Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua PBB Ban Ki-moon terima ijazah kehormat dari NUS

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Selasa (30 Ogos) atas sumbangan sepanjang hayat beliau kepada kemanusiaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua PBB Ban Ki-moon terima ijazah kehormat dari NUS

(Gambar: NUS)

Diterbitkan : 30 Aug 2016 06:09PM Dikemas Kini : 30 Aug 2016 06:12PM

SINGAPURA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) pada Selasa (30 Ogos) atas sumbangan sepanjang hayat beliau kepada kemanusiaan.

Dalam ucapannya semasa menerima ijazah kehormat itu, Encik Ban menyifatkan kesengsaraan yang dilalui sewaktu berusia enam tahun sebagai satu pengajaran yang banyak mendidik dan mendewasakan beliau.

"Semasa perang Korea, keluarga saya bergantung kepada bekalan makanan dan ubat-ubatan dari UNICEF," kata beliau.

"Kami belajar dengan menggunakan buku-buku teks yang disediakan oleh UNESCO. Tentera dari pelbagai negara berjaya membebaskan kami."

Menurut Profesor Kishore Mahbubani, Dekan Sekolah Pengajian Dasar Lee Kuan Yew, salah satu pencapaian utama Encik Ban ialah mencapai kesepakatan global untuk sama-sama bertindak bagi menyelamatkan dunia dari kesan pemanasan bumi.

Kepimpinan Encik Ban juga banyak menyumbang kepada kejayaan Persidangan Perubahan Iklim PBB 2015 yang diadakan di Paris, kata beliau lagi.

Sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai Setiausaha Agung PBB, Encik Ban berjaya meningkatkan keberkesanan PBB, di samping membantu badan dunia itu menepati matlamat-matlamat utamanya.

Beliau juga membuat sumbangan besar kepada kesetaraan jantina dengan menyokong hak-hak wanita.

Beliau juga memainkan peranan penting dalam menubuhkan Wanita PBB sebagai sebuah agensi yang berasingan pada 2011 dan menerajui beberapa kempen dan inisiatif baru bagi membanteras keganasan terhadap golongan wanita.

Kata Encik Ban: "Dunia sedang diuji sekarang. Penduduk dunia bimbang tentang kemunculan satu lagi kejutan kewangan atau penularan penyakit yang boleh membawa maut.

"Tiada satu pun negara yang terlepas dari ancaman pengganasan. Singapura walaupun mantap dan makmur, juga perlu mengambil langkah-langkah untuk mempertingkatkan pertahanan dan tahap keselamatannya."

Beliau juga memberikan sanjungan kepada mantan Presiden Singapura S R Nathan yang meninggal dunia pada 22 Ogos.

"Presiden Nathan bukan saja disanjung ramai sebagai seorang presiden yang berjiwa rakyat, tetapi juga seorang rakan PBB yang baik," kata Encik Ban.

Presiden Tony Tan Keng Yam, Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, Speaker Parlimen Halimah Yacob, Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan merangkap Pendidikan Janil Puthucheary adalah antara mereka yang hadir di majlis penyampaian anugerah tersebut yang diadakan di Istana. 

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan