Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kriteria lebih ketat bagi pengguna, kelab yang kendali mesin jackpot

Pada masa akan datang kriteria-kriteria lebih ketat akan dikenakan ke atas kelab-kelab yang mahu mengendalikan mesin jackpot di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jul 2017 04:33PM Dikemas Kini : 20 Jul 2017 09:06PM

SINGAPURA: Pada masa akan datang kriteria-kriteria lebih ketat akan dikenakan ke atas kelab-kelab yang mahu mengendalikan mesin jackpot di Singapura.

Mereka yang mahu menggunakan mesin-mesin tersebut juga akan dikenakan sekatan lebih ketat.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) hari ini (20 Jul) mengumumkan perubahan-perubahan pada syarat-syarat penggunaan mesin tersebut, yang akan dikuatkuasakan dalam tempoh dua tahun mendatang.

Semakan semula itu diumumkan pada tahun 2016.

Sehingga tahun lalu, terdapat 82 kelab di Singapura yang menawarkan mesin-mesin jackpot.

Ini termasuk kelab-kelab riadah dan bola sepak.

Buat masa ini, sesebuah kelab boleh mendapat permit untuk mengendalikan mesin jackpot jika ia boleh menyediakan lagi dua kemudahan riadah.

Namun, kriteria itu akan diperketat.

KELAB AKAN DINILAI PEGAWAI MHA

Pada masa akan datang, mereka yang mahu memperbaharui permit akan dinilai oleh seorang pegawai yang dilantik oleh MHA.

Pegawai itu akan memutuskan sama ada kelab-kelab berkenaan menyediakan kemudahan-kemudahan riadah dan sosial yang lebih luas dan sesuai untuk para anggotanya.

Kelab-kelab yang tidak memenuhi kriteria tersebut mesti berhenti mengendalikan mesin jackpot yang sedia ada menjelang 30 April 2018.

"kami tidak berhasrat mengeluarkan lesen-lesen baru. Jadi kami mulakan dengan para penyedia yang sedia ada dan melihat apa yang mereka lakukan. Kami berasa sesetengah daripada mereka, setakat bersetuju di bibir saja, bahawa mereka perlu menyediakan khidmat-khidmat lain namun hakikatnya mereka memberikan tumpuan kepada mesin-mesin jackpot sebagai objektif utama.

"Ini tidak boleh dibenarkan. Pada asasnya, anda boleh menjelaskannya dengan mudah. Adakah anda dengan jujur menyediakan khidmat kepada masyarakat, dengan tujuan masyarakat sosial dan adakah ini (mesin jackpot) kegiatan sampingan?"

AKSES BILIK JACKPOT DISEKAT, HAD USIA DINAIKKAN

Selain itu, mesin-mesin jackpot yang dikendalikan oleh banyak kelab juga akan dikurangkan.

Sejauh ini, terdapat sekitar 1,900 mesin sedemikian dan jumlah itu akan dikurangkan kira-kira sepertiga.

Akses kepada bilik-bilik jackpot juga akan disekat.

Mulai bulan November tahun ini, had usia untuk masuk bilik-bilik jackpot dinaikkan dari 18 tahun kepada 21 tahun.

Individu-individu yang mahu memasuki bilik-bilik tersebut mesti sudah menjadi anggota kelab selama sekurang-kurangnya setahun dan para tetamu tidak dibenarkan masuk.

Waktu operasi bagi bilik-bilik itu juga dihadkan antara pukul 10.00 pagi hingga 11.00 malam.

Perlindungan-perlindungan sosial yang lebih kukuh juga akan diperkenalkan.

Mulai bulan Mei 2018, semua kelab mesti menolak individu-individu yang di bawah arahan pengecualian yang melarang mereka daripada memasuki kasino dan bilik-bilik jackpot di Singapura.

Buat masa ini, langkah ini tidak wajib.

Kelab-kelab tidak akan dibenarkan memasang mesin ATM dan kemudahan kad kredit di dalam bilik-bilik jackpot.

Kelab-kelab juga tidak boleh mengiklan atau mempromosi mesin-mesin tersebut di luar bilik jackpot. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan