Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kohort menengah terakhir Madrasah Irsyad Zuhri tutup tirai

Satu titik sejarah yang penuh bermakna buat Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah tercatat pada Khamis lalu (5 Okt). Buat kali terakhir, kohort pelajar menengahnya menamatkan sesi persekolahan rasmi pada hari berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kohort menengah terakhir Madrasah Irsyad Zuhri tutup tirai

Encik Esmadi bersama kohort pelajar menengah terakhir Madrasah Irsyad Zuhri. (Gambar: Facebook \ Esmadi Jamari)

BERITAMediacorp: Satu titik sejarah yang penuh bermakna buat Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah tercatat pada Khamis lalu (5 Okt). Buat kali terakhir, kohort pelajar menengahnya menamatkan sesi persekolahan rasmi pada hari berkenaan.

Bermakna, berakhirnya satu lembaran sejarah bagi Madrasah Irsyad Zuhri. Bermula saat itu, tiada lagi sesi sekolah menengah bagi Madrasah Irsyad Zuhri. Hanya sesi sekolah rendah sahaja yang akan berlanjutan.

Ini kerana di bawah Sistem Madrasah Bersepadu (JMS), Irsyad Zuhri tidak akan menyediakan kohort menengah bermula tahun 2018 dan mengkhususkan kepada pengambilan sekolah rendah sahaja.

SUASANA SYAHDU DI HARI TERAKHIR

Suasana di hari terakhir sesi persekolahan kohort Menengah 4 dan Menengah 5, sememangnya syahdu.

Buat kali terakhirnya lagu madrasah dilaungkan dan dinyanyikan oleh para pelajar menengahnya, yang akan menduduki peperiksaan GCE Peringkat O bulan ini. Mereka juga buat kali terakhir membacakan Asmaul Husna sebelum memasuki bilik darjah.

Suasana yang sayu ditambah dengan cuaca mendung pada 5 Oktober itu, seolah-olah menzahirkan perasaan yang terbuku dalam hati sebahagian pelajar dan tenaga pengajarnya.

Yang pasti banyak gambar dipetik dan video dirakamkan oleh para pelajar dan tenaga pengajar untuk menyimpan memori ‘perpisahan’. Malah kotak-kotak tisu juga kelihatan di hadapan seorang pelajar perempuan. Mungkin untuk mengelap air mata.

Turut hadir mengambil video menggunakan telefon bimbitnya sendiri pada hari penutup kohort menengah Madrasah Irsyad Zuhri itu, adalah Mufti Negara Singapura Dr Mohamed Fatris Bakaram sendiri. Beliau pernah menjadi mudir madrasah tersebut selama enam tahun sehingga tahun 2003.

(Mufti negara Dr Fatris Bakaram bersama kohort terakhir. Gambar: Facebook / Fatris Bakaram)

Dr Fatris kemudian memuat naik beberapa gambar pelajar menengah kohort terakhir madrasah tersebut dalam Facebook beliau, serta nyanyian lagu madrasah buat kali terakhir oleh pelajar menengah.

Beliau turut berkongsi nasihat beliau kepada kohort terakhir selepas membaca doa: "Kekalkan semangat 'Boleh buat' hidup dalam diri anda. Malah, ia tidak mencukupi. Jadikannya: 'Boleh buat. Ingin buat. Akan buat.’"

mufti post

BERITAMediacorp bersembang bersama seorang guru mapan dan seorang pelajar kohort pertama yang lulus dari Madrasah Irsyad mengimbas kembali masa silam mereka mengajar dan belajar di institusi itu.

GURU VETERAN, ESMADI JAMARI, KENANG KOHORT MENENGAH

Encik Esmadi Jamari, guru Madrasah Irsyad yang mengajar Bahasa Inggeris, Matematik dan Geografi, sudah berkhidmat selama 17 tahun di sana. Menurut beliau, identiti madrasah Irsyad terletak pada para pelajarnya.

Dalam pandangan peribadi beliau, ukhuwah ataupun pertalian yang kukuh antara pelajar dan tenaga pengajarnya menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga besar Madrasah Irsyad Zuhri.

Antara pengalaman terindah yang sentiasa akan terngiang-ngiang dalam benak fikirannya adalah bagaimana para pelajar menganggapnya sebagai seorang bapa.

“Bila para pelajar memanggil saya dengan ‘bapak’, ‘Dad’ ataupun ‘Pa’ dengan ikhlasnya daripada memanggil saya seperti ‘Mr. E’ ataupun ‘Mr Esmadi’,” kata Encik Esmadi semasa ditanya pengalamannya yang paling manis semasa berkhidmat di Madrasah Irsyad.

Malah, bukan hanya para pelajar sahaja yang menggelar dirinya dengan gelaran keluarga, beberapa kakitangan dan tenaga pengajar yang lain turut menggunakan gelaran seperti ‘wak’ mahupun ‘Abang Long’.

Pada hari terakhir itu Khamis lalu, Encik Esmadi begitu terkesan sehinggakan berdiri bulu romanya, semasa para pelajar melaungkan nyanyian lagu madrasah pada pagi berkenaan.

“Saya tak tahu. Mungkin senikatanya ataupun melodinya,” kongsi Encik Esmadi.

Yang pasti, beliau berharap graduan menengah Madrasah Irsyad akan terus menjadi Muslim yang baik dan menghormati pengajaran agama yang mendalam.

SYIFAA MANSOR - PELAJAR KOHORT PERTAMA YANG KINI PEGANG IJAZAH SARJANA

Walaupun menutup tirai, kejayaan kohort menengah Madrasah Irshad Zuhri melahirkan para pelajar yang berjaya akan terus menjadi sebutan dan kebanggaan institusi tersebut.

Salah seorang daripada mereka ialah Cik Syifaa Mansor. Beliau adalah antara pelajar kohort pertama Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah pada masa itu - pada tahun 2002 – yang selesai menduduki peperiksaan GCE ‘O’.

(Cik Syifaa Mansor. Gambar: Facebook / Syifaa Mansor)

Cik Syifaa memberitahu BERITAMediacorp, ketika itu ia amat menggerunkan kerana semua mata sedang memerhatikan perjalanan dan kejayaan mereka.

“Menjadi kohort pertama keluaran Madrasah Irsyad antara memori yang paling indah. Ini kerana semua sedang memerhatikan pencapaian kami,” kata beliau.

Cik Syifaa yang kini bertugas sebagai pengkaji di Institut Teknologi Singapura, juga graduan dari Universiti Al-Azhar dan Universiti Exeter di England. Beliau, yang memegang ijazah Sarjana dari Universiti Exeter, ingin melihat warisan madrasah berkenaan diteruskan.

Walaupun tidak dapat melihat Madrasah Irsyad melalui evolusi mempunyai sekolah menengahnya yang sendiri ataupun di peringkat prauniversiti tersendiri, Cik Syifaa Mansor dan Encik Esmadi berharap para pelajar itu akan terus menempah kejayaan baru.

“Saya berharap Irsyad akan terus membina asas yang kukuh bagi darjah rendah yang menyiapkan para pelajar untuk berjaya di mana-mana sekolah menengah mereka berada dan menjadi karyawan yang berjaya pada masa akan datang,” dedah Cik Syifaa.

SATU LAGI RANCANGAN BERKUMPUL DISEMBER INI

Bagaimanapun, bagi para pelajar, bekas pelajar dan para tenaga pengajar madrasah itu, nampaknya masih ada satu peluang untuk mereka sekali lagi mengidupkan memori ‘menengah’nya.

Menurut catatan Pengetua Madrasah Irsyad Zuhri dalam Facebooknya, Encik Noor Isham Sanif mengatakan Madrasah tersebut akan mengadakan majlis jamuan bagi para alumni madarasah pada hujung tahun ini. Ia akan diadakan di tapak sekolah tersebut pada 30 Disember nanti.

“Pihak Madrasah mahu mengundang semua alumni bagi satu majlis jamuan sederhana, pada 30 Dec 2017, di Kampus Braddel pada 11.00 pagi,” tulis Encik Isham. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan