Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Khaw: S'pura tidak pandang ringan, terus pertingkat keselamatan maritim

Singapura akan terus meningkatkan tahap keselamatan di laut, kata Menteri Penyelaras bagi Prasarana dan Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Aug 2016 12:14PM Dikemas Kini : 30 Aug 2016 09:34PM

SINGAPURA: Singapura akan terus meningkatkan tahap keselamatan di laut, kata Menteri Penyelaras bagi Prasarana dan Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Semasa berucap di International Safety@Sea Conference yang diadakan buat julung-julung kalinya, Encik Khaw pada Selasa (30 Ogos) turut mengumumkan beberapa inisiatif baru yang sedang diusahakan oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) bagi menjadikan laluan air lebih selamat.

Ini termasuk penghasilan video keselamatan dengan pihak berkuasa maritim Indonesia dan Malaysia.

Video itu akan membentuk sebahagian daripada pakej sumber latihan bagi mempersiapkan mereka yang mungkin belum biasa mengemudikan kapal di Selat Singapura dan pelabuhan-pelabuhan Singapura dengan maklumat yang diperlukan untuk berbuat demikian.

MPA juga sedang bekerjasaama untuk mempertingkatkan khidmat dan penyenggaraan perkakas keselamatan yang disediakan oleh feri-feri penumpang dan kekerapan pemeriksaan bagi feri-feri serantau menyusuli insiden feri Sea Prince pada 2015.

Seramai 97 orang terpaksa diselamatkan, termasuk 51 rakyat Singapura apabila feri tersebut melanggar sebuah objek yang terapung-apung setelah berlepas dari terminal feri Nongsapura di Batam.

MPA juga akan menubuhkan platform kerjasama bagi para pentadbir maritim antarabangsa dan pertubuhan-pertubuhan bukan pemerintah yang lain untuk saling mengongsi pengetahuan dan amalan-amalan terbaik.

Masyarakat Pengamal itu akan melengkapi dan menyokong forum-forum yang ada sekarang seperti Kumpulan Mekanisme Koperatif dan Perikatan Pakar Teknikal dalam "mendakapi dan mengamalkan pendekatan berbilang pihak yang berkepentingan dengan lebih bersepadu bagi memastikan pengemudian yang selamat dan cekap," kata Encik Khaw.

Encik Khaw menambah, usaha-usaha MPA untuk mewujudkan budaya yang mengutamakan keselamatan sudah membuahkan hasil, dengan hanya satu insiden dilaporkan pada 2015. Dengan ini, kadar insiden merosot 75 peratus berbanding 2014.

"Singapura sentiasa mengutamakan keselamatan di laut. Meskipun kami sudah menjalankannya dengan baik, kami mahu mempertingkatkannya lagi," tegas Encik Khaw.

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan