Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kesan perisytiharan AS mengenai Baitulmakdis boleh merebak ke Asia, kata Dr Maliki

Menteri Negara Kanan Pertahanan Dr Mohamad Maliki Osman mengatakan hari ini (13 Dis) bahawa Singapura mesti bersiap sedia sekiranya ketegangan semakin memuncak di rantau ini selepas Washington mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel pada minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kesan perisytiharan AS mengenai Baitulmakdis boleh merebak ke Asia, kata Dr Maliki

Dr Maliki Osman semasa memberikan ucapan di Temasek Club. (Gambar: Mindef)

Diterbitkan : 13 Dec 2017 10:05PM Dikemas Kini : 13 Dec 2017 10:07PM

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pertahanan Dr Mohamad Maliki Osman mengatakan hari ini (13 Dis) bahawa Singapura mesti bersiap sedia sekiranya ketegangan semakin memuncak di rantau ini selepas Washington mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel pada minggu lalu.

Menurut Dr Maliki, status Baitulmakdis adalah "isu yang rumit dan sensitif dengan sejarah yang lama" dan sebarang "langkah yang terburu-buru dan sepihak" untuk mengubah status tersebut akan menghambat dan mengancam kemajuan bagi mencapai kedamaian di Timur Tengah secara aman. Beliau turut menambah bahawa perisytiharan Washington itu "akan menggugat kestabilan di rantau tersebut dan menyukarkan lagi usaha membanteras pengganasan".

Dr Maliki berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelantikan Pakar Tentera Kanan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) ke-14 di kelab Temasek, di mana 99 askar dilantik sebagai Pakar Tentera Kanan (ME). Kohort tersebut termasuk 18 anggota dari Tentera Darat, 38 dari Angkatan Tentera Laut , 25 anggota Angkatan Tentera Udara dan 18 kakitangan SAF.

Dalam ucapannya itu, Dr Maliki menekankan bahawa tahap keselamatan dunia buat masa ini masih "tegang", sedang ancaman keselamatan pula kian berubah-ubah: "Situasi nuklear Korea Utara membimbangkan negara-negara Asia Timur dan Amerika Syarikat. Ketegangan di Laut China Selatan pula masih menimbulkan keprihatinan, sedang negara-negara terbabit menuntut hak ke atas perairan yang dipertikaikan itu."

Merujuk kepada insiden tembakan rambang di Las Vegas pada Oktober dan serangan pengganas yang menggunakan kenderaan untuk merempuh kawasan-kawasan sesak di Eropah, Dr Maliki berkata serangan sebegini mengingatkan kita supaya terus "berwaspada dan mengukuhkan pertahanan kita terhadap ancaman-ancaman sedemikian".

ANCAMAN SIBER

Berhubung pertahanan siber, Dr Maliki menegaskan bahawa dengan pendigitalisan yang berkembang pesat, ia turut menyumbang kepada risiko yang meningkat dan ancaman siber ini boleh menyebabkan gangguan besar-besaran. Beliau merujuk kepada pencerobohan rangkaian IT yang dialami dua universiti Singapura pada April lalu, dan pengumuman Yahoo mengenai tiga bilion akaun penggunanya yang digodam pada 2013, yang merupakan pencerobohan terbesar dalam sejarah.

Bagi menangani ancaman baru ini, SAF menubuhkan Pasukan Kawalan C4 dan Kumpulan Pertahanan Siber pada November lalu, untuk mengukuhkan lagi pertahanan Singapura terhadap serangan siber.

Beliau turut mendedahkan bahawa Skim Pakar Domain Tentera (MDES) akan menajamkan lagi kepakaran SAF dalam bidang tersebut dan mempertingkatkan keupayaan SAF untuk melatih para pakar keselamatan siber, merekrut individu dengan latar belakang akademik yang relevan atau pakar daripada industri keselamatan siber. 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan