Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kini lulusan Program Perniagaan Mikro AMP boleh dapat pinjaman kecil S$2,000

Lagi 23 peniaga kecil-kecilan selesai mengikuti Program Perniagaan Mikro anjuran Angkatan Karyawan Islam (AMP) tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lagi 23 peniaga kecil-kecilan selesai mengikuti Program Perniagaan Mikro anjuran Angkatan Karyawan Islam (AMP) tahun ini.

Buat pertama kalinya, AMP memperkenal beberapa pembaharuan untuk terus membantu lulusan program tersebut.

Iaitu, mereka boleh mendapatkan pinjaman kecil sebanyak $2,000 untuk menggerakkan perniagaan masing-masing.

Selain itu, buat julung-julung kalinya juga, tiga peserta yang menunjukkan potensi diberikan geran S$1,000 untuk lebih memperkasa perniagaan masing-masing.

KISAH KEJAYAAN CIK SITE ROMNAH OMAR

Cik Site Romnah berjaya mengembangkan perniagaannya semasa menjalani program perniagaan itu.

Selepas bekerja selama 15 tahun dalam sektor logistik, Cik Site Romnah Omar memutuskan untuk memulakan perniagaan kecil berkaitan minatnya iaitu menjahit.

Beliau kemudian menyertai Program Perniagaan Mikro AMP agar lebih profesional, selain mahu lebih bepengetahuan dalam ilmu-ilmu perniagaan serta mengendalikan kewangan.

Hasilnya, Cik Site Romnah berjaya menubuhkan jenama pakaiannya sendiri yang dipanggil Rofabelle, bersama seorang saudaranya.

"Saya dapat mempelajari perkara-perkara baru seperti perakaunan, penentuan kos di mana saya tidak pernah terfikir dulu, waktu saya sudah mula pekerjaan ini di rumah," kata Cik Site Romnah, pemilik Rofabelle dan Hanmor Costura.

Kini, perniagaannya mendapat suntikan lagi setelah beliau menjadi antara tiga peserta yang diberikan Geran Modal AMP.

Dengan geran $1,000 itu, beliau misalnya boleh melabur untuk membeli peralatan lebih canggih bagi memacu daya penghasilan perniagaannya.

"Dengan geran ini, saya akan membeli sebuah mesin yang baru, yang automatik dan juga yang berteknologi baru kerana selama ini saya telah menggunakan mesin saya lebih daripada 10 tahun.

"Jadi mungkin tiba masanya untuk saya meggunakan mesin yang baru, semoga saya dapat melakukan kerja lebih baik dan produktif," tambah beliau.

DARI PENGANGGUR KEPADA PENIAGA

Seorang lagi penerima geran tersebut ialah Cik Ameerah Talib, pemilik Nashrah Secretz, yang sebelum ini diberhentikan kerja.

Cik Ameerah Talib pemilik Nashrah Secretz yang menjual kuih-muih dan kek.

"Setelah diberhentikan kerja, program ini membantu saya untuk mengetahui tentang selok-belok perniagaan dan juga dengan cara ini saya dapat menjana pendapatan," kongsi beliau.

Pengalaman Cik Ameerah dan Cik Romnah itu sejajar dengan tujuan AMP untuk membantu para individu daripada keluarga berpendapatan rendah, memupuk semangat keusahawanan supaya dapat menambah pendapatan keluarga mereka.

"Harapan AMP untuk geran modal sebegini adalah untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan mereka untuk membeli perkakas yang lebih canggih agar mereka boleh menaikkan produktiviti mereka, untuk memajukan lagi perniagaan mereka ke tahap yang selanjutnya," kata Cik Fauziah Rahman, Pengurus Latihan & Pendidikan dan Belia AMP.

PROGRAM AMP TERUS DIPERKASA

Bukan itu sahaja, Program Perniagaan Mikro AMP yang sudah dijalankan sejak tahun 2005, terus diperkasa.

AMP kini memperkenalkan skim pinjaman kecil sebanyak $2,000 yang boleh dimanfaatkan para lulusannya, bagi memastikan perniagaan mereka menjadi lebih mampan.

"Skim pinjaman kecil yang kami mulakan tahun ini untuk membantu peserta-peserta lain untuk mengembangkan perniagaan mereka kerana kami tidak mahu isu kewangan menjadi hambatan bagi mereka untuk melangkah ke tahap selanjutnya," jelas Cik Fauziah lagi.

Satu lagi pembaharuan yang sudah dijalankannya sejak April tahun ini, ialah sebuah 'modul lanjutan' untuk para peserta yang pernah mengikuti Program Perniagaan Mikro tersebut.

Program perniagaan mikro itu dijalankan dengan kerjasama SME Centre@SMCCI dari Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura.

Sejak 12 tahun lalu, lebih 350 peniaga kecil sudah menjalani Program Perniagaan Mikro ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan