Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes penahanan 2 pegawai AETOS: Usaha eratkan hubungan pelbagai agama bermula dari rumah

Banyak usaha sudah dilakukan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam untuk mengeratkan hubungan namun usaha ini perlu diperdalam lagi. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Banyak usaha sudah dilakukan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam untuk mengeratkan hubungan namun usaha ini perlu diperdalam lagi.

Lebih penting lagi, usaha ini perlu dimulakan dengan keluarga.

Ini termasuk mendidik anak-anak di rumah tentang keunikan Singapura sebagai sebuah masyarakat majmuk.

Pandangan ini disuarakan oleh para pengamat berikutan kes dua pegawai polis sokongan yang ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas kaitan radikalisme.

Para pengamat yang ditemui BERITAMediacorp percaya, penahanan dua pegawai polis tambahan yang dikaitkan dengan radikalisme, tidak sepatutnya mencetuskan sentimen anti-Islam di Singapura.

Ini kerana masyarakat umumnya faham, tiada kaitan antara agama dengan pengganasan.

ISLAMOFOBIA TETAP WUJUD

Namun seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Lee Hsien Loong di satu majlis iftar semalam, Islamofobia tetap wujud.

Beliau menyebut kejadian merempuh jemaah berdekatan sebuah masjid di Finsbury Park, London sebagai satu contoh.

"Keluarga memainkan peranan yang penting dan utama dalam mendidik anak-anak kecil terutama sekali tentang keunikan Singapura sebagai satu negara yang berbilang kaum dan masyarakatnya adalah masyarakat majmuk," kata Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa Rajaratnam (RSIS) Ustaz Dr Md Ali.

Penganalisis Kanan RSIS Syed Huzaifah Othman Alkaff berkata: "Banyak usaha murni yang dilakukan oleh agama-agama lain ataupun agama Islam, kumpulan-kumpulan yang ingin cuba menyatukan ataupun ingin mengeratkan hubungan keagamaan contohnya bulan Ramadan ini kita ada banyak iftar bersama dan sebagainya dan saya rasa itu adalah satu usaha murni."

SEDARKAN ANAK-ANAK TENTANG KONTEKS BERBEZA

Mereka juga menekankan pentingnya untuk menyedarkan anak-anak muda tentang konteks kehidupan yang berbeza di Singapura.

Salah seorang pegawai polis yang ditangkap semalam, mahu menyertai Tentera Pembebasan Syria dan merancang untuk melakukan keganasan bersenjata di Syria.

"Tidak ada kena mengena dengan Islam, tidak ada kena mengena dengan negara kita, jadi satu isu yang jauh, satu konflik yang jauh, dan sebagai rakyat Singapura, kita mestilah mengikut apakah peraturan dan juga dari segi undang-undang di Singapura ini," kata Ketua Kajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk di RSIS, Encik Alami Musa.

Para pengamat menambah, penahanan terbaru ini menunjukkan bahawa radikalisme boleh mempengaruhi sesiapa tidak kira jantina, umur mahupun latar belakang kerjaya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan