Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kisah mangsa: Bagaimana penyakit misteri rupa-rupanya jangkitan Zika

Encik Mohammed Firdaus Lim dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani ujian darah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kisah mangsa: Bagaimana penyakit misteri rupa-rupanya jangkitan Zika

Encik Mohammed Firdaus Lim (kiri) antara 40 pesakit yang diuji positif jangkitan Zika. (Gambar: Robin Choo)

Diterbitkan : 30 Aug 2016 11:52AM Dikemas Kini : 08 Sep 2016 01:16AM

SINGAPURA: Beliau tiba-tiba mengalami gatal-gatal dua hari setelah demam, namun selepas menjalani tiga ujian darah dan air kencing di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada Khamis (25 Ogos), Encik Mohammed Firdaus Lim dibenarkan pulang ke rumah.

Dua hari kemudian, lelaki berusia 44 tahun yang menetap di Blok 54 Sims Drive dimaklumkan bahawa beliau mungkin dijangkiti virus Zika dan perlu kembali ke jabatan kecemasan hospital bagi menjalani rawatan lanjut.

Beliau diuji positif virus Zika dan dimasukkan ke Pusat Penyakit Berjangkit (CDC).

Pada waktu itu, hanya terdapat dua persoalan di benak fikiran isteri beliau, Ratnawati Mohd Yusoff, 55 tahun: Apa itu Zika dan bagaimana suami beliau dijangkiti?

Encik Mohammed Firdaus adalah antara 40 pesakit yang disahkan dijangkiti virus Zika oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada hari Ahad (28 Ogos).

Beliau juga merupakan pesakit angin ahmar yang tidak boleh bergerak sendiri dan tidak keluar rumah dua minggu sebelum mengalami demam.

Setelah dibenarkan pulang ke rumah dari TTSH pada Khamis lalu, beliau dan isterinya pergi ke Hougang, Upper Serangoon Crescent dan Balestier, pada dua hari berikutnya untuk membeli barang-barang keperluan.

Cik Ratnawati juga berasa hairan mengapa pihak hospital tidak dapat mengesan virus itu semasa ujian pertama dijalankan.

"Mereka sudahpun mengesan pesakit lain yang dijangkiti Zika, maka mereka sepatutnya tahu tentang jangkitan itu dan boleh mengesannya lebih awal," kata beliau.

Semasa kunjungan pertama suami beliau ke TTSH, ujian air kencing menunjukkan tanda-tanda jangkitan, namun beliau mendakwa bahawa doktor merujuk kepada angin ahmar dan kencing manis yang dialami Encik Firdaus sebagai kemungkinan punca jangkitan.

Setelah Encik Firdaus disahkan mengalami jangkitan virus Zika, Cik Ratnawati bertambah bimbang dengan keadaan kesihatan suaminya, yang mengalami kerosakan pada bahagian otak akibat dua serangan angin ahmar pada tahun 2012 dan 2013.

"Kemudian anda bayangkan ditambah pula dengan Zika...Siapa yang anda rasa berada dalam kesakitan?"

Namun Encik Firdaus bernasib baik kerana beliau sembuh sepenuhnya semasa di CDC dan dibenarkan pulang semalam (29 Ogos).

Para doktor memberitahu Cik Ratnawati supaya memastikan sekitaran rumah beliau bersih dan menggunakan pelekat pembunuh nyamuk.

Pada malam Ahad, para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) tidak menjumpai sebarang pembiakan nyamuk di rumah mereka setelah menjalankan pemeriksaan dan pengabutan juga dilaporkan dilakukan di luar rumah mereka semalam (29 Ogos).

Virus Zika dibawa oleh nyamuk Aedes, yang juga menularkan denggi.

MOH dan NEA menyatakan majoriti pesakit Zika tidak menunjukkan sebarang tanda atau hanya sedikit tanda.

Jika terdapat simptom seperti demam, gatal-gatal, sakit kepala, sengal-sengal sendi dan otot dan juga radang pada bahagian mata (merah mata), ia lazimnya berlaku dalam tempoh antara tiga dengan 12 hari dan bertahan antara empat dengan tujuh hari.

Pengasingan bagi kes-kes positif mungkin tidak mempunyai kesan ketara dalam mencegah penularan jangkitan, menurut pihak berkuasa.

Sajauh ini tiada vaksin atau rawatan tertentu terhadap virus tersebut dan yang ada hanya untuk meringankan simptom-simptom, menurut MOH di lamannya. 

Sumber : Today/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan