara 1968 dengan 1981, bermain di bahagian tengah-depan dan digelar sebagai "Raja Gelek" kerana kemahirannya menggelecek bola.

Allahyarham Dollah Kassim, seorang legenda yang dihormati ramai di rantau ini pada tahun 1970-an, mengalami sakit jantung pada Oktober 2009, semasa beliau sedang bermain dalam pertandingan veteran. Beliau meninggal dunia pada usia 61 tahun selepas koma selama setahun. 

Seperti Dollah Kassim, Harun Ghani, mantan Anggota Parlimen dan Setiausaha Politik Kementerian Ehwal Dalam Negeri, juga dikebumikan di salah satu daripada 35,000 plot perkuburan Islam yang akan digali semula pada masa akan datang, selepas mencecah tempoh pengebumian 15 tahun.

Gambar Allahyarham Harun Ghani di kulit bukunya. (Gambar: Facebook / Haslinda Putri Harun)

(Gambar Allahyarham Harun Ghani di kulit bukunya. Gambar: Facebook / Haslinda Putri Harun)

Allahyarham Encik Harun Ghani, yang meninggal dunia pada usia 66 tahun pada bulan Ogos 2005, terkenal dengan usahanya memerangi dadah di kalangan masyarakat Melayu.

Allahyarham merupakan pengasas kepada sesi "jumpa keluarga", di mana ia merupakan komponen yang utama dalam kerja-kerja pemulihan penagih dadah. Allahyarham Encik Harun selalu ditemui di kedai-kedai kopi, memberikan khidmat kaunseling kepada para penagih dan keluarga merela.

Pada 2005, sebuah dana pendidikan bagi membantu keluarga-keluarga penagih dadah didirikan atas namanya demi mengenang jasa Allahyarham.

Gambar kawasan kubur terjejas. (Gambar: NEA)

(Gambar kawasan kubur terjejas. Gambar: NEA)

Untuk fasa pertama, 5,000 kubur Muslim di dua blok Pusara Abadi akan digali semula pada suku keempat tahun depan.

Mulai September ini, 5,000 kubur dan 45,000 kubur orang Cina, akan menjalani mendaftaran untuk dituntut. Proses tuntutan dan pendaftaran kubur Islam, melibatkan plot-plot kubur Pusara Abadi bagi Blok 19 dan Blok 20.

Kesemua kubur itu sudah memenuhi tempoh pengebumian selama 15 tahun.

Mediacorp difahamkan sebilangan keluarga sudahpun meminta penjelasan dari Agensi Sekitaran Kebangsaan dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengenai penggalian kubur saudara mara mereka.

Aktivis pelestarian warisan, Encik Raymond Goh, mengatakan ramai pengasas negara ini dikebumikan antara 1946 dengan 1978, dan kubur-kubur mereka digali semula pada fasa lebih awal.

Lantaran itu beliau menggesa pihak berkuasa supaya bekerjasama dengan pihak keluarga yang terjejas, demi membuat pendokumentasian sebelum kubur-kubur berkenaan digali semula.

"Banyak yang anda dapat dedahkan mengenai susur galur seseorang hanya dengan melihat pada batu nisan mereka," kata ahli farmasi itu.

Sebelum ini, semasa tanah perkuburan Bukit Brown mahu digali semula bagi memberi jalan kepada kerja-kerja membina jalan, pihak Pemerintah bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan.

Ini termasuklah Singapore Hokkien Huay Kuan, Persatuan Peranakan Singapura, Persatuan Warisan Singapura, para akademik dan pakar-pakar kubur. Usaha mendokumentasikan kubur-kubur Bukit Brown termasuklah merakamkan memori-memori dan upacara berkenaan dengannya. 

Sumber : Today/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan